Selasa, Disember 15, 2009

SUKAR UNTUK DITERIMA TETAPI BENAR.

Begitulah ungkapan yang keluar dari mulut penulis apabila mendengar berita tentang kemenangan Malaysia mengatasi Laos dan seterusnya melangkahkan kaki ke perlawana akhir Sukan Sea buat sekian lamanya. Bukan nak merendah-rendahkan mutu bolasepak negara tetapi memang dah rendah pun. Semasa era kehebatan Malaysia dipersada bolasepak, seingat penulis Laos tidak tersenarai sebagai saingan Malaysia ketika itu. Bahkan pasukan seperti Thailand, Indonesia, Singapura malahan Jepun mudah diratah oleh anak-anak buah kapten Soh Chin Aun. Saingan negara masa itu ialah Korea Selatan, Iran, Iraq, Kuwait, Australia dan New Zealand.

Peminat menyaksikan bagaimana Hasan Sani yang berpasangan dengan James Wong dibarisan hadapan setelah ketiadaan allahyarham Mokhtar Dahari yang mengalami kecederaan lutut, membenam harapan Korea Selatan untuk ke Sukan Olimpik Moscow di Stadium Merdeka. Ternyata Malaysia memang hebat! Penulis masih ingat, setiap kali kejohanan Pestabola Merdeka berlangsung, penulis akan mendengar siaran langsungnya menerusi radio kerana siaran TV ketika itu amat terhad. Keesukkan harinya kami akan bersembang mengenai perlawanan malam tadinya seolah-olah menonton siaran langsung melalui TV. Masa itu rakyat Malaysia, apabila ada kejohanan bolasepak berlansung, mereka akan demam seketika. Semua bicara akan tertumpu kepada bola. Satu jam sembang pagi akan bercakap pasal bola sambil meneliti akhbar harian.

Era kegemilangan itu telah lama berlalu. Pasukan yang tidak menjadi saingan Malaysia sedikit masa dahulu, kini berada di rangking yang lebih baik daripada pasukan negara. Tidak pernah terlintas difikiran apabila melihat pasukan negara dipaksa berhempas pulas apabila bertemu dengan pasukan Vietnam, satu pasukan yang tidak pernah beraksi dipersada bolasepak antarabangsa di masa anak-anak buah Kapten Soh Chin Aun berlegar dipadang. Apatah lagi Laos. Mutu pasukan bolasepak negara jatuh merudum sehingga menjadi bahan tertawa pasukan belasahan anak-anak buah kapten Soh Chin Aun. Tak tahu mana silapnya. Macam-macam dah dibuat oleh FAM. Tukar pemain, tukar jurulatih, tukar pengurus, tukar pengendali dsb pendekata dah tukar habis pun, tidak mendatangkan sebarang peningkatan. Jurulatih dan pakar bolasepak antarabangsa pun dah datang dan berkhidmat di Malaysia, namun mutunya tetap tak berubah. Penulis memang sentiasa negatif apabila pasukan negara beraksi. Berdetik dalam hati dengan kata-kata "Kalah dah tentu, menang belum tahu". Sukar untuk menaruh harapan. Bukan pasal apa, cuma takut frust sebab selalunya memang begitu.

Tetapi kali ini berbeza. Malam tu penulis sempat menyaksikan pasukan negara beraksi sebelum keluar kerana ada mesyuarat. "Jangan jadi orang bodoh malam ni sudahlah" bisik hati. Jaringan awal Malaysia membuatkan penulis terus terpaku di depan TV. Apabila Laos menyamakan kedudukan, penulis terus bangkit sambil berkata "dah agak dah".

Kembali kerumah malam tu agak lewat. Sudah masuk waktu tengah malam. Setelah kaki melangkah masuk, khabar anak memberitahu Malaysia menang 3-1. Penulis hanya melemparkan senyum dan tertawa sinis kerana sesuatu yang sukar untuk diterima. Sekali lagi khabar anak disampaikan untuk tujuan meyakinkan si ayah bahwa kali ini Malaysia benar-benar menang. Itulah bolasepak Malaysia sekarang. Walaupun ia realiti tapi sukar untuk diterima.

Walau apa pun tahniah diucapkan kepada pasukan muda negara kerana berjaya memulihkan imej bolasepak Malaysia. Lama benar tak mendengar berita kejayaan seumpama ini. Rupa-rupanya Malaysia tidak perlu kepada jurulatih asing untuk membawa kejayaan. Cukup dengan jurulatih tempatan untuk membuahkan hasil. Namun demikian, perjuangan masih belum selesai. Kini baru menjejakkan kaki keperlawanan akhir bagi merebut pingat emas. Malaysia masih ada Vietnam untuk mendapatkan kilauan emas. Semoga Vientian akan menjadi tapak awal era kebangkitan semula skuad bolasepak negara.

Selamat Berjuang!



Dengki Akan Membunuh Diri Sendiri.

Pada zaman dahulu ada seorang soleh dan alim yang sangat disukai oleh raja. Dia sentiasa berada dimajlis raja untuk memberikan pelajaran dan nasihat. Orang soleh itu menasihatkan "Berbuatlah kebaikan kepada orang yang berbuat baik, kerana orang yang berbuat jahat itu akan binasa oleh kejahatannya sendiri". Bagaimanapun apabila seseorang berbaik-baik kepada raja dengan tujuan baik dan ikhlas tentu ada orang yang tidak menyukainya kerana dengki. Demikian juga halnya dengan orang soleh yang satu ini. Disebalik hubungan baiknya dengan raja ada seseorang yang juga dekat dengan istana, tidak senang melihatnya selalu berdamping dengan raja dan ingin melenyapkannya.

Maka orang yang dengki itu mulai mencari cara untuk menghasut raja. Setelah menemukan suatu idea, pergilah ia menghadap raja sambil berkata "Ampun Tuanku! Orang soleh yang sentiasa datang kesini itu pernah berkata bahwa mulut raja berbau busuk".
"Apa!" kata raja dengan hairan.
Kemudian baginda bertanya lagi "Betulkah kata-katamu?"
"Betul tuanku" kata orang yang dengki itu.
Dia berkata pula "Kalau tuanku ingin membuktikannya, sila perhatikan apabila dia bercakap dengan tuanku, dia akan menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau mulut tuanku".
Raja nampak agak marah dan berkata "Baliklah engkau! Aku akan menyiasat kebenaran ini".

Laporan orang yang dengki itu berhasil mempengaruhi fikiran raja. Si penghasut merasa gembira. Dia segera balik kerumahnya dan memasak makanan yang banyak mengandungi bawang putih agar siapa sahaja yang memakannya, mulutnya akan berbau. Setelah siap dia menjemput orang soleh yang didengkinya itu untuk makan bersama. Orang soleh itu pun makan tanpa curiga apa-apa demi menghormati undangan walaupun dia tahu bahwa hidangannya banyak mengandungi bawang putih. Kemudian seperti biasa orang soleh itupun pergi ke istana untuk memberikan nasihat dan pengajaran.

Raja berkata "Sila dekatlah engkau kepadaku".

Orang soleh sedar bahwa dia baru saja makan makanan yang banyak mengandungi bawang putih dan tentu saja mulutnya masih berbau. Oleh kerana itu apabila telah dekat dengan raja, dia menutup mulutnya dengan tangan agar raja tidak terganggu oleh baunya.

Kini raja berasa bahwa keterangan orang yang memberi laporan itu memang betul. Kerana ternyata orang soleh itu benar-benar meletakkan tangannya sebaik saja dia mendekati. Raja marah, tetapi ditahannya kemarahan itu didalam hatinya agar tidak nampak bahwa sikapnya berubah. Raja tidak bercakap apa-apa. Baginda hanya mengambil sekeping kertas dan pen kemudian menulis surat kepada salah seorang pegawainya. Setelah siap, surat rahsia itu ditutup rapat dan diberikannya kepada orang soleh yang disayanginya itu.

"Sila kau hantar surat ini kepada si polan" kata raja.

Orang soleh yang tidak tahu apa kandungan surat rahsia yang dibawanya, segera pergi memenuhi perintah raja. Sementara orang yang menghasut raja berada agak jauh dari istana sambil mengintai-intai tindakan apa yang diambil raja ke atas orang yang dia dengki. Ternyata dia melihat orang soleh keluar dari istana dengan gembira sambil membawa amanah raja. Dia segera mengejar dan bertanya "Apa tu?".
Orang soleh menjawab "Ini surat raja yang dituisnya sendiri dan menyuruh saya menyampaikannya kepada si polan".
"Berikan surat itu kepadaku, biar aku yang menyampaikannya" kata si penghasut. Dengan menghantar surat tersebut, dia ingin dirinya dianggap sebagai orang terdekat raja.
Pada mulanya orang soleh itu tidak mahu memberikannya kerana dia tidak mahu mengkhianati amanah raja. Namun si penghasut memaksanya dan meminta dengan bersungguh-sungguh, maka dengan terpaksa diberikanlah surat itu. Dengan bangganya si penghasut pergi membawa surat raja kepada pegawai yang dituju.

Sebaik saja surat itu sampai, si penerima terus membukannya dan dibacanya dalam hati sambil disaksikan oleh penghasut yang menghantarnya. Surat itu berbunyi "Apabila pembawa surat ini sampai kepadamu, maka segera bunuhlah dia, lapah kulitnya dan hantarkan kepadaku".
Pegawai yang menerima surat itupun berkata "Raja menyuruh aku agar membunuh kamu dan melapah kulit tubuhmu".
Bukan main terperanjat si pembawa surat, dia menyesal bercampur geram dan sedih.
"Tidak!...Tidak.....! Sebenarnya surat ini bukan untukku. Oleh kerana itu aku minta izin dulu untuk melapor kepada raja" katanya sambil cuba untuk beredar namun segera ditahan oleh pegawai berkenaan.
Pegawai itu berkata lagi "Surat arahan tidak boleh dibantah dan perintahnya harus dilaksanakan".

Sipenghasut cuba mengemukakan alasan dan perkara sebenar berkenaan dengan surat tersebut, namun tidak dihiraukan oleh pegawai. Maka diapun disembelih dan kulitnya dilapah untuk dihantar kepada raja.

Sementara orang yang soleh yang sebenarnya akan dihukum tiba-tiba datang menghadap raja dan memberitahukan bahwa surat yang dibawanya telah diambil secara paksa oleh temannya, dan dialah yang menghantarkannya kepada pegawai yang dituju.
"Astaghfirullah....." keluh raja dalam hatinya.
Baginda diam sejenak mengenangkan nasib yang menimpa orang yang menghantarkan suratnya. Kemudian raja bertanya "Benarkah engkau ada mengatakan bahwa bau mulutku busuk?".
Orang soleh menjawab "Tidak sekali-kali tidak".
Raja bertanya lagi " Jadi, mengapa ketika kamu bercakap denganku tadi engkau letakkan tanganmu di mulutmu?".
Orang soleh menerangkan "Ketika itu aku baru saja dijamu oleh teman yang meminta surat itu dengan makanan yang banyak mengandungi bawang putih sehingga mulutku berbau. Maka aku tutup mulutku supaya raja tidak terganggu oleh bau mulutku itu".

Raja menggeleng-gelangkan kepala kehairanan. Kini baginda faham perkara sebenar dan tipu helah si penghasut dan kaki bodek yang sudah pasti terbunuh itu. Kemudian baginda berkata "Benar betul ajaran dan nasihatmu kepadaku bahwa orang yang jahat telah binasa kerana kejahatan yang dilakukannya sendiri".

Begitulah bahayanya hasad dan dengki. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: "Waspadalah engkau pada perbuatan dengki, kerana dengki itu memakan pada kebaikkan seperti api memakan kayu bakar".


Isnin, Disember 14, 2009

Maksud Fiqh Siasah


Fiqh menurut bahasa Arab ialah kata terbitan yang diambil dari kata kerja terdahulu : faquha atau faqiha. 'Faquha/Faqiha al-amr' bermakna: baik kefahaman terhadap sesuatu. Fiqh bermakna kefahaman atau pengetahuan.

Fiqh bukan sekadar ilmu, sebaliknya ialah kefahamn yang memerlukan penggunaan fikiran, penajaman akal dan pengerahan seluruh usaha untuk itu.

Didalam syarak, fiqh tidak diperolehi oleh semua manusia. Sebaliknya ia hanya diperolehi oleh sekumpulan manusia yang memiliki kemampuan akal yang tinggi, beramal soleh serta rasional.

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami kepada orang-orang yang mengetahui" (al-An'am : 98)

Fiqh tidak diperolehi oleh orang kafir dan orang munafiq. Firman Allah yang bermaksud :
"....disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak memahami" (al-Anfal : 65)

Allah swt telah berfirman tentang orang-orang munafiq yang bermaksud :
"Katakanlah; api neraka jahanam itu amat panas jikalau mereka mengetahui" (al-Taubah : 81)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
".....tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami" (al-Munafiqun : 7)

Fiqh menurut istilah syarak ialah : mengeluarkan (istinbat) hukum-hukum syarak yang bersifat amali dari dalil-dalilnya yang detail(tafsil). Sementara ungkapan 'al-Siyasi' adalah diambil dari perkataan 'sasa', katanama pelaku ialah 'sais' dan katanama terbitan ialah 'siasah' yang bermakna pengjagaan.

Ahli siasah ialah : orang yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangan yang betul.

Ahli siasah Islam ialah : orang Islam yang komited dengan Islam yang menyelesaikan urusan umat dari sudut pandangan Islam dan hukum syarak.

Fiqh Siasah ialah : kefahaman mendalam terhadap urusan umat dalam dan luaran, mentadbirnya, menjaganya menurut panduan hukum syarak dan memandunya.
Siasah terbahagi kepada dua bentuk :-
  1. Siasah Syarak dan
  2. Siasah Bukan Syarak.
Pertama : Siasah Syarak bermaksud memimpin keseluruhan manusia menurut kehendak pandangan syarak dan khilafah yang bertindak memelihara agama serta menguruskan dunia dengannya (agama).

Kedua : Siasah Bukan Syarak atau siasah ciptaan manusia menurut kehendak pandangan manusia yang diterjemahkan kepada perlembagaan-perlembagaan ciptaan yang menggantikan syariat Islam dan bertentangan dengannya. Siasah ini yang menolak siasah syarak ialah siasah yang tidak beragama. Siasah yang tidak mempunyai agama adalah 'siasah jahiliyah'.


Petikan buku : Fiqh Siasah Menurut Imam Syahid Hassan Al-Banna
oleh : Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris.

Jumaat, Disember 11, 2009

Amaran Terhadap Orang Yang Menyembunyikan Ilmu


Abu Hurairah r.a. memberitakan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Sesiapa yang ditanyakan tentang sesuatu ilmu yang telah dipelajarinya, tiba-tiba dia menyembunyikannya, maka dia akan dikekangkan di hari kiamat dengan kekang (pasung mulut) daripada api neraka".

Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad, At-Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah.

Pengajaran Hadith.
  1. Tujuan mempelajari ilmu ialah untuk mengesahkan sesuatu amalan dan dapat melaksanakannya dengan sempurna. Selain itu dapat diajar dan disebarkan kepada orang lain.
  2. Sesiapa yang tidak mengetahui ilmu aagama , maka dia wajib belajar dan bertanya kepada orang yang lebih tahu.
  3. Mana-mana orang yang tahu ilmu agama adalah berdosa besar apabila dia menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain.
  4. Penyembunyi ilmu agama itu akan dikekang dengan kekang api neraka di hari kiamat.

Selasa, Disember 08, 2009

Goods and Services Tax (GST)

GST adalah singkatan kepada 'Goods and Services Tax' atau dalam Bahasa Melayunya disebut "Cukai Barangan dan Perkhidmatan". Banyak lagi tafsiran yang diberi kepada huruf potong ini seperti 'Golongan Susah Tertindas', 'Go Squeeze Them' dan pelbagai lagi tafsiran boleh dilakukan. Pendekata ikut suka kitalah, apa yang nak kita namakan.

Utusan Malaysia on line bertarikh 27 Nov 2009 bertajuk 'GST pada 4%' dan disusuli pada 4 Dis 2009 dengan tajuk 'GST Tidak Bebankan Rakyat' telah melaporkan hasrat kerajaan untuk melaksanakannya pada tahun 2010. Bacaan pertama akan dilakukan pada sessi akhir parlimen tahun 2009, manakala bacaan kedua akan dibentangkan pada sidang parlimen sessi Mac 2010.

Kerajaan akan memperolehi RM1 Billion setahun hasil dari GST yang bakal dilaksanakan. A Kadir Jasin dalam blognya ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah sebagai berkata "kerajaan telah menjalankan kajian yang agak lama dan komprehensif mengenai pelaksanaan GST"; tidak berhasrat untuk berbahas mengenai semantik dengannya tetapi mempersoalkan kata-kata 'kajian yang agak lama dan komprehensif'.

Mengapa agak lama dan agak menyeluruh? Mengapa tidak lama dan menyeluruh? Bagi cadangan yang sangat penting seperti GST ini, kerajaan tidak boleh main agak-agak. Bagi beliau apa juga cukai yang diperkenalkan, ia tetap akan membebankan rakyat.

GST atau dalam bahasa penuhnya 'Goods and Services Tax' atau loghat Melayunya 'Cukai Barangan dan Perkidmatan' adalah sejenis cukai dimana apa sahaja barang dan perkidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah juga ia dikenali sebagai 'cukai penggunaan' atau 'consumption tax'. Dalam erti kata lain asasnya jauh lebih luas daripada cukai jualan dan cukai perkidmatan yang ada sekarang.

Pengguna apabila membelanjakan wang untuk membeli barangan akan dikenakan cukai. Dengan pendapatan yang tidak meningkat sambil terus dibebani dangan kenaikkan harga bahan bakar, tol, barangan keperluan, kadar inflasi dsb, kini rakyat Malaysia dibebani pula dengan GST.

Ada benarnya apabila kedapatan mereka yang berteori bahwa rakyat sebenarnya akan membayar 3 kali ganda daripada cukai GST yang dikenakan, walaupun kerajaan mendakwa tidak akan membebankan rakyat dengan kadar 4 % sahaja. Logiknya ialah, apabila satu barangan yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar, ia akan melalui dua aliran pasaran iaitu pemborong dan peruncit. Sekiranya bagi setiap satu aliran pasaran yang dilalui akan dikenakan 4% cukai GST, bermakna barangan tersebut akan sampai ke pengguna pada kadar 12% cukai GST.

Contohnya : apabila satu produk yang dikeluarkan bernilai RM10.00; kadar 4% akan dikenakan kepada pemborong menjadikan nilainya RM10.40; 4% lagi akan dikenakan apabila produk tersebut tiba kepada peruncit menjadikan nilai meningkat kepada RM10.82; akhirnya apabila ia sampai ke tangan pengguna, nilainya meningkat keparas RM11.70 berserta kadar GST 4% yang dikenakan. Ini belum diambil kira kadar keuntungan yang diambil bagi setiap aliran pasaran yang dilalui.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata : "Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap cadangan ini dan menubuhkan 'pasukan petugas pemantau GST' yang dianggotai 3 wakil dari setiap parti. Pasukan ini akan mengkaji akta sedia ada yang berkaitan serta cadangan rang undang-undang berkenaan. Ia juga bertujuan untuk memformulasikan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang". Pasukan ini kelak akan menyedia dan melengkapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu GST selain menjalankan sessi sumbang saran dengan rakyat serta memberi kefahaman secara menyeluruh terhadap kesan GST.

Menurut Dr. Dzulkifli Ahmad yang merupakan salah seorang daripada pasukan pemantau dari Parti PAS, GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ini akan memberi kesan yang parah kepada rakyat khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Pada pandangan dan telahan kami, pengenalan GST ini akan meninggalkan kesan-kesan dan impak yang parah khususnya kepada golongan berpendapatan rendah. Kami mahu membawa isu ini sebagai isu yang cukup penting kerana persoalan bagaimana ia akan meninggalkan impak kepada rakyat bukan hanya isu politik tetapi sekali gus akan menjejaskan kehidupan rakyat yang sudah terbeban dengan pelbagai cukai dan penarikkan semula subsidi" tegasnya.

GST akan dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua.
Inilah amalan 'Tradisi Membela Rakyat' UMNO/BN.

Perlukan anda terus memberi undi kepada mereka. Fikir-fikirkan lah.



Isnin, Disember 07, 2009

Pesanan Agar Mengembangkan Ilmu.

Malik bin al-Huwarith r.a. pernah memberitakan :

"Kami telah datang untuk berada di samping Nabi s.a.w. sedang kami di kala itu adalah anak-anak muda yang hampir sebaya".

Maka kami berada disamping beliau (untuk belajar) selama dua puluh hari dan dua puluh malam. Dan adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang ramah serta menjadi sahabat kepada kami. Maka dikala beliau merasakan adanya keinginan kami kepada keluarga kami atau kami telah merasa rindu, maka beliau bertanya kami tentang orang yang kami tinggalkan selepas kami (dirumah). Maka kami pun menceritakan kepada beliau.

Maka beliau berkata :
"Kembalilah kamu mendapatkan keluarga kamu dan hendaklah kamu berada disamping mereka, ajarlah mereka dan suruhilah mereka".

Dan beliau menyebutkan beberapa perkara yang saya ingat atau saya tidak lagi ingat.

"Dan bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku bersembahyang".
"Apabila masuk waktu sembahyang, maka hendaklah salah seorang daripada kamu azan untuk kamu semua dan hendaklah kamu melantik orang yang lebih tua antara kamu untuk menjadi imam."
HR : Imam Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadis.
  1. Orang-orang Islam digalakkan hidup bergaul dan berkumpul. Lebih-lebih lagi apabila hendak mempelajari ilmu agama.
  2. Orang-orang muda pula digalakkan mendampingi alim ulama' untuk belajar ilmu agama.
  3. Pemuda-pemuda yang datang dan berada disamping Nabi s.a.w. itu telah memperolehi sebahagian ilmu agama daripada Nabi s.a.w.
  4. Mereka disuruh kembali kerumah sesudah cukup tempuh belajar secara intensif untuk mengajar pula kepada keluarga mereka. Mereka hendaklah mematuhi Allah swt dan Rasul Nya.

Khamis, Disember 03, 2009

Akal Buntu Punca Manusia Sembah Batu.


Al-Faqih Muhammad bin Marjan menjelaskan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang dalam kitabnya, Al-Irsyad. Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. menceritakan keadaan huru-hara di Mahsyar.

Mahsyar merupakan tempat persinggahan sementara sebelum manusia ditentukan oleh mahkamah Akhirat sama ada akan dihantar ke syurga atau ke neraka, atau pun tidak ke syurga dan tidak pula ke neraka tetapi sebagai As-habul A'araf. Walaupun Mahsyar adalah tempat persinggahan sementara, namun peristiwa Mahsyar boleh menjadi lebih lama tempuhnya jika dibandingkan dengan tempuh manusia menjadi penghuni di alam dunia ini.

Jika seseorang menunggu bas di perhentian selama beberapa jam, namun bas yang ditunggu tidak kunjung tiba, kita akan dapati ramai yang akan gelisah dan keluh-kesah. Sudah terasa penat duduk, mereka akan bangun meninjau-ninjau dan melontarkan pandangan kalau-kalau bas yang ditunggu sudah tiba, sambil mengurut pinggang yang terasa lenguh. Mereka saling bertanya sesama para penunggu yang lain, bilakah bas akan tiba lantaran mereka sudah dilanda kebosanan.

Maka betapa pula keadaannya ketika berada di perhentian Mahsyar untuk menghadapi urusan pemeriksaan amal dan pelbagai agenda soal jawab dengan Tuhan, membuat perhitungan dan penyelesaian dalam kalangan mereka yang mempunyai kesalahan sesama manusia, ataupun bersangkutan dengan hutang piutang yang belum dijelaskan.

Begitu panjang masa yang diperlukan, bukan sahaja terasa letih kerana begitu lama menunggu, sebaliknya penantian itu merupakan suatu azab yang tidak tertanggung oleh ahli Mahsyar kerana bagi sesetengah orang, walaupun sudah begitu lama disitu namun belum ada penyelesaian. Kalangan ahli Mahsyar ketika itu berusaha untuk mencari Nabi-nabi supaya mereka boleh menolong menyegerakan proses itu.

