Selasa, Januari 12, 2010

PAS Sebagai Wadah Perjuangan Generasi Kedua Felda.

Tanggal 24 Muharram 1431H bersamaan 10 Januari 2010 menyaksikan UMNO di Felda Bukit Batu bakal dikejutkan oleh generasi kedua mereka. Seramai 30 orang anak muda yang terdiri daripada generasi kedua peneroka telah meninggalkan UMNO dan menyertai PAS dalam satu majlis ringkas dirumah Tuan Haji Rafiee yang menjadi pengasas PAS di felda berkenaan.

Disamping penyerahan borang keahlian, taklimat ringkas mengenai dasar perjuangan PAS dan perbezaan antara marlamat perjuangannya dengan UMNO telah diadakan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Dengan ucapan 'Selamat Kembali Ke Perjuangan Sebenar' (perjuangan Islam), ahli-ahli baru ini telah didedahkan dengan asas perjuangan PAS yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qias disamping menjadikan tarbiah sebagai tunjang kepada pembentukkan ummah.

Selain pimpinan PAS Kawasan, pimpinan Dewan Pemuda juga turut serta bagi meraikan pertemuan ringkas ini. Didalam dialog yang diadakan, ternyata mereka yang hadir telah bosan dengan janji-janji yang sering ditabur oleh pimpinan UMNO yang bersifat sementara kerana ingin meraih undi ketika pilihanraya. Mereka juga melihat tiada apa yang hendak diharapkan daripada UMNO dalam mempertahan dan membela kesucian Islam yang kini dilihat semakin tercabar.

PAS Kawasan berjanji akan menyusun program penerangan bagi menarik lebih ramai lagi golongan muda untuk menyertai perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Dengan suntikkan semangat baru yang dipamirkan, jentera PAS akan disusun semula dengan menubuhkan jawatan kuasa penaja bagi menubuhkan cawangan untuk menyelaraskan segala aktiviti parti selepas ini.

Salam Ukhuwah Daripada Pimpinan PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Kulaijaya buat seluruh warga Felda Bukit Batu. Ayuh kita bersama menyahut seruan kearah 'Malaysia Baru Yang Lebih Wibawa'.

BERPADU-BERUBAH-BERKAT.


Ahad, Januari 10, 2010

UMNO Terdesak.



Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi Umno terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini.

UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama.

Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama.

Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza.

Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”.

Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah?

Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka.

Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin.

Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain.

Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain.

Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukop undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain.

Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untok kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah.

Siapa yang perlu disalahkan?

http://myzaidibrahim.wordpress.com

Jumaat, Januari 08, 2010

2010 Tahun Beban Bagi Rakyat Malaysia.

Bermula dengan GST kemudian kenaikkan harga gula dan kini petrol pula. Pada bulan Mei ini rakyat Malaysia akan mendapat gula-gula Barisan Nasional lagi. Harga petrol akan diruncitkan mengikut kategori yang bakal diperkenalkan. Kalau ia hanya melibatkan warga asing takpe juga. Ini anak watan juga akan terpalit sama. Kadang-kadang apabila difikirkan apa sebenarnya keistimewaan menjadi warga negara pengeluar minyak yang berjumlah 1 juta tong sehari. Masa harga minyak dunia melambung, kita kena bayar harga runcit petrol sehingga mencecah RM2.80 seliter. Berbeza dengan Saudi, ketika harga minyak melambung tinggi, harga runcit bagi rakyatnya diturunkan kerana negara meraih lebihan pendapatan. Tetapi di Malaysia, rakyat terus dimomokan dengan hujah 'kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi dan tidak sanggup melihat wang subsidi yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat miskin dihabiskan hanya untuk membayar subsidi minyak'.

Dulu ketika zaman Pak Lah Badawi, lebihan subsidi yang berjumlah RM4 billion akan digunakan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam negara. Itu janji kerajaan. Era itu mempamirkan sistem kenaikkan harga minyak secara tiba-tiba yang menyajikan fenomena kesesakkan di stesyen-stesyen minyak sebelum jam 12 tengah malam. Bagi meredakan 'naik minyak' orang ramai, maka janji-janji manis seperti itu dihidangkan. Ternyata janji hanya tinggal janji. Sistem pengangkutan sampai sekarang tidak menampakkan sebarang perubahan terutama dibandar-bandar luar ibu-kota. Kalau nak ambil contoh di JB, bas 'telan syiling' (nama yang popular apabila mula beroperasi bagi syarikat Transit Link) bukan bertambah baik malahan bertambah teruk. Jadual laluan bas masih tidak menepati masa. Kekerapan bas untuk kegunaan awam masih ditakuk lama. Pengguna terpaksa menunggu berjam-jam. Etika pemandunya masih ditahap lama kerana yang bertukar hanya syarikat bas, sedangkan pemandunya masih yang dulu juga. Kemana perginya RM4 billion tu?

Mei 2010 nanti, kita akan menikmati kenaikkan harga minyak lagi. Apa pula janji kerajaan kali ini? Yang pasti ungkapan nasihat berbunyi ' Ubah Gaya Hidup' akan berkumandang semula. Rakyat Malaysia akan terus terbeban. Kenaikkan harga minyak akan mengundang kenaikkan harga barang keperluan yang kini terus meningkat seolah-olah tiada noktah.

"Rakyat Malaysia Harus Bijak Berbelanja. Amalkan Perbelanjaan Berhemah". Pastikan anda tidak terlepas mendengar nasihat ini dari pemimpin negara sedikit masa lagi.


Rabu, Januari 06, 2010

Orang Munafik Gagal Sujud Di Akhirat.

Orang-orang mukmin akan merasai nikmat yang paling agung apabila mereka dapat melihat wajah Allah swt di akhirat kelak. Nikmat yang tiada bandingannya walaupun di dalam syurga terdapat pelbagai nikmat yang tidak pernah dirasai di dunia, umpamanya nikmat mendampingi bidadari, nikmat menghirup udara segar didalam taman-taman syurga, nikmat menghuni mahligai yang diperbuat daripada emas dan bertatahkan aneka permata. Namun semua nikmat itu tidak akan dapat menandingi nikmat menatap wajh Allah swt.

Bagi orang-orang kafir, mereka diarahkan oleh Allah swt supaya mengikuti sembahan mereka didunia dahulu. Apabila kesemua yang disembah menjadi bahan bakar api neraka, orang-orang kafir itu akan bersama dengan sembahan mereka terjun ke dalam neraka. Orang-orang munafik pula, walaupun pada hakikatnya mereka adalah kafir tetapi oleh sebab mereka bergaul bersama orang-orang mukmin, maka mereka enggan berada dalam kumpulan orang kafir. Hal ini kerana mereka turut mendirikan solat dibelakang Nabi s.aw. malah terdapat dikalangan orang munafik yang turut bersama dengan Nabi dan para sahabat di medan perang.

Di Mahsyar, orang munafik mendakwa mereka orang mukmin dan orang yang soleh adalah sahabat mereka. Malah mereka mendakwa bahwa mereka juga beramal soleh sebagaimana orang-orang mukmin beramal serta mengenali Tuhan sebagaimana orang mukmin mengenali Nya. Justeru, mereka ingin bersama-sama dengan orang mukmin untuk menemui Allah swt dan melihat wajah Nya.

Untuk orang munafik itu, Allah swt mendatangkan imtihan (ujian) supaya mereka membuktikan dakwaannya. Dengan ujian itu dapat dibuktikan samada mereka beriman dengan Allah swt atau beriman dengan selain Nya.Ketika itu, Allah swt mendatangkan sesuatu yang menyerupai benda-benda tertentu, kemudian benda itu mendakwa bahwa dia adalah tuhan. Orang-orang mukmin segera menolak dakwaan itu kerana mereka di dunia dahulu beriman dengan Allah swt yang Maha Suci daripada sebarang penyerupaan benda. Adalah mustahil bagi Allah Taala serupa dengan sesuatu benda yang mempunyai ukuran atau jisim yang memerlukan ruang dan tempat.

Orang mukmin menolak ketuhanan yang bercanggah dengan apa-apa yang telah diajarkan kepada mereka oleh para utusan Allah dan juga bercanggah dengan apa-apa yang diperjelaskan oleh para ulamak berdasarkan nas-nas yang nyata. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri menyatakan : " Ketika orang-orang mukmin melihat sesuatu yang dikatakan sebagai Tuhan, mereka segera meminta perlindungan daripada Allah Taala daripada tuhan yang palsu. Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenar tidak akan menyegutukan Allah Taala dengan sesuatu juapun".

Mereka memintaperlindungan Allah swt dua kali atau tiga kali sedangkan orang mukmin yang lemah hampir-hampir hati mereka berbalik untuk mempercayai tuhan jelmaan yang didatangkan oleh Allah sebagai imtihan itu. Sesungguhnya orang yang beriman di dunia ini adalah ibarat pelatih yang sedang membiasakan diri untuk mengenal Allah yang Maha Esa. Mereka mendirikan solat dan melaksanakan pelbagai abadat yang fardhu dan juga sunat untuk mengukuhkan keimanan dan keyakinan mereka terhadap Allah Taala.

Ketika mereka hampir menemui ajal pun adalah sunat diajar mereka menyebut kalimah Lailaha Illallah. Apabila mereka menyebut kalimah tersebut ketika hampir ajalnya, bukanlah disebabkan menurut apa yang diajar, sebaliknya disebabkan hati mereka yang beriman dengan kalimah tersebut telah terbiasa dan sebati dalam mengingati Allah swt. Pada saat hampir menemui ajal, lidahnya tetap menuturkannya dengan mudah.

Sementara golongan munafik pula ketika diuji dengan tuhan palsu yang dijelmakan oleh Allah Taala, mereka tidak menyatakan pendiriannya terhadap ujian tersebut. Dengan demikian dapatlah dibuktikan bahawa golongan munafik itu sebenarnya tidak dapat membezakan antara Allah Taala sebagai Tuhan yang sebenar dengan tuhan-tuhan jadian yang telah dijadikan ujian kepada mereka.

Ujian kedua kepada golongan munafik ialah ketika orang-orang mukmin diperintahkan oleh Allah swt supaya sujud di mahsyar sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
"Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk sujud, maka mereka tidak berkuasa" (al-Qalam : 42)

Hanya orang mukmin yang ikhlas sahaja berjaya sujud kepada Allah swt. Mereka boleh sujud kerana sejak di dunia lagi mereka adalah golongan yang sentiasa sujud kepada Nya. Justeru sampai ke akhirat mereka tetap boleh melakukan sujud. Adapun orang-orang munafik tidak berupaya melakukannya kerana ketika di dunia dahulu, mereka mendirikan solat bukan sebenarnya kerana Allah swt, sebaliknya hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia.

Orang-orang munafik gagal menghadapi ujian kedua, iaitu tidak berupaya sujud di akhirat ketika mereka diperintah berbuat demikian bersama-sama orang mukmin. Dengan kegagalan itu, terbuktilah kedudukan keimanan mereka. Walaupun semasa di dunia mereka bergaul dengan orang-orang mukmin, tetapi sebenarnya adalah kafir di sisi Allah swt.

Petikan Buku : Nota Kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.


Isnin, Januari 04, 2010

Dilarang Banyak Bertanya.


Abu Hurairah r.a. memberitakan bahwa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Apa-apa yang aku larangkan kepada kamu, maka jauhilah dia dan apa-apa yang aku suruhkan kamu, maka lakukanlah menurut keupayaan kamu. Kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah dibinasakan disebabkan mereka banyak bertanya (yang bukan-bukan sebagai menghelah) dan mereka bersikap menentang pada nabi-nabi mereka"

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Pengajaran Hadis.
  1. Islam adalah suatu agama yang dibina berdasarkan ilmu. Segala suruhan agama itu mempunyai kebaikan dan sebaliknya larangan agama mempunyai banyak keburukkan.
  2. Sesungguhnya sesiapa yang enggan mematuhi ajaran Islam adalah suatu sikap negatif dan membawa kebinasaan.
  3. Seseorang itu dilarang banyak bertanya dalam perkara agama. Lebih-lebih lagi apabila dia sengaja mahu menghelah atau tidak jujur untuk segera melaksanakan tuntutan agama.

Sabtu, Januari 02, 2010

TAHUKAH ANDA?

  1. Menurut laporan Ketua Audit Negara 2008, nisbah kecairan tunai (Liquidity Ratio) Kerajaan Negeri Johor adalah rendah kerana Aset Semasa hanyalah berjumlah RM201.53 juta (Tunai RM36.37 juta & Pelaburan RM165.16 juta) berbanding dengan Tanggungan Semasa yang berjumlah RM943.54 juta. Dengan kata lain jumlah Aset Semasa tidak dapat menampung jumlah Tanggungan Semasa. Tahukah anda jumlah Aset Semasa Negeri Selangor adalah RM1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM1,025.89 juta. Jumlah ini jauh lebih banyak dari Negeri Johor. Tahukah anda siapakah yang mentadbir Negeri Selangor dan Pulau Pinang?.
  2. Perbelanjaan bajet Negeri Johor adalah lebih kurang RM785 juta setahun @ RM65 juta sebulan. Ini bermakna jika tiada penghasilan baru maka jumlah Aset Semasa sebanyak RM201.53 juta hanya membolehkan Kerajaan Negeri Johor bertahan selama 3 bulan sahaja sebelum..............!!
  3. Keadaan kewangan Kerajaan Negeri Johor adalah lemah sehinggakan bajet bagi tempuh 3 tahun berturut-turut adalah defisit iaitu perbelanjaan lebih banyak daripada pendapatan. Kekurangan atau defisit bajet adalah sebanyak RM2.04 juta (Bajet 2008), RM2.746 juta (Bajet 2009) dan RM1.5 juta (Bajet 2010).
  4. Hutang Kerajaan Negeri Johor kepada Kerajaan Persekutuan meningkat 20.6% dari RM841.13 juta kepada RM1.01 billion (2008).
  5. Hutang terkumpul Johor Corporation (JCorp) adalah berjumlah RM4.032 billion. Pada 2002, JCorp telah menerbitkan Bon (surat hutang) berjumlah RM4.032 billion dengan Kerajaan Negeri Johor sebagai penjaminnya. Tempuh matang bon-bon tersebut adalah pada tahun 2007, 2009 dan 2012. Dalam sidang DUN Johor pada 8 September 2009, JCorp telah menebus bayar sebanyak RM363.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009). Jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai 2012 adalah berjumlah RM3.58 billion.
  6. Keuntungan sebelum cukai JCorp adalah lebih kurang RM600 juta setahun. Ini bermakna menjelang tahun 2012, dijangkakan JCorp hanya akan mampu menjana RM1.5 billion bagi menebus bayar bon. Persoalannya bagaimanakah JCorp hendak menampung kekurangan sebanyak RM2 billion atau RM2,ooo juta itu? Kerajaan Johor sebagai penjamin kepada bon-bon (surat hutang) yang diterbitkan oleh JCorp, perlu menimbal kekurangan tersebut pada tahun 2012. Tetapi persoalannya dimanakah kerajaan negeri hendak mencari duit dalan keadaan kewangan negeri yang tenat?.
  7. Kegagalan Kerajaan Negeri Johor membayar RM2 billion atau RM2,000 juta ini boleh menyebabkan Kerajaan Negeri Johor dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan 'MUFLIS' pada tahun 2012. Kecuali Kerajaan Negeri dan JCorp 'TERPAKSA' mengambil 'JALAN PINTAS' dengan menjual aset-aset ataupun hartanah stratejik mereka. Tentu anda boleh mengagak jawapannya kenapa JCorp menjual Menara Pejabat Plaza Kotaraya kepada Iskandar Investment Berhad (IIB) dan kenapa Kerajaan Negeri menjual tapak CIQ di Stulang juga kepada IIB. Bukankah kedua-dua aset atau hartanah tersebut mempunyai lokasi yang sangat stratejik dan sangat baik untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang? Selepas ini apa pula yang akan dijual? Tahukah anda aset atau hartanah milik kerajaan negeri dan JCorp adalah sebenarnya milik khazanah atau pusaka rakyat Johor bukannnya milik UMNO/BN!


SELAMATKAN JOHOR DENGAN MEMILIH KERAJAAN YANG LEBIH WIBAWA!

SAMA-SAMA KITA MENOLAK BN DALAM PILIHANRAYA AKAN DATANG!

BERPADU-BERUBAH-BERKAT


Jumaat, Januari 01, 2010

Beban Yang Menanti di 2010

Kerajaan Barisan Nasional memulakan tahun barunya dengan beban terbaru di 2010. 1 Malaysia rakyat dibebankan dan taukeh gula didahulukan. Ucapan selamat kepada semua pengguna dengan kenaikkan harga baru gula sebanyak 20 sen sekilogram. Itulah sebenarnya yang didahulukan dan pencapaian yang diutamakan oleh sang pemerintah dengan slogan-slogan mereka membela rakyat.

Itu baru gula. Rakyat jangan lupa GST sedang menanti untuk meratah duit dari kantong kita. Khabarnya harga gula dinaikkan kerana hendak kawal penggunaan gula oleh rakyat bagi mengurangkan penyakit kencing manis. Bolehkah pengguna sekelian menerima alasan dangkal dan lelucon ini? Lepas ini tak tahu apalagi yang akan naik. Yang sudah pasti makanan yang berasaskan gula akan meningkat. Dengan keadaan ekonomi yang semakin parah, ditambah lagi dengan pelbagai peristiwa pelik dan ajaib yang berlaku seperti kehilangan enjin jet dsb, Malaysia tidak memerlukan gempa bumi dan tsunami untuk tersungkur.

Ketika sembang pagi diwarung kopi, penulis disapa oleh seorang rakan bermazhab UMNO yang berkomentar mengenai rencana 'Tahukah Anda' dalam blog ini yang menyentuh perihal GST. Penulis memang sering berbicara persoalan GST tidak kira dimana sebagai sumbang saran agar massa memahami ertikata sebenar apa itu GST. "Singapura mengenakan 7% cukai GST, Malaysia baru 4%, apa nak bising" sergahan si UMNO memulakan bicara yang menyerlahkan kenakalan dan kedunguan mereka dalam menyokong apa saja dasar yang diperkenalkan. Kata orang-orang tua dulu inilah yag dinamakan 'sokong yang membawa rebah'.

Penulis bersyukur apabila disergah oleh si UMNO. Pertama, kerana ia membaca blog tulisan seteru politik mereka. Kekerapan membaca akan membuat minda mereka terbuka dan seterusnya memahami apa yang disampaikan. Kedua, memang benar Singapura mengenakan cukai GST sebanyak 7% tetapi perlu diingat Singapura ialah sebuah negara bebas cukai. Cukai yang dikenakan hanya sekali sahaja. Ini bererti barangan yang dijual tidak dikenakan sebarang cukai. Cukai hanya dikutip dari rakyat apabila mereka membeli barangan tersebut. Berbeza dengan Malaysia, setiap barangan yang didagangkan telahpun dicukai oleh kerajaan. Samada pengguna membelinya ataupun tidak, barang yang dipasarkan telahpun dikenakan cukai. Dengan implementasi GST, pengguna akan dicukai kali keduanya apabila barangan yang diniagakan dibeli.
  • Patutkah GST dikenakan?
  • Apakah tidak patriotik sekiranya kita menentang dasar yang mencengkam dan membebankan rakyat?
  • Patriotik sangatkah bagi mereka yang menyokong apa saja dasar walaupun ia menjerut rakyat?
Kepada rakan-rakan UMNO/BN sedarlah, apa jua dasar yang diperkenalkan kepada rakyat, ia tidak memilih samada anda penyokong atau penentang kerajaan. Semua akan menerima padahnya. Apabila harga runcit petrol dinaikkan, semua terpalit sama tanpa mengira anda penyokong atau penentang. Sama-sama akan pergi ke stesyen minyak beratur dan membayar harga yang sama. Perkara yang sama juga berlaku kepada gula. Apa keistimewaan anda yang menyokong BN berbanding dengan kami yang menolaknya (BN).

Fikir-fikirkanlah!!!