Selasa, April 13, 2010

Ikut Hati Mati.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Ketahuilah, sesungguhnya didalam jasad ini ada seketul daging. Seandainya dia baik, maka baiklah jasad seluruhnya dan seandainya dia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, dia adalah hati".
(Muttafaqun 'alaih, daripada hadis an-Nu'man bin Basyir r.a.)

Firman Allah swt dalam surah al-Hujurat ayat ke 14 bermaksud :
"...Katakan orang-orang Arab (Arab Badwi) : 'Kami telah beriman'. Katakanlah (Wahai Muhammad) : 'Kamu belum beriman, tetapi kamu katakanlah saja kami telah Islam, sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu..."

Firman Nya lagi dalam surah al-Maidah ayat ke 41 bermaksud :
"Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu daripada orang-orang yang berkata dengan mulutnya : 'Kami telah beriman, padahal hatinya tidak beriman..' "

Hati telah ditaklifkan oleh Allah swt untuk menundukkan seluruh jiwa dan perasaan kepada Nya. Hati mestiah menghalakan kecintaannya hanya kepada Allah dan tidak harus menyintai sesiapa yang lain kerana zat Nya. Kecintaan kepada yang lain selain Allah mestilah kerana mencari cinta Allah.

Begitu juga dengan perasaan marah. Tidak boleh memarahi seseorang kecuali kerana Allah yang memurkainya, dan tidak boleh bergembira melainkan kerana kurnia dan kelebihan yang diberikan Allah kepadanya. Kita juga dilarang bersedih melainkan kerana kekurangan dalam menunaikan hak-hak Allah swt. Tidak berharap, tidak takut dan tidak khusyu' serta tidak bertawakkal kecuali kepada Allah swt.

Islam tidak menghalang perselisihan pendapat bahkan membenarkannya. Tetapi berselisih pendapat sehingga menimbulkan perasaan marah yang bersandarkan nafsu adalah permainan syaitan dan ditegah dalam agama. Apatah lagi menghamburkan kata-kata kesat yang boleh mengguris perasaan orang yang mendengar. Jangan terikut dengan pujuk rayu iblis yang sentiasa bersiap siaga hendak menyesatkan anak Adam. Nafsu yang bersifat jahil, zalim dan kikir, diciptakan Allah untuk menyeru manusia kepada kejahatan disamping menguji sejauh mana benarnya penghambaan diri seseorang insan kepada Tuhannya. Nafsu yang tidak suka bersusah payah, sangat benci kepada apa jua bentuk taklif dan tanggungjawab. Keinginan paling tinggi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh nafsu ialah untuk merasakan bahawa dirinya adalah lebih tinggi dan lebih hebat daripada orang sekelilingnya. Terma popular yang digunakan sekarang ialah ego.

Kebolehan menegur tetapi tidak sedia untuk menerima teguran menunjukkan ego seseorang itu amat tinggi. Nafsu yang menguasai dirinya membuatkan ia tidak mampu tunduk dan menurut kehendak lain. Perbezaan pendapat yang sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang sihat dipandang serong lagi menyempitkan. Mereka yang tidak sependapat akan diserang dengan tuduhan liar dan melulu. Begitulah nafsu apabila berjaya menguasai manusia. Seandainya seorang insan itu menuruti kehendak hawa nafsunya, sudah tentu ia akan menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan.

Al-Quran telah banyak sekali mengingatkan kita tentang bahaya mengikut hawa nafsu. Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat ke 43 bermaksud :
"Nampakkah engkau (Wahai Muhammad) keburukkan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?"

Berhati-hatilah dalam setiap tindakan yang hendak diambil agar kita tidak tergolong didalam orang yang dikuasai oleh hawa nafsu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan