Jumaat, April 30, 2010

Golongan Ruwaibidhah.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : "Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang yang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya : Apakah Ruwaibidhah itu ya Rasulullah?. Nabi s.a.w. menjawab, Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".

HR : Ibnu Majah.

Keterangan hadis :

Zaman yang disebut oleh Nabi s.a.w. itu ialah zaman ketandusan. Orang yang benar akan diketepikan dan orang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberi peluang bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Orang khianat disanjung-sanjung,
orang amanah tidak didukung,
pemimpin zalim bunga dikalung,
mujahid Islam ditali gantung.

Bangkitlah wahai pewaris Nabi,
jangan biarkan umat dikeji,
teruskan jihad ke jalan suci,
sebar luaskan rahmat Illahi.


ALLAHU AKBAR!


Program Lawatan Titian Kasih.

Sahabat-sahabat yang berkelapangan dipersilakan untuk turut serta pada program tersebut (Hari Ahad : 2 Mei 2010) di dua lokasi iaitu :
  1. Felda Bukit Permai dan
  2. Kampung Murni Jaya.
Turut hadir pada program ziarah ini ialah Sdr. Mazlan Aliman selaku Ketua Penerangan BPPNJ merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Sahabat diminta berkumpul di PUSTAKA pada jam 2.30 ptg. Penglibatan para pendokong gerakan Islam amat dialu-alukan bagi meramai dan memeriahkan kunjungan ke keluarga yang kurang berkemampuan di 2 lokasi tersebut.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.


Khamis, April 22, 2010

Berjuang Hanya Kerana Allah.

Sudah menjadi sifat daripada orang yang tinggi takwanya terutama para sahabat Rasulullah s.a.w. perjuangan mereka semata-mata hanya kerana Allah. Mereka tidak begitu mengambil perhatian kalau masalah peribadi mereka dicabar oleh orang, tetapi sebaliknya mereka akan berjuang habis-habisan kalau agamanya dipermainkan oleh musuh. Sifat demikian memang mereka warisi dari Rasulullah s.a.w.

Dikisahkan bahwa, pada suatu hari seorang yahudi telah mempermain-mainkan agama Islam dengan angkuhnya di hadapan Saidina Ali r.a. Akibatnya, Ali yang terkenal dengan keberanian dan tegas, telah marah dan mencabar orang yahudi itu. Maka terjadilah pergaduhan antara keduanya. Perang satu lawan satu itu semakin lama semakin hebat. Si yahudi berjuang kerana angkuh dan sombonngnya sedangkan Ali berjuang semata-mata kerana Allah swt bagi mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Kerana hebatnya gerakan dan pukulan Ali r.a., maka terpelantinglah tubuh si yahudi dan tergolek diatas tanah. Dengan cepat Ali menindih tubuh musuh Allah itu dengan duduk diatas perutnya. Lalu kedua-dua tangan dipegangnya dengan kuat-kuat dan dimatikannya gerakan si yahudi itu. Kini si yahudi sudah tidak bergerak lagi. Sementara Ali menatap tajam ke wajahnya sebagai tanda bahwa nyawa lawannya sedang terancam dan hanya tinggal menunggu saat untuk ditikam.

Dalam keadaan tidak berdaya, si yahudi masih tercari-cari akal untuk melepaskan diri, namun tidak berhasil juga. Tiba-tiba dia dapat melepaskan murkanya dengan meludah wajah Ali. Maka basahlah wajah Ali yang mulia itu dengan air ludah si yahudi. Setelah wajahnya berlumuran ludah, Ali terdiam. Tidak lama kemudian beliau melepaskan genggaman tangannya dari memegang tangan si yahudi dan berdiri tegak. Dibuka serbannya dan dilapkan ludah yang melekat diwajahnya.

Melihat dirinya sudah tidak ditindih dan tidak diperhatikan lagi, si yahudi bangun dan berdiri tegak di hadapan Ali. Dengan kehairanan dia bertanya " Mengapa engkau tidak membunuh aku? Padahal itu kesempatan yang baik buatmu untuk melakukan itu". Kemudian dia berkata lagi "Aku meludahi wajahmu itu sebenarnya kerana aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi".

Saidina Ali menjawab "Tadi saya bergaduh dan menyerang kamu kerana mempertahankan agama Allah. Saya akan membunuh engkau selama engkau menentang Tuhan". Sambil membetulkan letak serbannya, beliau berkata lagi "Tetapi setelah engkau ludahi wajahku, masalahnya bukan lagi mempertahankan agama Allah. Ia telah menjadi masalah peribadi. Aku sangat murka kepada engkau kerana meludahi aku. Kalau sekiranya aku bunuh engkau kerana kemurkaan berkenaan urusan peribadi, maka perjuanganku sudah tidak ada erti lagi. Sebab bukan lagi kerana mempertahankan agama Allah, melainkan kerana mempertahankan harga diri".

Mendengar penjelasan itu, si yahudi sangat kagum dengan ketinggian akhlak dan keperibadian Ali. Dari pengajaran itu, tahulah dia bahwa perjuangan Rasulullah s.a.w. dan orang Islam bukan untuk kepentingan peribadi tetapi semata-mata demi kepentingan agama Allah.

Rabu, April 21, 2010

Salam Kepada Bukan Islam.

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

M Jusoff Taib


Petikan artikel : Harakahdaily.

Osman Bakar : Bangkitkan Kembali Epistemologi Islam.


Mutakhir ini, wacana epistemologi Islam mula mendapat sorotan. Sama ada kita menyedari atau tidak, merasakan atau tidak, tapi perlahan-lahan, buku, institusi serta gerakan penyelidikan mengenai epistemologi Islam kian bercambah. Namun, tampaknya denyut keghairahan ini seperti terabai — terutamanya dalam kalangan Muslim di Malaysia — sehingga tidak melihat peri-pentingnya peranan epistemologi dalam kehidupan beragama. Maka, atas hasrat untuk menanam kefahaman inilah yang mempertemukan kita dengan Prof Emiritus Datuk Osman Bakar, timbalan ketua pegawai eksekutif, Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa, (International Institute of Advanced Islamic Studies), Malaysia (IAIS). Bersama AQIL FITHRI — zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun — maka, murid dekat Seyyed Hossein Nasr ini sempat ditemuramah sewaktu kunjungannya ke Pusat Kajian dan Maklumat Falsafah Islam atau Center for Islamic Philosophical Studies and Information (CIPSI), Jakarta baru-baru ini.

Aqil Fithri: Kita tahu, tidak semua yang kuno adalah kuno. Sebab itu, dewasa ini wacana klasik tentang ilmu hushuli dan ilmu hudhuri mulai diangkat dalam wacana Islam, khususnya wacana falsafah Islam. Difahamkan pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhduri — ini dibuat oleh Suhrawardi. Kebetulan, anda pula pernah menulis buku The Classification of Knowledge in Islam. Justeru, buat pengenalan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini?

Osman Bakar: Dalam tradisi Islam, terdapat beberapa pengelasan ilmu. Tentunya ada persoalan, mengapa terdapat beberapa sistem pengelasan ini? Ini kerana, ada perspektif yang mendorong kita melakukan pengelasan tersebut. Sebagai contoh, ada pembahagian ilmu antara fardu ain dan fardu kifayah. Ini juga sebenarnya adalah satu contoh pembahagian. Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna hanya terdapat satu pembahagian saja dalam pengelasan ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya, setiap pembahagian dilakukan kerana ada asasnya, serta ada juga kegunaannya yang penting bagi masyarakat. Jadi, pembahagian ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini adalah termasuk dalam satu contoh pembahagian ilmu yang terdapat dalam Islam.

Namun, pembahagian ini dibuat lantaran ada perbezaan kaedah, iaitu merujuk kepada pemerolehan sumber ilmu. Perlu diketahui, pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhuri — sebenarnya sudah terdapat dalam tulisan al-Ghazali lagi, iaitu sebelum Suhrawardi al-Maqtul. Yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli ini adalah, ilmu yang manusia peroleh dengan kognitifnya, dengan daya usahanya, sama ada dengan menggunakan pancaindera atau dengan akalnya (acquired knowledge). Manakala ilmu hudhuri, itu merujuk kepada ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian manusia, yang mana ini berasaskan kepada penerimaan langsung dari Tuhan (presential knowledge). Jadi, ilmu hudhuri ini sudah tentu ada kaitan dengan perkataan, “hadhir,” “hadhrah,” “hudhur,” yang mana kata-kata ini dari akar yang sama—yang semuanya mengusung makna kehadhiran Ilahi. Dalam kata lain, ini juga semacam ilmu laduni, iaitu datang dari sisi Tuhan.

Sungguhpun demikian, perlu ditegaskan, bahawa ilmu ini bukan hanya untuk para Nabi saja, tapi juga termasuk untuk manusia-manusia seperti awlia, ulama, ilmuan, hukamak, dan lain-lain, yang Tuhan mahu anugerahkan keistimewaan pada manusia-manusia pilihannya. Sebab itu, ilmu ini dikaitkan dengan pengalaman keruhaian (spiritual life) yang dicapai oleh individu tertentu. Jadi, memang berbeza dengan ilmu hushuli, iaitu ilmu yang dikaitkan dengan pancaindera dan rasional yang sarat dengan nalar dan logik. Maka, ilmu hudhuri lebih khusus, lebih istimewa, lebih terpilih, yang mana ini disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “walaupun semua ilmu itu berasal dari Tuhan, tapi terdapat banyak cara untuk ilmu tersebut sampai kepada manusia.” Salah-satu daripadanya adalah ilham/inspirasi/intuisi. Inilah kaedah untuk memperoleh ilmu hudhuri. Namun, perlu diingat juga, ilham itu ada pelbagai peringkat, dan ilham inilah yang akhirnya membuahkan ilmu hudhuri.

Namun, bagaimana pula kita dapat menentukan, atau mengelaskan, tingkat-tingkat yang terdapat dalam ilmu hudhuri ini?

Penentuan tingkat ini adalah berdasarkan keakrabannya dengan sumbernya. Jika kita bermula dari atas, maka sumber yang tertinggi, ialah Tuhan. Kemudian, ada ilmu yang datang dari sisi Tuhan, yang dikurniakan kepada manusia-manusia terpilih, selain dari para Nabi. Jadi, kita boleh letakkan ilmu wahyu itu sebagai contoh ilmu hudhuri, tapi hanya khusus untuk para para Nabi saja. Kemudian, ilham boleh saja dianugerahkan pada manusia-manusia terpilih. Tapi, harus diperhatikan bahawa sebuah ilmu itu bukan saja merujuk kepada caranya sampai pada manusia, tapi juga merujuk kepada mauduk (objek/bahan yang disampaikan).

Jadi, di sini, bukan saja tingkat ilham, tapi juga tingkat objek yang dikaji oleh ilmu tersebut. Persoalan tentang adakah objek tersebut merujuk pada alam rendah, atau alam sederhana, atau alam tinggi, itu semua adalah bergantung pada tingkat alam. Sebab itu, dalam buku The Classification of Knowledge in Islam itu ada tiga pengelasan, iaitu berasaskan ontologi (berhubung dengan martabat maujud yang dikaji), kaedah, dan etika. Jadi, hakikatnya, martabat yang tertinggi adalah apabila Tuhan menjadi objek kajian.

Disebut bahawa ilmu hudhuri itu adalah bernuasakan kata “hadir.” Maknanya, pengalaman peribadi dalam kehadiran Tuhan. Namun persoalannya, apakah pengalaman peribadi ini dapat diluaskan sebagai sebuah ilmu universal, tidak hanya untuk peribadi saja?

Ya, memang! Ilham itu berdasarkan kepada ajaran al-Quran, dan hadith-hadith, yang memang dengann jelas menunjukkan ilham itu adalah sebuah fenomena universal. Maknanya, yang berpeluang untuk mengalami itu bukan hanya muslim, tapi juga seluruh anak Adam. Walau bagaimanapun, kekerapan penerimaannya adalah bergantung kepada pengalaman keruhaniannya, dan juga tahap intelektualnya, serta sukatan ilmunya. Islam percaya bahawa pengalaman ilham ini boleh disuburkan, atau dikerapkan, melalui sebuah cara hidup yang dianjurkan dalam keruhanian Islam. Jadi, kita boleh menyemarakkan pengalaman ilham ini, dan ternyata ilmu ini adalah universal.

Mithalnya, kita tahu bahawa dalam sejarah sains moden terdapat saintis bukan Muslim yang menemui ilmu baru dari ilham. Maknanya, ada alam ideal yang terbuka pada semua manusia. Terbukti, bahawa Tuhan tidak bataskan ilham ini pada Muslim saja. Kalau berbalik pada ilmu hudhuri itu, memang dari tingkat tertinggi, iaitu wahyu, adalah tidak khusus. Wahyu hanya untuk para Nabi saja. Namun, pada tingkat yang lebih bawah — ilmu atau hikmah yang berdasarkan kepada pengalaman keruhanian, serta pencapaian intelektual — ini terbuka, dan boleh diterima oleh bukan Muslim.

Tapi, persoalannya, bagaimana kita dapat menerangkan bahawa sesuatu ilmu dapat juga diperoleh bukan hanya melalui pancaindera dan akal?

Tentu sekali mereka yang menerima ilmu di luar pancaindera dan akal ini dapat mengetahui. Bahkan, kita juga dapat mengesahkan dakwaan tersebut dengan menguji kebenaran ilmu itu — sama ada berdasarkan logik, atau sebarang kaedah yang terima dalam epistemologi. Tapi, prinsipnya tetap sama, iaitu apa saja ilmu yang dihebahkan, oleh sesiapa saja, maka kita boleh buat pengesahan. Ini seperti juga ilmu empirikal. Jika ada seorang saintis menemui sebatian, atau formula, maka kita akhirnya boleh uji penemuan tersebut.

Begitu juga dengan ilmu hudhuri. Tapi, harus diingat, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menguji ilmu-ilmu tersebut. Tidak perlu kita takut pada kata “kelayakan” ini. Sebab, untuk penemuan ilmu empirikal, memang terdapat ramai yang dapat mengesahkannya. Sebaliknya, ilmu yang berdasarkan pengalaman kerohanian, barangkali adalah lebih sedikit. Sebab, kelayakan ini adalah sesuatu yang normal, sekalipun pada ilmu empirikal. Misalnya kalau kajian tentang bunyian, sudah mereka yang pekak tidak boleh mengambil bahagian. Kalau kita nak buat kajian tentang warna, sudah tentu mereka yang buta tidak boleh ambil bahagian. Jadi, ada kelayakan untuk mereka yang mahu membuat pengesahan ilmu ini.

Demikian juga al-Quran mendakwa bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran. Itu dakwaan al-Quran. Tapi, bagaimana untuk kita mengesahkannya? Maka, kita kumpul ambil data dari mereka yang telah melakukan solat. Namun kita perhatikan tetap mereka yang solat juga melakukan kemungkaran. Maka, kita perlu semak pula apakah solat itu telah dilakukan dengan syarat-syaratnya, dengan kehadhiran rohaninya, dengan sepenuh hatinya. Jadi jelas, prinsipnya tetap sama untuk ilmu hushuli mahupun ilmu hudhuri. Hanya jumlah individu yang melibatkan diri dalam membuat pengesahan saja yang terbatas.

Jadi, nampaknya ilmu wahyu boleh disahkan melalui data-data emperikal?

Ilmu wahyu hanya boleh disahkan pada peringkat rasional. Kita himbau balik, al-Quran yang turun pada kurun ke-7, itu membentangkan beberapa fenomena alam, dan hari ini kita sudah saksikan pengesahan tersebut melalui sains. Pada kurun ke-7 itu, memang tidak ada yang mampu untuk mengesahkan. Mereka terima saja ayat tersebut atas nama keimanan. Urusan pengesahan kemudian.

Atau, mungkinkah kita juga boleh katakan bahawa ilmu hudhuri juga adalah sebuah rasional yang tidak terungkap?

Sebenarnya, soalan ini adalah menyentuh mengenai peranan bahasa dalam mengungkapkan kebenaran. Sebab, bahasa ada batasannya dalam mengungkapkan kebenaran — saatnya bersangkutan dengan fenomena yang dikaji. Ilmu hushuli adalah mengkaji fenomena yang fizikal. Jadi, bahasa lebih mampu untuk mengungkapkan kebenaran alam kerana itu juga adalah pengalaman bahasa kita seharian (alam fizikal). Sementara, ilmu hudhuri pula merujuk kepada keruhanian. Jadi, bila kita mahu mengungkapkan realiti kerohanian, maka penggunaan bahasa seharian memang ada batasannya. Sebab itu, ada bahasa tanda. Ini semacam juga al-Quran, jika mahu menceritakan mengenai alam keruhanian, disampaikan dalam bahasa perumpamaan… masalu, masalu, masalu.

Tapi, ada persoalan menarik hubungan antara ilmu hudhuri dengan kosmologi. Dikatakan, soal mikrokosmos ini mendapat sorotan besar dari Saidina Ali Abi Talib, terutamanya saat disemak dari buku kumpulan pemikirannya, Nahjul Balaghah. Apakah ini benar?

Mikrokosmos itu adalah prinsip penting yang digunakan dalam banyak ilmu, termasuklah dalam ilmu kosmologi, dalam ilmu psikologi, dalam ilmu sains politik, dalam ilmu kimia, malah betapa banyaknya lagi ranting-ranting ilmu yang menerapkan prinsip mikrokosmos dalam sejarah ilmu Islam. Sebagai contoh, persoalan hikmah itu sebenarnya sangat dekat dengan persoalan mikrokosmos. Ini juga adalah antara ilmu hudhuri sepeti yang kita bicarakan itu. Dalam sejarah, idea alam as-Saghir itu ditemui oleh Saidina Ali Abi Talib, yang mendapat idea itu menerusi himpunan data wahyu, serta kemudian menggunakan akal kullinya, atau kuasa inteleknya, atau kecerahan sukmanya, untuk menafsirkan data-data tersebut. Itu memang sumbangan intelektual terbesarnya.

Kita boleh memahami hal ini kerana banyak ayat al-Quran yang mengungkapkan mengenai penciptaan manusia. Memang, dalam sesetengah ayat, hanya menyentuh sebahagian unsur-unsur manusia saja. Tapi, dalam ayat-ayat lain, turut disentuh unsur-unsur yang lain pula. Justeru, kalau kita mahu mendapat gambaran menyeluruh tentang manusia, maka kita kena kumpulkan semua ayat yang berkaitan dengan penciptaan manusia, sebelum melakukan sebuah “renungan akal.” Lalu, pada kesimpulannya, kita akan berkata, “setiap hal yang ada di luar diri kita, maka sebenarnya turut ada di dalam diri kita.” Itulah idea mikrokosmos, iaitu alam as-Saghir, atau alam kecil. Jadi, terdapat keselarian antara dua semesta: semesta luar diri kita dengan semesta dalam diri kita, iaitu one to one correspondence antara kedua semesta tersebut.

Hal inilah yang menarik minat kalangan saintis Barat untuk dikembangkan dalam penyelidikan mereka. Sebab itu, dalam pengertian inilah, Ikhwan as-Safa berkata, “Kalau kita mahu mengetahui hakikat alam ini, tidak perlulah kita menjelajah ke angkasa, cukup hanya pergi ke alam diri kita saja.” Kerana, sebenarnya diri kita ini juga adalah satu universe, atau satu semesta. Ini juga sebenarnya pesan al-Quran apabila Tuhan memanifestasikan tanda-tandanya bukan saja dalam makrokosmos, tapi juga dalam mikrokosmos.

Lantaran dengan adanya kesejajaran antara makrokosmos dan mikrokosmos ini, maka apakah kerana itu Islam turut menekankan mengenai tazkiyatun nafs, sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri pada Tuhan? Dan, apakah tazkiyatun nafs ini dapat dirasionalkan?

Sebelum itu, kita harus melalui proses-proses pembersihan jiwa, atau tazkiyatun nafs ini dahulu. Perlu diingat, tazkiyatun nafs ini bukan proses sembarangan, bukan proses yang tidak berperaturan, dan bukan proses yang tidak berprinsip. Malahan, tazkiyatun nafs ini juga adalah satu sains dan satu seni. Satu sains, sebab terdapat prinsip yang perlu kita faham tentang jiwa iaitu; apa itu jiwa, apa itu realiti jiwa, apa itu juzuk jiwa, apa itu komponen jiwa, dan lain-lain. Jadi, bila kita mahu melakukan tazkiyatun nafs, maka kita perlu tahu apa itu nafs. Dalam konsep manusia, nafs itu adalah salah-satu komponen manusia. Kemudian, perlu dirungkai persoalan lain, tentang hubungan nafs dengan akal, dengan qalb, dengan roh — dan, semua ini sebenarnya adalah sebahagian dari sains yang kita perlu belajar kalau benar-benar mahu melakukan tazkiyatun nafs.

Satu seni pula, sebab ada tahap praktikal, dan inilah seni yang kita warisi dari pada Nabi, yang diturunkan pada sahabat, lalu pada tabiin, dan sebagainya. Persoalannya dewasa ini, adakah kita mewarisi amalan ini dari ulama-ulama kita, atau dari intelektual-intelektual kita, ataupun secebis saja? Jadi, untuk menjernihkan hal ini, maka kita perlu mengenal siapa pakar dalam ilmu tazkiyatun nafs ini. Dalam sejarah, ulama yang ada kepakaran dalam bidang ini adalah ulama dari kalangan tasawuf atau sufi, sebab ini memang keahliannya. Bukan ulama fekah. Tidak hairanlah, ulama tasawuf memang sering membicarakan tentang tazkiyatun nafs, supaya mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Menyentuh mengenai sufi, atau tasawuf ini, apakah bezanya dengan irfan, yang begitu dekat dengan tradisi Iran?

Itu ada persamaan dan perbezaaan. Sebenarnya, irfan ini merujuk kepada satu bentuk ilmu, atau suatu pengalaman manusia yang aspek kerohanian dan intelektual itu terjalin dalam satu kesatuan yang indah. Justeru, irfan ini kita harus bezakan dengan aliran kerohanian lain yang tidak menekankan aspek keintelektualan, iaitu tentang peranan akal dalam pengalaman kerohanian.

Jadi, adakah itu bermakna dimensi intelektual tidak ada dalam tasawuf atau sufi?

Bukan. Irfan itu juga satu bentuk tasawuf. Kalau kita ambil tasawuf sebagai satu genus, maka irfan itu adalah salah satu spesis darinya. Maknanya, irfan itu juga adalah dari aliran tasawuf yang objektifnya untuk membersehkan jiwa dan mendekatkan diri pada Tuhan. Soal bagaimana cara mencapainya, itu ada perbezaan pendekatan. Sebab itu, ada tiga asas dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Ini adalah hal yang lazim dalam tasawuf, iaitu makhafah, mahabbah, makrifah. Makhafah iaitu berdasarkan pada rasa takut. Jadi, sebilangan manusia, mereka lebih menekankan dimensi takut, untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Kedua, mahabbah ini pula berdasarkan pada cinta, iaitu kita lakukan sesuatu kerana cinta, dan tidak memikirkan ganjaran. Ketiga ialah makrifah, yang berdasarkan pada ilmu, dengan kita melaksanakan sesuatu dengan kefahaman dan keyakinan.

Persoalan terakhir, kita tahu, Muslim dewasa ini bergelut dengan pelbagai persoalan nyata, sama ada dalam aspek fizik mahupun metafizik, atau aspek semesta nyata (kehidupan seharian) mahupun semesta jiwa (kerohanian). Apakah ini menunjukkan Muslim sedang berdepan dengan masalah epistemologi?

Dari segi teori, Muslim tidak mempunyai masalah dalam persoalan epistemologi. Kita mewarisi tradisi epistemologi yang lengkap, yang serba mencakupi di mana pada teorinya mencukupi untuk menangani persoalan-persoalan semasa. Ini dari segi teori. Namun, dari segi realiti, tidak begitu. Sebab, sebahagian besar tradisi epistemologi Islam itu tidak dibangkitkan. Epistemologi Islam hanya wujud dan hidup dalam teks semata, tidak dalam wujud dan hidup dalam konteks kita. Itulah masalahnya.

Maka, apa yang patut kita lakukan? Yang patut kita lakukan ialah, seluruh ajaran Islam tentang epistemologi harus ketengahkan kembali pada khalayak. Kita mesti menanam di sanubari masyarakat tentang kepentingan epistemologi Islam ini. Tentunya, dengan langkah ini, kita akan menghadapi banyak pertanyaan, juga kritikan, barangkali juga cercaan. Walau apapun, kita harus jelaskan dengan menggunakan bahasa terkini, dengan bidalan terkini, dengan ungkapan terkini, yang mungkin dengan kekiniaan ini akan membantu khalayak untuk lebih memahami mengenai epsitemologi Islam ini.

Aqil Fithri

Petikan artikel : Harakahdaily.

Muktamar Tahunan PAS Kulaijaya 2010.

Tahniah diucapkan kepada sekreteriat muktamar kerana berjaya mengendalikan muktamar tahun ini dengan jayanya. Buat pertama kalinya, muktamar PAS Kawasan Kulaijaya ditamatkan pada waktu 4.00ptg. Ini menunjukkan ahli PAS kawasan telah semakin matang dan berani untuk membahaskan pelbagai usul. Perbahasan daripada semua peringkat pimpinan berlansung dengan lancar dan menarik. Sekali lagi ia menunjukkan betapa prihatinnya ahli PAS terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia hari ini sekaligus sebagai petanda bahwa ahli PAS telah bersedia untuk berada didalam barisan kepimpinan negara.

Muktamar kali ini juga menyaksikan kehadiran beberapa orang wakil daripada DAP yang diketuai oleh YB En. Ong Kow Meng ketika majlis perasmian. Kesepakatan yang wujud sebelum ini dilihat sudah menjadi semakin akrab apabila YB En Ong akan menjemput wakil daripada PAS untuk turut serta dalam setiap sidang media yang diadakan dipejabatnya dalam urusan menyelesaikan permasalahan rakyat. Kebersamaan ini akan mampu membuktikan kepada rakyat bahwa Pakatan Rakyat semakin hari semakin mantap dan sekaligus menyangkal dakwaan UMNO/BN bahwa pakatan pembangkang semakin rapuh.

Program bersama rakyat yang akan dilaksanakan oleh PAS menerusi lajnah kebajikan dan pendidikan, juga akan membabitkan pimpinan DAP dan PKR didalam Parlimen Kulai. Sekreteriat Pakatan yang telah ditubuhkan akan dimantapkan lagi sebagai persiapan menjelang PRU ke13. Sdr Mazlan Aliman didalam uacapan perasmian beliau, telah menjelaskan betapa pakatan yang dibentuk sejak PRU yang lalu dilihat semakin kukuh dari sudut kerjasama dan kesepakatan dalam pelbagai aspek dan ianya jelas terbukti didalam gerakerja-gerakerja PRK yang dilalui. PRK Hulu Selangor menyaksikan sekali lagi kesepakatan yang wujud berjalan dengan begitu mesra dan mantap, bertemu setiap pengundi tanpa menghiraukan propaganda yang dicanang oleh UMNO/BN melalui media kawalan mereka.

Strategi PAS kawasan untuk menerobos pemikiran Melayu di Skim Rancangan Tanah FELDA dan perkampungan tradisional akan turut disertai oleh DAP bagi mendekati pengundi Melayu yang secara tradisinya merupakan pengundi tegar UMNO/BN. Elemen kebajikan dan pendidikan ini diharap dapat menyantuni hati budi kelompok Melayu di dalam DUN Bukit Permai khususnya dan Parlimen Kulai amnya. Beberapa strategi telahpun dirancang bagi melaksanakan program ini yang akan bermula pada awal bulan Mei yang akan datang.

Muktamar kali ini diharap akan menjadi pemangkin kepada keutuhan PAS dan rakan-rakan yang lain bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita mentadbir Johor dan Malaysia dalam pilihanraya yang akan datang.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.

TAKBIR!!!!!


Ahad, April 18, 2010

Muktamar Tahunan PAS Kaw. Kulai 2010.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kami telah selesai mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kaw. Kulai kali ke 22 dengan jayanya. Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini hanya berakhir tepat jam 4.05 petang tadi dengan pembacaan doa wehdah.

Muktamar tadi telah dirasmikan oleh Sdr. Mazlan Bin Aliman selaku AJK PAS Pusat merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Johor. Muktamar ini juga dihadiri oleh sahabat daripada DAP yang diketuai YB En. Ong Kow Meng selaku ADUN Kawasan Senai.

Perasmi mengingatkan perwakilan sekalian mengenai peri penting khidmat kita kepada masyarakat sebagai pra syarat bagi mencapai kejayaan dalam pilihanraya yang akan datang selain strategi dll.

Dengan ucapan YDP, Ustaz Muhammad Hisham Bin Muhammad Zin yang merangsang semangat perwakilan dengan perencanaan aktiviti-aktiviti yang mendatang, beliau juga menarik perhatian tetamu daripada DAP tadi bahawa PAS sentiasa setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan sekali-kali mengkhianati kawan.

Sesungguhnya Muktamar pada kali ini amat rapi dari segi persiapan, perasmian dan juga perbahasan yang bertenaga dan bermutu daripada perwakilan sekalian.

Setiausaha Muktamar 2010,
Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar.



Sabtu, April 17, 2010

Selamat Datang ke ...

sila klik bagi pembacaan & saiz sebenar...

Rabu, April 14, 2010

KESABARAN DAN KEAZAMAN DALAM MEMPERCAYAI ALLAH

Orang yang mengalami pelbagai peristiwa sepanjang hidupnya, sentiasa diuji Allah. Melalui peristiwa-peristiwa sebeginilah orang itu memperlihatkan kepercayaannya, kepasrahannya dan keakrabannya kepada Allah, Zat yang telah memberinya kehidupan dan rahmat yang tidak terhitung banyaknya.

Fitrah manusia mahukan segalanya berada dalam aturan yang sempurna. Namun, sebagai syarat bagi ujian di dunia, banyak perkara yang berlaku tidak seperti yang dijangkakan. Sementara seseorang berfikir keadaan hidupnya adalah memuaskan/menguntungkan, hal-hal mendatang mungkin berlaku sebaliknya dan tampak merugikan pada tanggapan awal. Dalam keadaan itu, apa yang menimpa orang mukmin adalah untuk menyedarkan bahawa setiap kajadian bagi setiap detik kehidupan seseorang, pasti ada hikmah di sebaliknya. Seseorang perlu ingat bahawa setiap yang dijangkakan berlaku, mungkin berubah menjadi tidak baik baginya. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah mengaitkan setiap apa yang manusia sangka baik, mungkin jahat manakala apa yang disangka jahat, adalah baik untuknya seperti firmanNya:

“....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan soleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah:216)

Tidak kira betapa seseorang itu berusaha untuk menghindar keadaan tersebut, yang dianggap masalah pada mulanya, dia kadang-kadang tidak dapat lari dari menghadapinya. Ini mudah kerana setiap apa yang berlaku termasuklah sekecil-kecil perkara dalam hidup seseorang adalah sebahagian daripada takdir yang telah Allah tetapkan bagi setiap orang. Seseorang boleh melihat bagaimana takdir yang telah ditetapi Allah berlaku serta akibatnya hanya dalam waktu yang singkat. Takdir Allah adalah suatu yang terbaik untuk kita. Tanpa menyedari apa yang tersirat, seseorang yang menilai peristiwa secara lahiriah sepenuhnya mungkin tersasar untuk memikirkan bagaimana hal-hal sebegitu berlaku sedangkan menurutnya, berlaku mengikut ketetapannya. Dengan pandangan yang bimbang, tidak percaya dan menjauhi Allah, ia bertindak balas terhadap insiden dengan penuh kelalaian, tanpa menggunakan kebijaksanaan dan hati nuraninya.

Sebaliknya, keyakinan seseorang yang baik dengan Allah dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada-Nya akan menilai/mempertimbangkan aspek tersirat disebalik sesuatu peristiwa. Dia tahu bahawa tiada sesuatu yang akan berlaku selain daripada apa yang telah ditakdirkan baginya oleh Allah. Dia memandu dirinya dengan kesedaran bahawa segalanya berjalan di bawah kekuasaan Allah. Dalam surah Yunus ada mengaitkan bahawa Allah mengetahui segala sesuatu:

“Dan tidakkah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi Saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmubiarpun sebesar zarah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh). (Surah Yunus: 61)

Seseorang yang berfikiran murni, yang yakin menilai setiap detik dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan hati nurani bahawa Allah, Penolong dan Teman yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan, tidak kira betapa susahnya tampak keadaan itu. Dia juga tahu bahawa Allah akan melindunginya dan oleh itu, meletakkan keyakinan kepada Allah.



Dia juga maklum bahawa dengan bersabar dan yakin kepada Allah dalam keadaan yang paling sukar sekalipun, dia akan tetap mendapat ganjaran yang besar daripada penglihatan dan kekaguman Allah asalkan dia kekal jauh dari rasa ketakutan, dengan kata lain, tidak percaya kepada Allah.

Walaupun dia sendiri tidak mampu bertahan dengan kesabarannya, dia menunjukkan kesabaran dan kepercayaan dengan sepenuh hati bahwa Allah lebih mengetahui apa yang paling menguntungkannya. Seseorang mungkin tidak nampak kesan langsung daripada sikapnya di dunia namun dia percaya bahawa Allah, satu-satunya Teman-nya, benar-benar akan memberi ganjaran terbaik di akhirat nanti dan dia akan sentiasa mendapat keredahaan dan pujian Allah. Dia yakin bahawa walaupun tidak signifikan, apa sahaja yang dilakukannya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah, Allah tidak akan mempersiakannya dan Allah Yanag Maha mengetahui akan tiap sesuatu tiidak pernah melupakannya. Memang telah dinyatakan dalam Al-Quran bahawa di Akhirat nanti, Allah akan memberi ganjaran bagi setiap perbuatan walaupun sebesar zarah:

“Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari Kiamat, maka tidak seorangpun dirugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya’: 47)

Kesannya, reaksi-reaksi jiwa yang negatif yang ditunjukkan dalam beberapa situasi seperti panik, penderitaan, putus asa dan percaya akan disalah anggap orang lain hanyalah satu cara yang akan merugikan diri sendiri. Keadaan minda yang ditunjukkan juga tidak menepati ajaran al-Quran yang sepatutnya tidak dialami oleh mereka yang mempunyai keteguhan iman. Sekiranya Allah menginginkan sesuatu, sebarang ketidakwujudan dan perubahan terhadapnya adalah mustahil melainkan Allah mengkehendakinya lagi. Selain itu, bagi seseorang yang beriman, Allah akan mengubah setiap keadaan hidupnya kepada keadaan yang lebih baik. Allah mencipta sesuatu yang baik yang tidak disangka-sangka. Jika Allah mahukan sesuatu yang lebih baik, walaupun seisi dunia menghalangnya, tiada yang dapat masuk campur dan mencegahnya. Kebaikan, keindahan, cinta, hormat dan pelindungan yang diberi Allah terhadap seseorang yang ikhlas benar-benar nyata pada orang itu. Di dalam al-Quran, Alah mengatakan bahwa tiada apa yang akan berlaku melainkan dikehendaki-Nya:

“Katakanlah, “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia "mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?”

“Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah Membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (Surah Ali ‘Imran:160)

“Dan jika Allah Menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah Menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia Memberikan kebaikan kepada siapa sahaja yang Dia Kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Yunus:107)

Seseorang yang beriman mesti sentiasa ingat tiada sesuatu selain Allah boleh masuk campur dalam apa-apa perkara. Melupakan kebenaran ini membawa seseorang kepada kelalaian. Syaitan akan memperdaya manusia untuk berfikir bahawa setiap perkara berlaku dengan sendirinya dan manusia yang campur tangan dalam sesuatu perkara dengan sendirinya akan terpesong. Walaubagaimanapun, ini sesungguhnya adalah tipudaya syaitan yang mematahkan semangat seseorang dan menghalangnya daripada berfikir dengan waras.



Namun, jika Allah menginginkan sesutu yang baik. Tiada siapa yang dapat menghalangnya. Untuk itu, seorang muslim tidak patut menyimpang daripada mempercayai Allah sepanjang hidupnya. Dia perlu menunjukkan keazaman dan kesabaran yang jitu. Bertindak dengan menyedari bahawa apa yang menimpanya hanyalah satu ujian daripada Allah untuk membuatkannya layak ke syurga. Sebagai balasan daripada ketabahan yang ditunjukkannya, dia mengjangkakan untuk kekal di dalam syurga selama-lamanya sebagai seorang yang mendapat cinta dan keredhaan Allah. Semua ini hanya diperolehi orang beriman yang tabah dalam kesabaran dan meletakkan kepercayaannya kepada Allah sehingga akhir hayatnya.


PASTINYA ADA KEMUDAHAN PADA SETIAP KESULITAN

ALLAH telah menciptakan dunia untuk menguji manusia. Sebagai hamba yang sentiasa menerima ujian, kadang-kala DIA menguji manusia dengan kesenangan dan ada masanya dengan kesukaran. Individu yang tidak menilai setiap peristiwa dengan cahaya Al-Quran, gagal menanggapi hikmah di sebalik kejadian lalu lekas kecewa dan lemah pengharapan. Walau bagaimanapun, ALLAH tetap mendedahkan rahsia paling penting di dalam Al-Quran, di mana hanya hamba yang beriman dan bertaqwa sahaja yang mampu melihat. Rahsia yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Seperti mana yang ALLAH telah jelaskan pada ayat-ayat tersebut, walau apapun kesukaran yang dihadapi atau bagaimana ia diatasi, ALLAH menyediakan jalan keluar dan memberikan berita gembira buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sesungguhnya, setiap hambaNYA akan dapat menyaksikan bahawa ALLAH sentiasa mengurniakan kemudahan pada kesulitan yang dialami selagi mana hambaNYA itu kekal sabar. Dalam firmanNYA yang lain, ALLAH memberikan khabar gembira berupa petunjuk dan rahmat buat para hamba yang sentiasa takut dan mengharap padaNYA.

“...Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluannya).” (Surah a-Talaq: 2-3)

ALLAH tidak akan membebankan seseorang melebihi kadar kemampuannya.


ALLAH Yang Maha Pemurah, Pengasih lagi Maha Adil menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran dan menguji manusia dalam lingkungan kemampuan mereka. Cara pengabadian seorang hamba kepada ALLAH, kepayahan yang diberi untuk menguji manusia, tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang, semuanya adalah pada kadar kemampuan individu itu. Inilah berita gembira buat manusia yang bertaqwa dan ia dijelmakan pada sifatNYA Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ALLAH menyatakan rahsia ini di dalam firmanNYA:

“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun dia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji ALLAH. Yang demikian itu diperintahkan ALLAH kepadamu agar kamu ingat.” (Surah al-An’aam: 152)

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-A’raf: 42)

“Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya.” (Surah al-Mukminun: 62)

Tidak sukar untuk hidup berlandaskan agama ALLAH


Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa agama hanya akan menyulitkan kehidupan dan dipaksa untuk mematuhi pada hukum-hukumnya yang sukar dan payah. Ini hanyalah khayalan yang dibisikkan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia. ALLAH dengan jelas menyatakan bahawa DIA pasti akan menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran hidup bagi hamba-hambaNYA yang beriman. Di samping itu, perkara-perkara asas dalam Islam seperti beriman kepada ALLAH juga qada’ dan qadar mampu meringankan beban, menghilangkan kesukaran juga mengelakkan diri daripada berputus asa atau murung. Mereka yang patuh pada hukum ALLAH tidak akan ditimpa rasa gundah, sedih atau putus asa. Di dalam firmanNYA, ALLAH berjanji untuk sentiasa membantu hambaNYA yang menyerah diri kepadaNYA dan yang membantu agamaNYA, dan akan mengurniakan kehidupan yang bahagia di dunia dan juga di akhirat kelak. ALLAH, yang tidak mungkin memungkiri janjiNYA, berfirman:

“Dan katakan kepada orang-orang yang bertaqwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘(ALLAH telah menurunkan) kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa.” (Surah an-Nahl: 30)

ALLAH menyediakan berita gembira buat para hambaNYA yang beriman berupa kejayaan bagi mereka yang mematuhi agamaNYA:


“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan ALLAH) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Layl: 5-7)

Dengan pendedahan rahsia ini, barangsiapa yang memilih untuk patuh pada agamaNYA sedari awal dengan penuh ikhlas, maka mereka telah mengambil jalan paling mudah yang membawa kepada kejayaan dan kelebihan di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang tidak beriman. Mereka diselubungi kegundahan, kesedihan juga kerugian di dunia juga di akhirat kelak. Pada saat mereka memilih untuk tidak beriman, mereka kehilangan dunia apatah lagi akhirat. Ini dinyatakan pada firmanNYA:

“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (Surah al-Layl: 8-10)

ALLAH, Tuhan Yang Maha Memiliki juga Maha Menciptakan segala. Pastinya kekuasaan dan pertolonganNYA melebihi apa yang dapat diberikan oleh manusia apabila seseorang itu mengharapkan keakraban, bantuan dan sokongan ALLAH semata-mata. Mereka yang mengambil ALLAH sebagai tempat bergantung dan menyerahkan segalanya pada ALLAH akan hidup dengan limpahan anugerah dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat tanpa rasa bimbang akan apa-apa yang dapat memudaratkannya. Oleh kerana itu, setiap manusia yang bijak dan percaya pada kata hatinya perlu memahami setiap rahsia yang tersimpan di dalam Al-Quran lalu memilih jalan yang lurus dan diredhaiNYA. Manusia yang tidak beriman tidak akan dapat memahami bahawa fakta yang jelas ini merupakan sebuah rahsia kehidupan. Tidak kira bagaimana bijak atau tinggi taraf pendidikan mereka, individu ini tidak menggunakan kebolehan menaakul dengan baik, maka mereka tidak berupaya memahami dan melihat fakta ini dengan jelas.


Kenyataan Dr Yusuf Al-Qardhawi Tentang PAS Yang Tak Keluar Dalam Harakahdaily???

Kenyataan Media Oleh: konklusi

"dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi(DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Dr Yusuf Qardawi: Perjuangan PAS adalah penerusan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW"


Selasa, April 13, 2010

Ikut Hati Mati.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Ketahuilah, sesungguhnya didalam jasad ini ada seketul daging. Seandainya dia baik, maka baiklah jasad seluruhnya dan seandainya dia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, dia adalah hati".
(Muttafaqun 'alaih, daripada hadis an-Nu'man bin Basyir r.a.)

Firman Allah swt dalam surah al-Hujurat ayat ke 14 bermaksud :
"...Katakan orang-orang Arab (Arab Badwi) : 'Kami telah beriman'. Katakanlah (Wahai Muhammad) : 'Kamu belum beriman, tetapi kamu katakanlah saja kami telah Islam, sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu..."

Firman Nya lagi dalam surah al-Maidah ayat ke 41 bermaksud :
"Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu daripada orang-orang yang berkata dengan mulutnya : 'Kami telah beriman, padahal hatinya tidak beriman..' "

Hati telah ditaklifkan oleh Allah swt untuk menundukkan seluruh jiwa dan perasaan kepada Nya. Hati mestiah menghalakan kecintaannya hanya kepada Allah dan tidak harus menyintai sesiapa yang lain kerana zat Nya. Kecintaan kepada yang lain selain Allah mestilah kerana mencari cinta Allah.

Begitu juga dengan perasaan marah. Tidak boleh memarahi seseorang kecuali kerana Allah yang memurkainya, dan tidak boleh bergembira melainkan kerana kurnia dan kelebihan yang diberikan Allah kepadanya. Kita juga dilarang bersedih melainkan kerana kekurangan dalam menunaikan hak-hak Allah swt. Tidak berharap, tidak takut dan tidak khusyu' serta tidak bertawakkal kecuali kepada Allah swt.

Islam tidak menghalang perselisihan pendapat bahkan membenarkannya. Tetapi berselisih pendapat sehingga menimbulkan perasaan marah yang bersandarkan nafsu adalah permainan syaitan dan ditegah dalam agama. Apatah lagi menghamburkan kata-kata kesat yang boleh mengguris perasaan orang yang mendengar. Jangan terikut dengan pujuk rayu iblis yang sentiasa bersiap siaga hendak menyesatkan anak Adam. Nafsu yang bersifat jahil, zalim dan kikir, diciptakan Allah untuk menyeru manusia kepada kejahatan disamping menguji sejauh mana benarnya penghambaan diri seseorang insan kepada Tuhannya. Nafsu yang tidak suka bersusah payah, sangat benci kepada apa jua bentuk taklif dan tanggungjawab. Keinginan paling tinggi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh nafsu ialah untuk merasakan bahawa dirinya adalah lebih tinggi dan lebih hebat daripada orang sekelilingnya. Terma popular yang digunakan sekarang ialah ego.

Kebolehan menegur tetapi tidak sedia untuk menerima teguran menunjukkan ego seseorang itu amat tinggi. Nafsu yang menguasai dirinya membuatkan ia tidak mampu tunduk dan menurut kehendak lain. Perbezaan pendapat yang sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang sihat dipandang serong lagi menyempitkan. Mereka yang tidak sependapat akan diserang dengan tuduhan liar dan melulu. Begitulah nafsu apabila berjaya menguasai manusia. Seandainya seorang insan itu menuruti kehendak hawa nafsunya, sudah tentu ia akan menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan.

Al-Quran telah banyak sekali mengingatkan kita tentang bahaya mengikut hawa nafsu. Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat ke 43 bermaksud :
"Nampakkah engkau (Wahai Muhammad) keburukkan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?"

Berhati-hatilah dalam setiap tindakan yang hendak diambil agar kita tidak tergolong didalam orang yang dikuasai oleh hawa nafsu.


Selasa, April 06, 2010

Keutamaan Halaqah Ilmu dan Zikir.

Abu Said al-Khudriy r.a. memberitakan :
Pada suatu hari Muawiyah bin Abu Sufian telah keluar melihat suatu halaqah ilmu di dalam masjid, maka ia bertanya : "Apakah kegiatan kamu ini?"
Mereka menjawab : "Kami duduk untuk menzikiri Allah".

Muawiyah bertanya lagi : "Allah! Tiadalah kamu duduk melainkan untuk itu sahaja?"
Mereka menjawab : "Demi Allah swt, tiadalah kami duduk selain untuk itu sahaja".

Muawiyah menyambung : "Ketahuilah, sesungguhnya saya sudah menyangka bahawa hal itu sahaja yang kamu lakukan. Dan tiadalah seseorang yang berkedudukan seperti ku (para sahabat) yang paling sedikit memperoleh hadis daripada Rasulullah s.a.w. selain saya"
"Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah keluar menemui suatu halaqah yang diadakan para sahabat, maka baginda bertanya : Apakah kegiatan (majlis) kamu ni?

Mereka menjawab :
"Kami duduk untuk menzikiri Allah dan kami memujiNya terhadap nikmat di mana Dia telah menunjukkan kami kepada Islam, juga terhadap kurniaan yang telah dikurniakan kepada kami."

Maka Rasulullah s.a.w. bertanya :
"Allah! Tiadalah kamu duduk melainkan untuk itu sahaja?"

"Ketahuilah sesungguhnya saya sudah menyangka bahawa hal itu sahaja yang kamu lakukan, akan tetapi sesungguhnya saya telah didatangi Jibrail, maka dia memberitahu saya sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla bermegah-megah dengan kalangan Malaikat dengan sebab (kegiatan halaqah) kamu."

HR : Imam Muslim

Pengajaran Hadis.
  1. Kegiatan di masjid pada keseluruhannya ialah untuk beribadah.
  2. Konsep ibadah dalam Islam adalah luas meliputi semua kegiatan yang baik seperti kegiatan ilmu dan nasihat menerusi khutbah, sosial dan lain-lain.
  3. Majlis halaqah diadakan dengan cara murid membuat satu lingkungan bulatan di hadapan guru.
  4. Mengadakan majlis ilmu di masjid adalah labih baik kerana menggalakkan kita hadir ke masjid iaitu rumah Allah swt.
  5. Allah swt akan bermegah-megah di kalangan para Malaikat disebabkan wujudnya kegiatan ilmu.

Khamis, April 01, 2010

Ucapan Tema Ketua DPPK Kulai pada Muktamar DPPK Kulai kali ke 20.

PEMUDA MELANGKAH GAGAH

Bismillahirrahmanirrahim

اَلحْمْدُ للهِ الْمُتَفَضِّلِ الْمَحْمُوْدِ، الرَّحِيْمِ الْوَدُوْدِ، الْمَلِكِ الْمَعْبُوْدِ الْمَعْرُوْفِ بِكَمَالِ الْكِرَمِ وَالْجُوْدِ، أَحْمَدُ اللهَ عَلَى نِعَمِهِ الْمَمْدُوْدِ، صَلاَةً وَسَلاَمًا عَلَى الْمُفَرِّدِ الْعِلْمِ، سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ دَعَا بِدَعْوَتِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ..

Saudara Pengerusi Majlis,

Al-Fadhil Y. Berbhg Saudara Suhaizan bin Kaiat, Ketua Penerangan DPP Pusat merangkap Timbalan Dewan Pemuda Pas Negeri Johor,
Al-Fadhil Y.Berbhg Ustaz Muhamad Hisham Mohd Zin. Yang Dipertua Pas Kawasan,
Saudara Rohaizat Kassim, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan,
Saudara-saudara Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan,
Dif-dif Kehormat Yang Diraikan,
Para Perwakilan Dari Seluruh Cawangan,
Pemerhati dan Para Hadirin Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allah SWT telah berfirman maksudnya:

“Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah (yang berkuasa); dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.
Surah an-Nur: 55

1.0 MUKADDIMAH

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur dan puji-pujian kepada Allah SWT di atas limpah inayah-Nya, maka Muktamar Dewan Pemuda Pas Kawasana Kulai dapat dilaksanakan pada hari ini. Salam dan selawat juga kita panjangkan kepada Nabi Muhammad SAW, khatamul anbiya’ yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Terdahulu, bagi pihak kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai (DPP Kawasan Kulai), saya mengalu-alu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan DPP Pusat di atas kesudian beliau untuk hadir merasmikan muktamar kita buat kali yang ke-20 ini. Kami juga mengalu-alukan kedatangan seluruh tetamu kehormat, jemputan, semua perwakilan, pemerhati dan para hadirin sekalian. Saya mendoakan agar kehadiran tuan-tuan semua bukan sahaja akan menjadikan majlis ini lebih meriah dan berseri, tetapi juga akan melonjakkan kebangkitan Pemuda PAS di medan jihad, dakwah dan siasah dalam melangkah dengan lebih gagah lagi.

Sidang Muktamirin yang dihormati sekalian,

Mengambil ibrah perjuangan suci Baginda Nabi Muhammad saw, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita dalam menghayati dan melaksanakan titah perintah Allah swt dan segala suruhannya serta meninggalkan segala tegahan dan laranganNya, mudah-mudahan langkah kita sentiasa dibawah payungan rahmat dan redha Allah swt.

Kedatangan Maulidur Rasul sudah semestinya mengajak kita agar mengingati kembali sirah dan perjuangan Baginda Nabi saw dan para sahabat ridwanallahu a’laihim. Sebagai contohnya, kisah Uqasyah yang meminta agar baginda Nabi saw menanggalkan pakaiannya disebabkan beliau pernah terkena sebatan yang tidak disengajakan oleh baginda Nabi saw untuk diqisas, namun hakikatnya, Uqasyah hanya berhelah agar tubuhnya dapat memeluk dan menyentuh kulit baginda Nabi saw yang dicintainya.

Kisah ini berlaku disaat-saat akhir usia sebelum baginda Nabi bertemu Rabbul Jalil. Justeru, saya menyeru diri saya dan sidang muktamirin sekalian, agar kita menjadikan, perjuangan suci ini perjuangan yang melebihi cinta dan kasih kita kepada diri, keluarga, harta benda dan segala-galanya ke atas cinta kita kepada baginda Nabi saw.

Seperti Sabdan Baginda Nabi saw :

“Tidak sempurnalah iman seseorang itu, sehingga dia menjadikan aku ini lebih dicintainya dari ibu bapanya, anak-anaknya,dan, manusia seluruhnya”

dalam riwayat yang lain baginda Nabi saw menyebutkan :
“dan dari harta bendanya”.

Sidang Muktamirin yang dihormati sekalian,

Saya juga mengharapkan, agar medan muktamar yang kita jalankan pada hari ini, menjadi suatu medan muhasabah dan lontaran kritikan yang membina kekuatan pemuda untuk terus memastikan plan startegik, yang berpandukan visi dan misi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kulai dapat dilaksana dan dipertingkatkan dengan lebih baik lagi.

Wehdatul Fikri (kesatuan berfikir) dan wehdatul amal (kesatuan berkerja) perlu seiring dan difahami oleh semua pemuda dalam merealisasikan perjuangan dan hasrat untuk memastikan ukhuwah, ikatan, gerak kerja dan kesatuan pemuda terus utuh tanpa mudah untuk diganggu gugat dan di pertikai oleh mana-mana pihak.

Pemuda perlu bangkit dengan jati diri yang kuat, pemikiran yang kritis, keakraban yang utuh agar kuat dan terus gagah mengorak langkah kehadapan untuk mengapai impian dan cita-cita perubahan agar Islam tertegak di bumi Malaysia.

2.0 SEJARAH PERJUANGAN PEMUDA

Firman Allah swt dalam surah al-Kahfi ayat 13 dan 14 yang bermaksud :

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya, Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (dihadapan raja Dikyanus yang zalim dan menyombongkan diri) lalu mereka berkata : Tuhan kami adalah Tuhan langit dan Tuhan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.

Ayat di atas menerangkan kepada kita, bahawa iman itu menjadi asas kepada persoalan hidayah. Iman yang betul, akidah yang sohih, ibadah yang benar-benar ikhlas, akan sentiasa mengundang rahmat, hidayah dan pertunjuk dari Allah swt.
Kehebatan pemuda-pemuda yang digelar sebagai Ashabul Kahfi perlu dijadikan contoh ikutan dan tauladan kita selaku golongan muda dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Tidak gentar dan tidak takut dalam menyatakan pendirian yang benar walaupun diugut dengan tindakan yang pelbagai. Seperti kata perpatah :

"قل الحق ولو كان مرا"

“Katakanlah yang benar, walaupun ianya pahit”.

Firman Allah swt lagi dalam surah al-Buruj ayat 4-8 yang bermaksud :

“Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit, yang berapi (yang dinyalakan) dengan kayu bakar, ketika mereka duduk disekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman, dan mereka tidak menyeksa orng-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”.

Ashabul Ukhdud merupakan golongan yang beriman kepada Allah swt. Sudah menjadi suatu resam dan dugaan bagi mereka yang beriman dan menegakkan kebenaran pasti akan ada penentangnya. Ujian dan dugaan ini telah dilalui oleh mereka dengan hati yang tenang, sabar serta menyerah diri kepada Allah swt.
Dua contoh dari ayat dan kisah di atas, jelas kepada kita bahawa jalan dakwah ini merupakan jalan yang penuh dengan liku dan duri serta jauh dari nikmat dan kesenangan dunia.

Firman Allah swt dalam surah at-Taubat ayat 42:

لو كان عرضا قريباً وسفراً قاصداً لا تّبعوك ولكن بعدت عليهم الشقّة

Yang bermaksud : Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka akan mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa sukar oleh mereka.

Liku-liku keperitan dan kepahitan telah dilalui oleh umat terdahulu. Namun, mereka telah melakar sejarah yang gemilang dalam perjuangan menegakkan Islam. Justeru pemuda hari ini perlu bangkit melakar sejarah dan meneruskan kegemilanagn umat terdahulu dalam menegakkan agama suci ini. Kita bukan pemula kepada perjuangan, dan kita juga bukan yang akan mengakhirinya, tetapi kita merupakan mata-mata rantai perjuangan yang menyambung perjuangan para syuhada terdahulu. Pemuda perlu bekerja sepertimana para perjuang terdahulu bekerja. Sikap malas dan sambil lewa serta ambil acuh tak acuh perlu dihindarkan.

Ingatkah kita kisah Kaab bin Malik yang telah dihukum oleh Baginda Nabi saw kerana sikapnya yang acuh tak acuh dan malas serta dilekakan dengan dunia menyebabkan dia tidak menyertai peperangan Tabuk. Akhirnya beliau dihukum oleh baginda Nabi saw,
masyarakat disekeliling dilarang bermuamalah dengannya, sehingga isterinya sendiri diperintahkan oleh baginda Nabi saw agar mengasingkan diri darinya. Itulah akibat dan balasan yang dikenakan kepada mereka yang berlengah dan malas dalam melaksanakan titah perintah Allah dan Rasulnya. Tindakan yang sama juga dikenakan kepada dua orang sahabatnya iaitu Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Penyesalan itu sangat dirasai oleh mereka sehingga kehidupan itu terasa sempit untuk mereka lalui sehingga Allah swt menurunkan ayat 118 surah at-Taubah yang memberi keampunan kepada mereka :

وَعَلَى الثَّلاَثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُواْ حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّواْ أَن لاَّ مَلْجَأَ مِنَ اللّهِ إِلاَّ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُواْ إِنَّ اللّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Yang bermaksud : Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

3.0 BERSAMA TAHALLUF SIASAH BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Tahalluf adalah istilah politik Islam yang bermaksud berpakat atau bermuafakat untuk mencapai dan menjayakan kepentingan bersama dalam membina negara atau mendapatkan kuasa.

Tahalluf juga merupakan suatu perjanjian persefahaman untuk berkerjasama dan bantu membantu untuk menghadapi lawan. Dan ianya berlaku pada zaman Nabi saw dan para sahabat.
Tahalluf siasah dengan Pakatan Rakyat bukan bermaksud bersatu dengan dasar dan prinsip mereka. PAS mempunyai Visi dan Misi serta prinsip perjuangannya yang jelas yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Tetapi tahalluf siasah PAS dengan Pakatan Rakyat hanyalah sekadar konsep bekerjasama dan taawun dalam menentang kezaliman dan ketidakadilan kerajaan hari ini terhadap rakyat yang berbilang kaum.

Sejarah melakarkan bahawa baginda Nabi saw telah melaksanakan tahalluf dalam beberapa perkara yang membawa kepada maslahah namun tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.
Hubungan Rasulullah dengan keluarga dari kalangan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutolib khasnya Abu Tolib. Walaupun mereka tidak Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah dengan bersedia berkorban apa sahaja. Tetapi apabila Abu Tolib cuba memujuk Rasulullah dengan tawaran golongan bangsawan Quraisy agar baginda bertolak ansur, maka dengan tegas baginda bersabda dengan sabdaannya yang mashyur:

“Wahai bapa saudaraku. Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya ataupun aku mati kerananya”.

Sahabat Nabi Saidina Abu Bakar al-Sidiq pernah menjalinkan hubungan dengan Ibnu Dugnah yang sedia memberikan perlindungan kepadanya. Tetapi hubungan tersebut terpaksa dibatalkan apabila Ibnu Dugnah mensyaratkan kepada Abu Bakar agar jangan membaca al-Quran di luar rumah kerana boleh mempengaruhi orang lain.

Justeru jelas kepada kita, bahawa kerjasama politik yang kita laksanakan dengan Pakatan Rakyat tidaklah menyalahi syariat, dan ianya dibenarkan oleh agama Islam. Apa yang penting, pemuda perlu tahu dasar dan prinsip perjuangan parti agar kerjasama yang dibuat tidak melanggar apa yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

Sehingga kini Dewan Pas Kulai telah mengadakan tahalluf dengan kompenen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR. Kini Sekreteriat Pakatan Rakyat telah diujudkan yang diwakil oleh wakil-wakil Pakatan Rakyat termasuk AJK DPP Kulai. Tanpa disedari beberapa program telah disusun untuk kepentingan bersama. Antaranya Program Titian Kasih 2009, Sumbangan Fakir Miskin 2009 dan penglibatan bersama dalam ceramah-ceramah. Alhamdulilah kesannya amat baik kepada manhaj politik terkini serta menguntungkan Islam dan Pas Kawasan Kulai.

4.0 USLUB DAKWAH MASA KINI

Kenyataan pucuk pimpinan Ketua Pemuda Pas Pusat Al-Fadhil Ustaz Hj Nasruddin Hassan al-Tantawi “Bahawa Dewan Pemuda PAS akan terus mengaktifkan aktiviti dakwah dengan mempelbagaikan method. Satu kursus kejurulatihan dakwah akan diadakan untuk melatih petugas - petugas dakwah agar lebih seni, halus dan berkesan dalam membuat sentuhan dakwah kepada ummah”. Merupakan suatu kenyataan bahawa Pemuda perlu prihatin dan peka dengan perkembangan dakwah semasa seterusnya mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan mencari nilai tambah dalam pendekatan menyampaikan dakwah agar sasaran “Orang Muda Geng Kita” dapat dicapai dengan lebih baik lagi.

Dalam perkembangan di alaf baru kini, teknologi maklumat (ICT) telah menjadi medium terpenting dalam komunikasi. Dilihat kepada perkembangan Internet umpamanya, perbezaan nisbah kuantiti laman web dan blog agama selain Islam,telah mengatasi bilangan web dan blog Islam itu sendiri. Para dai’e tidak dapat tidak mestilah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kemahiran komputeran. Lebih-lebih lagi,kemahiran tersebut akan dapat dipertingkatkan untuk menghalang dan menjawab segala fitnah,tohmahan dan tuduhan penghinaan kepada agama Islam.

Kemahiran menggunakan ICT didalam penyampaian mesej dakwah akan memberikan impak yang cukup besar kepada mad’u. Lantaran itu, penggunaan seperti komputer riba,LCD,Audio dan pelbagai program komputer seperti power point dan sebagainya juga merupakan wasilah kearah uslub dakwah yang berkesan. Pakar-pakar psikologi pendidikan berpendapat bahawa, pendengaran hanya memberikan 70% sahaja kepada hasil penerimaan pengajaran. Berbanding mereka yang menggunakan pendengaran dan penglihatan akan menghasilkan 100% penghasilannya.

Selain daripada teknologi maklumat, pendekatan komunikasi juga merupakan suatu skill yang perlu dititik beratkan dalam penyampaian dakwah.

Komunikasi dakwah yang berkesan juga dapat dieksplotasi melalui saluran media eletronik dan cetak. Allah SWT menjadikan potensi manusia yang berbeza diantara satu sama lain. Ada yang pandai menulis, tapi tidak pandai berpidato. Manakala ada yang pandai berpidato tapi tidak pandai menulis. Lantaran itu, kesempatan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT itu, hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya bagi tujuan dakwah. Lebih-lebih lagi, kepada mereka yang dianugerahkan dengan kedua-duanya.

Terdapat banyak lagi uslud dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh pemuda dalam menyampaikan dakwah. Justeru, saya menyeru agar pemuda menggunakan pelbagai
sudut dan ruang yang ada denggan lebih kreatif untuk memastikan dakwah dapat disampaikan kepada golongan yang kita sasarkan sebaiknya.

Peranan Lajnah ICT Pemuda Kulai, Lajnah Dakwah serta Lajnah Penerangan sewajarnya diperkasakan dan digandingkan dengan hebat. Perlu melaksanakan aktiviti alam siber dan alam maya dalam metod terkini. Wahai saudaraku, rebutlah peluang komunikasi terkini dan fikirkan bersama perkembangan ICT ini dalam perbahasan ahli pemuda Kulai sekelian.

5.0 SASARAN ADALAH GOLONGAN MUDA

Pemuda adalah sayap penting bagi perjuangan Islam yang suci ini, justeru pemuda jualah yang digantung harap oleh Nabi saw untuk mendokong cita - cita perjuangan baginda saw.

حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

...yang mendokong perjuanganku ialah pemuda sementara yang membelakangiku ialah orang - orang tua ...

Golongan muda atau belia merupakan tunjang penting yang dapat menyumbang situasi politik di negara ini. Arus perubahan yang berlaku sejak era reformasi pada September 1998 telah banyak membuka minda golongan muda untuk merubah hala tuju politik yang lebih segar dengan berlandaskan prinsip keadilan, hak asasi dan demokrasi yang lebih matang merentasi politik lama yang penuh dengan korupsi, keganasan, penindasan, dan tekanan.

Golongan muda ketika itu mula sedar bahawa gelombang baru ini yang berpaksikan prinsip-prinsip keadilan dan kebenaran mampu membawa satu perubahan kepada generasi akan datang
Sejak berlaku Tsunami perubahan politik pada 8 Mac 2008 telah mula timbul nilai-nilai positif yang menarik golongan muda untuk turut terlibat dalam menentukan arah tuju dan haluan politik yang lebih segar. Bermula dengan memilih kerajaan baru, seperti yang kita sedia maklum iaitu sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat berjaya menawan 5 buah kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan, sebenarnya telah membuka lembaran baru dan mencetus harapan kepada golongan belia.

Kemenangan ini hasil daripada keberanian golongan muda yang sudah mula inginkan perubahan bermula, dengan demonstrasi jalanan yang telah menimbulkan semangat keberanian para belia khususnya.

Golongan ini adalah segelintir daripada semua belia yang ada di Malaysia dan mereka ini lebih dikenali sebagai aktivis bebas. Bertitik tolak dari demonstrasi itu, maka timbul pula kaedah yang lebih bermakna dan pantas menerusi perkembangan penggunaan teknologi. Pemilihan teknologi sebagai medium adalah kerana sekatan-sekatan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional yang cuba menyekat hak kebebasan bersuara anak muda dalam menyuarakan hasrat kewujudan politik baru dengan memanipulasi dakyah-dakyah di dalam media arus perdana seperti akhbar-akhbar harian, dan saluran televisyen yang rapat dengan kerajaan.

Penularan penggunaan blog, website individu atau gerakan pertubuhan dan yang terkini (facebook) telah mencambahkan idea-idea politik golongan anak muda yang bebas bersuara dan lebih pantas untuk menolak permainan politik lama yang penuh klise, jijik dan kotor.
Slogan Dakwah Dewan Pemuda Pas iaitu “Orang Muda Geng Kita” adalah slogan positif yang perlu digembleng tenaga oleh jentera Pemuda Pas Kawasan untuk memastikan golongan sasaran tersebut benar-benar dapat dicapai.

Justeru, Pemuda Pas perlu berusaha dengan lebih proaktif agar dapat menjiwai anak-anak muda dan cuba menangani masalah yang mereka hadapi mengikut kemampuan yang ada. Peranan kita dalam menghayati permasalahan golongan muda hari ini adalah satu perjuangan yang yang perlu dipandang serius serta memerlukan plan stategik dan perancangan yang lebih waqie. Pemuda perlu merencana aktiviti untuk memastikan bagaimana risalah dan mesej perjuangan boleh sampai ke setiap rumah dan mampu menembusi setiap hati nurani anak - anak muda.

Kita perlu kerap turun padang dengan ertikata yang lain, merakyatkan Dewan Pemuda Pas dengan bertemu anak-anak muda agar mereka mengenali keindahan Islam dan tidak teragak - agak untuk menyertai wadah perjuangan suci ini serta yakin bersama PAS untuk mengurus sebuah perjuangan menuntut keadilan, ketelusan, kesaksamaan, kesejahteraan, kebajikan dan keamanan. Lebih bermakna, perjuangan ini adalah perjuangan yang memartabatkan syariat Allah swt Tuhan yang Mencipta sekelian alam.
Anak - anak muda mempunyai potensi dengan kekuatan fizikal, kecerdasan minda dan kecekalan semangat. Justeru, potensi-potensi mereka ini sangat diperlukan oleh perjuangan yang mewakili rakyat seperti PAS untuk menyemarakkan angin perubahan sekaligus meruntuhkan kezaliman, penindasan, kekejaman, korupsi dan 1001 maksiat serta mungkar yang membinasakan peradaban atau tamaddun manusia

Kita kena meyakinkan mereka, bahawa dengan memilih PAS, jiwa dan naluri mereka akan dipandu ke jalan yang benar, dididik agar mampu menilai setiap tindakan agar mengikut syariat, dibina untuk menjadi insan yang soleh, serta dipelihara agar selamat dari kemurkaan allah swt.
Pemuda Pas juga perlulah menjadi roll model dan sekaligus penggerak kepada pemulihan dan pemurnian jati diri anak muda yang dirundum dengan pelbagai masalah sosial dan akhlak. Program sukan, kerja amal, kerohanian, motivasi, forum ilmiah, dan sebagainya perlulah diperbanyakkan dan diberi ruang serta peluang kepada golongan muda untuk melibatkan diri dan mengambil bahagian dalam menyumbang tenaga, idea atau sebagainya yang boleh mendekatkan jurang antara mereka dengan kita.

Selain itu, Pemuda Pas juga perlulah bersiap sedia untuk di tarbiyah dan mentarbiyah bagi memastikan kita bergerak seiring dengan ilmu dan amal yang terbaik. Usrah perlulah dijadikan medan untuk kita menimba ilmu dan latihan sebelum kita berhadapan dengan madu’ yang berfikiran intelek dan bijaksana. Masyarakat muda hari ini terdedah dengan pelbagai maklumat hasil kecanggihan teknologi. Justeru, pemuda perlu bersedia dari sudut penguasaan ilmu dan rasional dalam berfikir serta bersikap matang dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan yang datang.
Pemuda hari ini adalah pemimpin masa hadapan, seandainya rosak mereka, maka rosaklah generasi masa hadapan, dan sebaliknya jika baik mereka pada hari ini, maka baiklah generasi masa hadapan.

6.0 PERTEGUHKAN JATI DIRI PEMUDA KAWASAN

Firman Allah swt dalam surah al-ankabut ayat 2 :
“apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakankan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak di uji”

PAS bukan sekadar parti politik. Perjuangan Pas berdasarkan tarbiah dan didikan. Bukan atas dasar semangat dan hawa nafsu semata-mata. Pas memerlukan jentera pemuda yang mampu bergerak dengan ilmu dan amal yang tinggi serta mempunyai jatidiri yang tidak mudah goyang. Justeru, dalam membentuk jatidiri pemuda kawasan, pemuda perlulah menjadikan tarbiyah sebagai suatu perkara yang dapat membentuk ilmu dan jatidiri perjuangan yang sebenar.

Tarbiyah merupakan aspek penting dalam sesuah gerakan, tanpa tarbiyah sesebuah gerakan itu akan lumpuh dan mati sebelum berjuang. Tarbiyah adalah bertujuan bagi menghidupkan jiwa-jiwa pemuda agar lebih kental dan berani, bukannya pemuda yang lemah dan takut serta lari bila ditekan. Kita tidak mahu ada pemuda yang telah mengalah sebelum berjuang. Akidah perjuangan perlulah difahami dengan sebaiknya agar perjuangan kita tidak dibayangi dengan perkara duniawi yang bersifat material dan sementara semata-mata. Kita mahu pemuda yang berjuang dengan hati yang ikhlas dan bersedia terjun ke medan bila diseru dengan seruan jihad fi sabilillah.

Sejarah telah mencatatkan bahawa golongan muda merupakan kekuatan kepada sesuatu gerakan sehingga memberi kemenangan kepada sesebuah kerajaan pemerintah. Kota Konstatinopel di Andalus, sebagai tanda bukti kita bahawa ianya ditawan oleh seorang pemuda yang bernama Syeikh Muhammad al-Fateh. Namun, apakah kekuatan Syeikh Muhammad al-Fateh hanya bergantung kepada kekuatan material semata-mata? Sudah tentu tidak, Syeikh Muhammad al-Fateh telah memperlengkapkan dirinya serta bala tenteranya dengan mentaati perintah Allah swt dan menerima pentarbiyahan dari semasa ke semasa. Inilah yang dikatakan jati diri dan tarbiyah yang sebenar dalam memahami aqidah perjuangan.

Selain itu, penguasaan ilmu juga turut perlu digembleng agar jiwa pemuda yang sentiasa berhati waja itu tidak dipandu dengan emosi dan hawa nafsu semata-mata. Ilmu merupakan pertunjuk jalan kebenaran, justeru, pemuda tidak boleh memandang remeh dalam soal menuntut ilmu dan menghadiri program-program kuliah dan usrah yang telah disusun atur oleh lajnah tarbiyah. Dengan ilmulah kita akan menjadi orang yang disegani oleh kawan mahupun lawan.

Pemuda adalah pemimpin generasi masa hadapan. Justeru, Selain persoalan tarbiyah dan penguasaan ilmu. Pemuda juga perlu bersedia membina dan melahirkan generasi kepimpinan yang kompeten dan bertaqwa yang mana kepimpinan yang kompeten dan bertaqwa inilah bakal melahirkan pemuda yang soleh dan berwibawa dalam memimpin generasi akan datang. Pemuda perlulah menjadi generasi kepimpinan yang bersedia menganjak paradigma dan bersedia dengan perubahan semasa.

Dunia ini sentiasa berputar, hari sentiasa berganti, dan ianya berterusan dan terus silih berganti dengan yang baharu.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 14 :

“ Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran darinya).

شباب اليوم رجال الغد

… pemuda hari ini adalah pemimpin masa hadapan…

Kepimpinan yang beriman dan bertaqwa, yang hanya takut kepada Allah swt adalah pemuda harapan kita. Kita tidak mahu Pemuda yang lahir dalam Pas seperti pemuda umno yang hipokrit dalam berjuang dan hanya untuk mendapatkan projek dan mengisi perut sendiri tanpa memandang kepentingan dan kebajikan orang lain.

Firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 48:

لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا

Yang bermaksud : …Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan (syariat) dan jalan yang terang..

Dalam perniagaan, manusia sering menawarkan produk dan barang mereka yang terbaik agar dibeli dan digunapakai oleh masyarakat. Maka begitu jugalah halnya dengan PAS, produk PAS adalah Islam, ahli Pas adalah juru jualnya. Dan misi kita adalah supaya masyarakat menjadikan Islam sebagai produk yang sangat disukai oleh mereka dan digunapakai dalam kehidupan mereka. Justeru, dalam memastikal hal ini memperolehi keuntungan, maka pemuda pas perlulah bergiat dengan proaktif dalam misi dakwah dan promosi memperkenalkan Islam kepada masyarakat.

Misi dakwah kita dalam mendoktrinkan Pas dalam minda seluruh pemuda Kulai adalah suatu misi dakwah yang perlu diperhalusi cara dan pelaksanaannya dan ianya perlu gerakkan oleh jentera pemuda. Penerangan dan penekanan perlu diberikan agar pemuda faham dan terus thabat bersama menongkah arus serta liku-liku perjuangan.
Memperbanyakkan pelbagai program bersama seperti qiamullail, kempen boikot yahudi,, usrah perlu di masyarakatkan. Selain itu, sebaran risalah terbitan yang berkisah terbitan ilmu dan isu semasa dan agenda perjuangan juga per;u diperbanyakkan. Usaha yang sedemikian adalah bertujuan agar dapat memupuk semangat kebersamaan dan menyuntik
kekuatan dalam memperkukuhakan jati diri pemuda kawasan untuk terus thabat bersama-sama kawasan.

7.0 MEMBINA GENERASI AL QURAN (PASTI)

DPP Kulai mengucapkan tahniah kepada pengurusan Pasti Kawasan Kulai yang telah menguruskan organisasi dengan baik serta menggekalkan statistik pelajar sejak 5 tahun kebelakangan ini. Tahun 2009, pelajar berjumlah 352 orang, manakala Tahun 2010, jumlah pelajar seramai 331 orang dengan 5 buah Pasti Cawangan. Pengekalan statistik pelajar ini menggambarkan bahawa masyarakat memberikan sokongan yang baik kepada pendidikan Pasti.

Namun begitu, ada beberapa langkah yang perlu diambil tindakan bagi melonjakkan Pasti Kawasan berada di persada masyarakat terkini. Antara :

i. Melahirkan pelajar pasti yang beragama. Standart Silibus telah diperhalusi peringkat Pasti Pusat yang mampu melahirkan pelajar yang berakhlak. Keluaran pelajar yang berakhlak, boleh membaca dan mengira merupakan faktor yang amat berharga. Sewajarnya peratusan ini perlu diperincikan peringkat pasti kawasan.

ii. Membentuk Guru Pasti yang kreatif dan anovatif. Guru-guru pasti perlu bergerak seiring dengan perkembangan zaman. Penggunaan ICT, komputer riba, microsoft excel, microsoft word dan lain-lain wajar diperkembangkan dalam diri guru-guru. Metodologi pembelajaran yang pelbagai gaya harus diketengahkan. Semuanya ini adalah kehendak zaman kini yang memerlukan kekukuhan ilmu sedemikian.

iii. Pemantapan Organisasi Pasti Kawasan. Organisasi Pasti hendaklah maju ke hadapan dengan halatuju, matlamat yang jitu serta minda yang terbuka. Segala keputusan hendaklah konsisten dalam membahtera pasti kawasan. Hiraki organisasi perlulah kemas dan patuh mengikut manual pasti. DPP Kulai telah memberikan beberapa pandangan kepada Pasti Kawasan agar menzahirkan sesuatu yang memberikan keuntungan bersama. Imej Pasti Kawasan dipandang serta dinilai masyarakat kini, lebih-lebih lagi adanya tadika-tadika bercambah di Kulai yang menjadi saingan yang baik untuk mempersembahkan mutu dan kualiti pengurusan.

iv. Mendekatkan pasti dengan masyarakat. Kajian rambang telah dibuat dimana ada permintaan masyarakat agar dibuka pasti di lokasi mereka. DPP Kulai mengharapkan Tahun 2011, penambahan pasti cawangan dapat dikembangkan. Dalam pada itu, pasti perlu menstrategikkan program-program yang melibatkan penyertaan ibubapa dan masyarakat dalam sesuatu isu atau tajuk yang sesuai.


AKHIRUL KALAM

Akhirnya, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh hadirin yang memeriahkan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai Kali Ke-20 ini, khususnya Yang Berbahagia Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang akan merasmikan muktamar kita pada pagi ini. Terima kasih juga kepada para dermawan, urusetia, para petugas dan semua pihak yang memberikan pelbagai bentuk sumbangan dan sokongan dalam menjayakan muktamar ke-20 ini. Bagi pihak diri saya sendiri, saya menyusun sepuluh jari memohon keampunan kepada Allah SWT dan kepada seluruh Pemuda PAS Kulai dan hadirin di atas kelemahan, kekurangan dan kesilapan saya sepanjang setahun mengetuai Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai, usia yang terlalu muda dalam bahtera Pemuda. Semoga Allah SWT menerima khidmat jasa saya ini sebagai seorang hamba yang bekerja untuk menegakkan agama-Nya. Mudah-mudah Allah SWT menerima ketulusan hati kita semua dalam perjuangan jihad ini.

“Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
al-Baqarah: 127

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai Kali Ke-20
Palm Vila Resort, Bandar Putra Kulai
12 Rabiulakhir 1431 / 28 Mac 2010