Rabu, November 18, 2009

TITIAN KASIH



Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai dengan kerjasama PAS Kawasan dan Dewan Muslimat akan menganjurkan program yang diberi nama 'Titian Kasih'. Program ini bertujuan untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kelengkapan sekolah kepada pelajar miskin yang terdapat disekitar daerah Kulai. Objektik program ini diadakan ialah bertujuan untuk :-
  1. Menghubungkan silaturrahim antara golongan berada dengan golongan yang kurang berkemampuan.
  2. Mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mereka yang kurang mampu khususnya ketika menghadapi permulaan penggal persekolahan.
  3. Mendekati dan mengenal pasti golongan yang kurang berkemampuan bagi menghulurkan bantuan secara berkala melalui lajnah kebajikan PAS Kawasan.
Program ini memfokuskan :-
  1. Sasaran pelajar miskin seramai 60 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum di Kulai.
  2. Tumpuan diberikan bagi sekolah-sekolah yang terletak didalam DUN Bukit Permai.
  3. Bantuan dalam bentuk sepasang pakaian sekolah berserta beg dan perlatan tulis.
  4. Anggaran kos bagi seorang pelajar ialah RM80.00
Program akan berlangsung seperti berikut :-
  • Tarikh : 27 Disember 2009 (Ahad)
  • Venue : TJ Mart Saleng, Kulai.
  • Masa : 2.00 hingga 6.00 ptg
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyumbang dalam bentuk tajaan pelajar dan ingin mendapat maklumat lanjut sila hubungi talian dibawah :
  • 013-7216173 En. Ahmad Tobrani atau
  • 012-7271535 En. Mohd Fadil
Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan
Jazakallah Khairan Kasira.


Selasa, November 17, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg.Akhir)

Perintis Laluan Sutera Laut.

Walaupun Cheng Ho, Christopher Columbus, Vasco da Gama dan Ferdinand Magelhaen berkongsi satu persamaan dan pengiktirafan - mereka adalah pelayar-pelayar terhebat dunia - namun yang membezakan setiap individu adalah matlamat pelayaran yang mereka ketuai. Misi pelayaran para pelayar barat lebih kepada tujuan-tujuan seperti penjajahan, penyebaran doktrin kristianisasi dan penguasaan kekayaan yang disertai dengan kezaliman dan penindasan ke atas negara atau bangsa yang didatangi.

Amat berbeza sekali dengan pengembaraan Cheng Ho sebagai mewakili Dinasti Ming yang membawa mesej keamanan, persahabatan, perdamaian, diplomatik, perdagangan, pertukaran budaya dan teknologi dan menyebar dakwah Islam ke tanah daratan yang disinggahi. Pengembaraan Cheng Ho bukan sekadar membuahkan jambatan silaturrahim tetapi turut membantu beberapa pihak seperti berjaya memusnahkan kuasa lanun China, campur tangan dalam peperangan di Jawa dan membantu pemerintahan Ceylon yang sah mendapatkan takhta baginda semula.

Sepanjang 30 tahun dalam kehidupan sebagai ahli pelayaran, Cheng Ho tidak pernah putus asa melibatkan diri dalam aktiviti budaya Islam di China. Melalui 'laluan sutera laut' Cheng Ho telah membantu mempererat hubungan China dengan negara luar terutama dalam bidang politik dan ekonomi. Beberapa pengkaji sejarah moden menyimpulkan sumbangan Cheng Ho yang besar dalam dunia pelayaran silam secara tidak langsung telah menaikkan nama China gah di mata negara-negara jiran dan mungkin juga sebagai kuasa besar di dunia.

PETIKAN MAJALAH I (November 2009)

Isnin, November 16, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg. 2)

Jejak Ekspedisi Cheng Ho.

Tahun 1405 telah menjadi titik permulaan 'penguasaan' China dalam melancarkan misi ekspedisi terbesar dalam sejarah. Cheng Ho pula dilantik sebagai laksamana yang mengetuai misi. Sehingga tahun 1433, Cheng Ho telah mengetuai tujuh armada pelayaran ke 37 negara meliputi rantau Asia Tenggara, benua Afrika dan Tanah Arab dalam tempuh 28 tahun. Tujuan penjelajahan adalah untuk memupuk hubungan diplomatik di kalangan negara-negara terlibat kepada pihak istana. Ada juga pendapat sejarahwan yang mengatakan matlamat utama misi adalah untuk memulihkan semula imej Maharaja Yong Li yang agak kurang baik berikutan cara baginda yang menduduki takhta secara penggulingan kuasa.

Dilaporkan saiz angkatan laut Cheng Ho mempunyai kekuatan berganda-ganda apabila dibandingkan dengan bahtera Ibn Batutta mehupun kapal Christopher Columbus. Jika dilihat pada saiz kapal, tongkang Cheng Ho berukuran 400 kaki panjang, empat kali ganda dari saiz kapal Christopher Columbus yang hanya 85 kaki. Malahan kekuatan armada Cheng Ho tidak setanding dengan mana-mana kuasa Eropah walaupun sesebuah armada itu adalah gabungan daripada beberapa kerajaan. Suatu pencapaian yang amat luar biasa pada kurun ke 6 bagi tongkang sebesar itu dapat membelah lautan China Selatan dan LautanIndia menuju ke Ceylon, Arab dan Afrika Timur. Angkatan laut ini terdiri daripada 317 kapal besar yang setiap satunya mempunyai sembilan batang tiang layar, dengan ukuran 300 kaki panjang dan 150 kaki lebar dengan kapasiti 1000 orang penumpang. Kebanyakkan kapal tersebut di telah dibina di sebuah limbungan Teluk Naga berhampiran Nanjing. Sisa-sisa tinggalan masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

Tongkang-tongkang telah dilayarkan pada Julai 1405; 500 tahun lebih awal daripada pelayaran Columbus ke benua Amerika. Turut dibawa ialah berdozen-dozen buah kapal khas dengan kain layar selebar 15 meter dan kemudi sepanjang 11.07 meter. Kelengkapaan lain termasuk 100 kapal perang. Pelbagai muatan dibawa seperti barangan berharga, bekalan makanan, tangki-tangki air minuman, tentera berkuda, bot rondaan, sutera China dan barangan tembikar, barangan tembaga emas dan perak, barangan kapas dan perkakasan besi. Anak kapal yang terlibat berjumlah 27,000 terdiri kelasi, penterjemah, ahli perubatan, kerani, tukang-tukang, ahli meteorologi dan tentera.

Cheng Ho menggunakan 57 laluan laut yang berlainan dari negara China dan 53 jalur masuk, bergantung kepada keadaan laut. Antara laluannya ialah sepanjang pantai China ke Champa lalu merentasi Lautan China Selatan untuk singgah di Jawa, Sumatera dan tiba di Sri Lanka melalui Selat Melaka. Bagi laluan pulang, Cheng Ho telah memilih laluan sepanjang perairan Timur India dan selamat tiba ke China semula pada tahun 1407. Melaka sering menjadi pelabuhan persinggahan utama untuk mendapatkan bekalan dan keperluan logistik. Pada musin luruh tahun 1413, Cheng Ho telah belayar bagi pelayaran ke 4 bersama-sama 30,000 anak kapal menuju ke negara Arab. Daripada Hormuz beliau mengelilingi semenanjung Arab hingga ke Aden yang terletak berhampiran laut Merah. Kedatangan Cheng Ho telah mengejutkan masyarakat di wilayah itu yang didatangi oleh tetangga jauh. Kesannya, 19 buah negara telah menghantar duta-duta mereka ke kapal Cheng Ho dengan membawa hadiah-hadiah untuk dikirim kepada Maharaja Yong Le.

Beberapa negara turut membuat lawatan balas seperti Calicut di India, beberapa negara Asia dan Timur Tengah ke China. Ada dikalangan mereka yang tinggal di China buat beberapa tahun dengan tujuan melawat ke pelbagai tempat di sana. Pada tahun 1417, selepas dua tahun bermastautin di Nanjing, para duta asing dibawa pulang oleh Cheng Ho. Dalam perjalanan itu, beliau telah menyusuri perairan timur Afrika, berhenti di Mogadishu, Matindi, Mombassa, Zanzibar dan Mozambique. Secara tidak langsung Cheng Ho telah menggalakkan pertukaran dagangan dan teknologi dengan negara-negara yang disinggahi. Contohnya, para pedagang Arab dan Afrika telah bertukar-tukar barangan dengan armada China seperti rempah-ratus, kayu-kayan, gading, ubat-ubatan dan mutiara. Selain itu, Kota Semarang juga menjadi tempat persinggahan utama dalam urusan rempah-ratus yang antara lain digunakan untuk pengubatan tradisional Cina.

Penggembaraan Cheng Ho tidak berseorangan apabila turut ditemani oleh Ma Huan dan Ha San dari suku Hui (Imam Masjid Besar Chang'an) yang bertindak sebagai pencatat serta jurubahasa, juga Kuo Chung-li dan Hung Pao. Peranan Ma Huan amat penting dalam mencatatkan pelbagai peristiwa pelayaran lalu mengabadikannya dalam buku yang bertajuk 'Ying Yu Shen Lan' atau bermaksud Pemandangan Indah Ditepi Seberang Laut. Buku ini menjadi rujukan utama dalam kajian mengenai sejarah hubungan China dengan dunia luar. Walaubagaimanapun misi penjelajahan ini tidak terlepas dari menerima kritikan dari para pegawai istana sendiri. Mereka mengatakan misi Maharaja China sebagai kurang menafaat dan membazir semata-mata. Selepas kemangkatan Yung Le pada tahun 1424, sejurus Cheng Ho kembali ke China menyempurnakan ekspedisi ke 6, ekspedisi telah dihentikan. Laksamana Cheng Ho telah ditugaskan sebagai komander tentera di Nanjing. Penjelajahan terakhir dan yang ke 7 diteruskan ketika pemerintahan Maharaja Hsuan-tsung.

Ibrahim TY Ma (1979) dan H Yusuf Chang (1998) dalam tulisannya mencatat secara berturutan
7 ekspedisi pelayaran Laksamana Cheng Ho. Menurut H Yusuf Chang, pelayaran ke 7 pada 1432-1433, sebenarnya merupakan misi haji yang diarahkan oleh Maharaja Hsuan-tsung untuk memenuhi sebuah misi rahsia Maharaja Yung Le yang meninggal dunai dan belum sempat dilaksanakan. Tidak diketahui secara pasti bentuk misi rahsia yang dimaksudkan. Dalam pelayaran yang lain, Laksamana Cheng Ho ditemani Ma Huan dan Ha San. Sepanjang 7 kali pelayaran, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka sebanyak 4 kali iaitu 1408, 1409, 1412 dan 1413M. Hasil penjelajahan laut ini telah membawa hubungan baik antara Melayu Melaka ke Negeri China. Itu sebabnya terdapat 20 kali rombongan dari Melaka ke Negeri China di sepanjang 1404-1435M, sebagai balasan atas interaksi China-Melaka yang dirintis Cheng Ho. Cerita mengenai muhibah kerajaan Melaka tercatat dalam Tawarikh Dinasti Ming.

Pada usia 65 tahun, Cheng Ho kembali mengunjungi Teluk Parsi, Laut Merah dan meninggal dalam perjalanan pulang dari India pada tahun 1435. Jenazah beliau telah dikebumikan di kawasan pinggir Kota Nanjing.

Petikan Majalah I (November 2009)

Jumaat, November 13, 2009

Cheng Ho : 1371 - 1433 (Bhg. 1)

Laksamana Muslim dari China.
Saiz angkatan laut Cheng Ho mempunyai kekuatan berganda-ganda apabila dibandingkan dengan bahtera Ibn Batutta mahupun kapal Christopher Columbus.

Cheng Ho atau Zheng He sebenarnya lahir dengan nama Ma He pada tahun 1371. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin berketerunan Hui, iaitu sebuah etnik China beragama Islam di Yunan, sebuah wilayah di barat daya China. Datuk dan ayah Cheng Ho pernah melakukan beberapa penghijrahan haji ke Makkah ketika dia masih kecil. Kembara itu serba sedikit telah mendedahkannya kepada budaya asing dan pelbagai pengetahuan seperti kemahiran berbahasa Arab dan ilmu geografi.

Pada usia 10 tahun, Cheng Ho telah menjadi tawanan perang. Tetapi nasibnya baik apabila telah dipilih untuk menjadi sida istana yang bertugas sebagai pengiring kepada seorang bangsawan bernama Yong Li. Bakat kepimpinan Cheng Ho sudah mula terselah apabila dia telah menjadi orang kepercayaan Yong Li yang sedang mengadakan kempen menggulingkan maharaja ketika itu. Setelah Yong Li menaiki takhta sebagai maharaja, Cheng Ho mempunyai peranan penting membantu Dinasti Ming dalam beberapa siri kempen ketenteraman termasuklah menakluki Nanjing. Sebagai ganjaran, Cheng Ho telah dikurniakan pangkat dan kedudukan berserta gelaran keluarga 'Cheng'.

Oleh kerana kebijaksanaan, keberanian dan kecerdasannya itu, Maharaja telah menganggap Cheng Ho seperti anak baginda sendiri. Dari situlah bermulalah era baru pemuda yang dikatakan mempunyai ketinggian lebih dari lapan kaki ini sebagai orang kepercayaan Dinasti Ming apabila diberi mandat sebagai duta negara China yang membawa mesej diplomatik merentasi samudera luas.

Petikan Majalah I (Nobember 2009)

Jumaat, November 06, 2009

Harta Yang Mengutuk Tuannya Di hadapan Malaikat Maut.

Dalam sebuah riwayat menerangkan bahwa ada seorang lelaki yang banyak sekali mengumpulkan hartanya, dia membina sebuah istana dan dilengkapi dengan para pengawal. Pintu istananya dibuat daripada besi yang cukup kukuh.

Pada satu hari lelaki itu mengumpulkan keluarganya dan menyediakan makanan untuk mereka, kemudian dia duduk diatas tempat tidur dan mengangkat salah satu kakinya ke atas kaki yang lain, kemudian dia pun turut makan bersama.

Apabila mereka selesai makan, lelaki itu pun berkata :
"Wahai saudara-saudaraku berdirilah, nikmatilah makanan untuk beberapa tahun yang telah aku kumpulkan untuk kamu semua". Belum selesai lelaki itu berkata, datanglah malaikat maut dalam bentuk seorang lelaki yang sedang membawa dua kain buruk dan dilehernya tergantung karung makanan kuda, keadaannya seperti orang miskin.

Kemudian malaikat maut mengetuk pintu dengan keras sehingga menakutkan lelaki itu yang sedang tidur diatas tempat tidurnya. Oleh kerana ketukkan yang cukup kuat itu maka berlarilah pengawal lelaki itu ke pintu tanpa membukanya sambil melihat dari lubang pintu. Kata pengawal: "Siapakah kamu dan apa yang kamu mahu?". Berkata malaikat maut: "Panggil tuan kamu ke sini". Pengawal itu berkata : " Tuan kami tidak akan bertemu dengan orang yang seperti kamu". Setelah berkata demikian maka pengawal itu pun pergi memberitahu tentang orang yang mengetuk pintu itu.

Malaikat maut mengetuk pintu dengan kuat lagi sehingga menyebabkan pengawal itu tidak tahan sabar lalu meluru ke pintu. Apabila malaikat maut melihat pengawal berada dekat pintu dia berkata: "Wahai pengawal! Katakan kepada tuanmu bahwa aku adalah malaikat maut!".

Para pengawal merasa sangat takut, lalu lelaki kaya itu berkata kepada pengawalnya: "Wahai pengawal katakan dengan lemah lembut kepada malaikat maut, tanyakan samada dia ingin mengambil nyawa seseorang". Kemudian malaikat maut masuk kedalam istana lalu berkata kepada lelaki itu: "Buatlah apa yang hendak kamu buat pada hartamu itu, aku tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum aku keluarkan nyawa kamu".

Lelaki itu memandang kepada hartanya sambil berkata: "Wahai harta! engkau ini telah dikutuk oleh Allah, engkau telah menyibukkan aku dan engkau telah membuat aku lupa beribadat kepada Allah. Engkau telah mencegah aku daripada mengingati Allah". Setelah lelaki itu memarahi hartanya, maka Allah swt mengizinkan hartanya berkata-kata.

Lalu harta itu pun berkata : "Mengapa kamu memaki aku? Kamu dapat bertemu dengan raja-raja adalah dengan sebab aku, orang yang bertaqwa semuanya kamu tolak, kamu mengawini wanita-wanita dengan penuh kenikmatan adalah kerana aku, kamu duduk dalam majlis raja-raja adalah kerana aku, kamu belanjakan aku pada jalan yang jahat tetapi aku tidak memarahi kamu. Kalaulah kamu membelanjakan aku ke jalan kebajikan nescaya aku akan mendatangkan manfaat kepada kamu. Kamu dan anak Adam itu dijadikan dari tanah maka berjalanlah dia dengan kebajikan dan berjalanlah dia dengan dosa".

Banyak sekali manusia tidak sedar bahwa harta yang mereka usahakan siang dan malam tanpa menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah, sebenarnya mereka itu menghimpunkan untuk mendapatkan dosa yang paling banyak. Islam tidak menghalang seseorang itu mencari harta kekayaan. Islam menyuruh kita mencari harta dengan menunaikan segala tanggungjawab kita terhadap Allah swt. Kita melihat berapa ramai manusia yang tidak sembahyang, mereka merasakan dunia ini hanya tempat untuk menghimpun harta sahaja. Mereka lupa bahwa harta yang mereka kumpulkan itu tidak akan berguna apabila malaikat maut sudah tiba. Apa yang mereka akan dapat hanyalah siksa yang pedih.

Orang yang mengumpulkan harta dengan cara mencabar perintah Allah, adalah mereka itu orang yang menanti-nanti bilakah agaknya akan datang siksaan Allah. Sebenarnya orang yang mengumpulkan harta dengan tidak menunaikan perintah Allah adalah mereka ini orang orang yang akan mendapat paling banyak siksa, dan di akhirat nanti sterika panas akan disterikakan ke atas tubuh mereka. Dikala itu barulah mereka tahu kenapa mereka dihidupkan di dunia.

Wahai saudara-saudarku, janganlah menjadi manusia yang sombong di muka bumi ini kerana manusia tidak akan kekal hidup di muka bumi, maut tetap akan mencari kita. Sebelum maut datang mencari, hendaklah kita kembali menyembah Allah swt. Allah adalah Tuhan kita dan Dialah Raja yang sepatutnya disembah.

Isnin, November 02, 2009

Tidak Memusuhi Ulama'.

Abu Hurairah r.a. menyebutkan bahwa Rasulullah s.a.w. memberitakan sesungguhnya Allah swt telah bersabda dalam hadith al-Qudsi :

من عادى لى وليا فقد آذنته بالحرب

Maksudnya :
"Sesiapa memusuhi seseorang wali-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang terhadapnya".

و ما تقرب الى عبدي بشيىء أحب الى مما افتر ضته عليه

Maksudnya :
"Dan tiadalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu yang lebih Aku sukai melebihi kefarduan yang Aku telah fardukan kepadanya".

و ما يزال عبدي يتقرب الى بالنو افل أحبه

Maksudnya :
"Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku, dengan amalan-amalan sunnat sehingga Aku lebih mengasihinya".

فاذا أحببته فكنت سمعه الذي يسمع به، وبصره الذي يبصر به، ويده التيى يبطش بها، ورجله التيى يمشيى بها

Maksudnya :
"Maka apabila Aku telah mengasihinya, jadilah dia mendengar dengan pendengaran yang Aku dengar(Aku restukan), dia melihat dengan penglihatan yang Aku lihat (Aku restukan), Akulah yang menjadi tangan baginya untuk dia bertindak (yang Aku restukan), dan Aku lah yang menjadi kaki baginya untuk dia berjalan (yang Aku restukan)".

وان سألنيى لأعطينه، ولئن استعا ذنيى لأ عيذنه

Maksudnya :
"Seandainya dia memohon pada-Ku, nescaya Aku berikan dan seandainya dia memohon perlindungan-Ku, pastilah Aku melindunginya".

وما ترددت عن سيئ أنا فاعله ترددي عن نفسي المؤ من، يكره الموت وأنا أكره مساءته

Maksudnya :
"Dan tiadalah Aku berbolak balik terhadap sesuatu hal yang Aku kerjakan, sebagai bolak-balik yang berlaku kepada seseorang mukmin yang tidak inginkan kematian, sedang Aku tidaklah ingin membuat keburukkan ke atasnya".

Hadith ; Riwayat al-Bukhari.

Pengajaran Hadith .

  1. Wali menurut ertinya yang lebih luas ialah orang yang dikasihi Allah kerana mereka taat kepada Nya dengan sepenuh hati.
  2. Para wali Allah ialah orang yang berilmu dan memegang amanah ilmu yang berguna.
  3. Menentang wali Allah adalah bererti menentang amanah ilmu dan sifat yang dikasihi Allah, kerana itu wajarlah sekiranya di diperangi Allah swt.