Mereka menemui Nabi Adam a.s., Nabi pertama dan bapa sekelian manusia, sayangnya Nabi Adam tidak berupaya untuk menolong kerana dia sendiri ada kes dengan Tuhan semasa di syurga iaitu melanggar larangan Tuhan kerana mendekati Pohon Khuldi. Ketika itu Tuhan memerintahkan Nabi Adam supaya mengeluarkan puak-puak yang akan dimasukkan ke syurga daripada kalangan anak cucu mereka. Golongan yang akan menjadi mangsa keganasan api neraka itu terdapat tujuh golongan.

Nabi Adam a.s. memerintahkan dua golongan pertama supaya keluar dari khalayak ramai. Belum pun sempat melangkahkan kaki, api neraka telah menyambar mereka terlebih dahulu.Ibarat minyak yang terdedah ditengah air, api menyambar minyak tersebut tetapi air yang ada di sekelilingnya tidak terbakar. Demikianlah neraka itu sendiri amat mengenali mangsanya.

Gelombang pertama yang disambar oleh neraka itu ialah daripada puak yang kufur terhadap Allah swt dengan cara menunjuk sombong, sama ada sombong tingkah laku ataupun sikap yang dapat diterjemahkan melalui tutur kata mereka. Dengan sombong mereka menolak hukum Allah swt dan menyifatkan hukum yang berasaskan wahyu tidak sesuai untuk masyarakat majmuk.

Golongan kedua yang bakal dihumban ke neraka ialah golongan kuffar yang tidak mempedulikan peranan dirinya sebagai hamba Allah Ta'ala. Hidup seperti haiwan sekadar untuk makan, minum, tidur dan berkhawin. Mereka adalah puak-puak jahil yang tidak mengambil tahu kewujudan Allah swt.

Tuhan berkata kepada ahli-ahli neraka : " Sekarang ke manakah perginya benda-benda yang kamu sembah selain daripada Allah?". Pertanyaan ini adalah suatu tempelak terhadap manusia yang menyembah sesuatu selain Allah swt. Manusia bukan sahaja ada yang menyembah batu berhala, menyembah busut, memuja syaitan, menyembah harta benda, malah ada juga manusia yang menyembah sesama manusia.

Manusia yang menyembah Allah swt, semestinya mereka bertemu dengan Allah, tetapi para penyembah mahluk akan ditanya oleh Nya, dimanakah benda-benda yang disembah oleh mereka itu. Jika benda-benda itu dijadikan tuhan, sepatutnya tuhan-tuhan mereka itu ada bersama menolong ketika mereka amat memerlukan pertolongan. Namun terbukti bahwa tuhan-tuhan itu tidak dapat menolong para penyembahnya, malah tidak dapat menolong diri mereka sendiri.

Ketika itu Allah swt memerintahkan manusia yang menyembah sesuatu selain Nya supaya mengikut tuhan-tuhan palsu yang disembah dahulu. Oleh sebab tuhan-tuhan yang disembah oleh mereka terdiri daripada batu-batu berhala atau tunggul kayu yang dimasukkan kedalam neraka sebagai bahan bakar, maka para penyembahnya juga turut terjun kedalam neraka bersama dengan sembahan mereka.

Demikianlah natijah yang mesti ditempuh oleh manusia yang tidak menggunakan akal yang sempurna dan juga nasihat para Rasul supaya menyembah Allah swt yang menciptakan alam dan diri manusia sendiri serta meninggalkan berhala-berhala yang tidak mendatangkan faedah mahu pun mudharat.

Mengapa mereka tidak menggunakan akal yang waras semasa mereka menyembah tuhan-tuhan palsu, padahal patung-patung sembahan itu adalah ciptaan mereka sendiri? Bukankah tuhan-tuhan palsu itu beku dan kaku, tidak memberikan sebarang menafaat kepada penyembahnya, hatta terhadap dirinya sendiri. Alangkah lemahnya akal para penyembah berhala itu.

Petikan buku 'Nota Kepada Diri' oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat.