Seorang sahabat yang bernama Uqal berkata bahwa dia telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda : "Tidak zahid seseorang itu didunia melainkan Allah menumbuhkan hikmah didalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidah dia untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia dan Allah akan membawa dia keluar dari dunia menuju Darus-Salam (syurga) dengan selamat".
Perbezaan antara orang yang beriman dan tidak beriman dalam menganggapi dunia ini ialah; mereka yang beriman itu zahid terhadap dunia, tidak mencintai kekayaan dan pangkat kemegahan. Mereka menggunakan harta sebagai wasilah untuk melaksanakan perintah Allah swt kerana banyak daripada syariat Allah memerlukan sokongan harta kekayaan dan juga pangkat kedudukan bagi mentadbir dan mengislahkan dunia yang telah diamanahkan kepada hambaNya yang beriman. Harta dan pangkat adalah amanah Allah yang akan dipertanggung-jawabkan di akhirat kelak nanti. Manakala orang yang tidak beriman memandang dunia ini sebagai matlamat dan tujuan yang terakhir dalam kehidupan. Mereka merebut kekayaan dunia dengan cara apa sekalipun. Mereka memburu pangkat dan kedudukan untuk memudahkan cita-cita mereka meraih dan menguasai pelbagai keistimewaan di dunia seperti kesenangan, kemewahan dan kemegahan.
Zahid atau berpada-pada terhadap dunia itu bukan bererti melupakan tanggungjawab mencari harta kerana harta adalah ibarat najis binatang yang kadangkala diperlukan sebagai baja untuk menyuburkan pokok. Harta mesti dicari untuk menjadi alat bagi menyuburkan akhirat. Jika harta dihimpun untuk bersenang-senang di dunia, bererti mereka seumpama orang yang lupa menggunakan najis binatang untuk membajai pokok. Zahid bukan bererti orang itu tidak memiliki harta bahkan ia merupakan orang yang banyak harta tetapi dia tidak merasakan harta itu miliknya seorang. Orang lain boleh menumpang sama atas hartanya, tidak bakhil untuk memberikan hartanya kepada sesiapa yang memerlukan walaupun secara percuma atau hutang.
Jika masyarakat menganggap zahid itu ialah orang yang memiliki harta setakat ala kadar, tidak berusaha bersunguh-sungguh malah duduk diam berpeluk tubuh kerana membenci dunia yang ibarat bangkai, sebenarnya orang itu bukan zahid sebaliknya mungkin pemalas atau jahil erti dan fungsi dunia. Apabila seseorang berada dalam keadaan tidak tunduk kepada pengaruh dunia, tidak bermewah-mewah untuk kesenangan diri seperti memiliki rumah yang bagaikan mahligai, maka ketika itu Allah meletakkan hikmah kebijaksanaan didalam hati orang itu. Justeru ia akan menjadi orang yang bijak.
Maksud bijak disini bukanlah bererti bijak mencari harta sebaliknya ia membawa maksud sejenis kecerdikkan yang dikurniakan Allah untuk menyelamatkan dirinya daripada ditimpa malapetaka semasa hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika hanya cerdik di dunia sedangkan di akhirat tercebur ke dalam neraka, maka itu dinamakan 'cerdik pelanduk' iaitu cerdik sementara sebelum masuk kedalam belanga menjadi santapan manusia.
Apabila manusia yang zahid ini dikurniakan Allah swt kecerdikan (hikmah) didalam hati, dia akan menjadi manusia yang bijaksana. Kecerdikan ini akan di transformasikan kedalam percakapannya yang berupa nasihat-nasihat yang berguna dan mendatangkan menafaat kepada orang lain disamping menjadi obor kepada masyarakat dan pembimbing kepada umat yang memerlukan petunjuk. Terdapat begitu ramai manusia yang tidak zahid cuba menjadi penasihat, memberikan ceramah dimerata tempat tetapi Allah tidak mengurniakan kepadanya hikmah menyebabkan kata-katanya ibarat angin lalu yang tidak meninggalkan sebarang kesan. Lidah yang tidak berhikmah hanya akan mengeluarkan gelombang suara yang masuk ketelinga kanan dan keluar ketelinga kiri tanpa meninggalkan keinsafan kepada pendengarnya.
Selain hikmah yang tumbuh didalam hati orang yang zahid dengan menerbitkan ucapan dan nasihat yang berguna, dia juga dapat memperlihatkan keaiban dan penyakit dunia kerana pandangan orang sebegini terhadap dunia dan pangkat kedudukan berbeza dengan pandangan manusia biasa. Mereka melihat dunia dan kedudukan walaupun pada zahirnya kelihatan baik tetapi tidak semestinya memberikan natijah yang baik. Dunia dan pangkat bagi orang yang zahid merupakan amanah Allah swt yang menjadi alat untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat. Dua elemen ini pula sebaliknya akan menjadi malapetaka kepada manusia sekiranya ia dikendalikan oleh mereka yang tidak zahid.
Dengan hikmah yang dianugerahkan Allah kepada manusia yang zahid, akhirnya Allah akan menyelamatkannya daripada fitnah dunia untuk menuju ke Darus-Salam.Oleh kerana hatinya zahid terhadap dunia, ia akan menemui akhir hayatnya dengan damai tanpa sebarang soal jawab akibat tiada dosa yang berkaitan dengan dunia. Lantaran insan hebat ini telah berjaya menambat dunia di luar hatinya, maka dunia dan pangkat kedudukan menjadi seperti ombak besar yang mengganas diluar bahtera. Selama ia berjaya menjaga kekuatan dinding bahtera, pasti ia akan terselamat daripada bahaya ombak ganas itu. Sebaliknya ombak ganas tersebut akan menyerbu kedalam hati manusia yang tidak zahid, maka bagaimanakah mereka akan terselamat daripada serangan ombak ganas yang akan menenggelamkan mereka.
Sesungguhnya Islam telah mengajar manusia kaedah membina tembok ketahanan diri daripada pengaruh dunia melalui sifat zuhud. Adalah nyata bahwa zuhud merupakan syarat penting bagi kesempurnaan iman. Tanpa zuhud sudah pasti manusia tidak akan menemui formula lain bagi menghindarkan diri dari pengaruh dunia kerana dunia sering menerbitkan warna-warna yang mempesonakan nafsu. Warna-warna itu telah banyak melalaikan manusia daripada melaksanakan tangungjawab mereka sebagai hamba Allah swt.
Petikan Buku : Nota Kepada Diri karangan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan