Khamis, Oktober 15, 2009

Keutamaan Ilmu

Abu Said al-Khudri r.a. memberitahu bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda :

"Adalah dikalangan orang-orang sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, maka dia bertanyakan (kedudukannya pada) seseorang yang lebih mengetahui (ilmuan) diantara kalangan penduduk negeri. Tiba-tiba ilmuan itu menunjukkan kepada seorang rahib (pendita agama).

Maka lelaki itu pergi mendapatkan rahib lalu dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Maka adakah peluang untuknya bertaubat?

Rahib itu menjawab : "Tidak boleh".

Maka dia pergi membunuh lagi, lalu cukuplah 100 orang. Kemudian dia pergi bertanya seseorang penduduk negeri yang lebih mengetahui. Maka ilmuan kedua ini menunjukkan kepada seorang lelaki alim.

Dia menceritakan bahwa dia telah membunuh 100 orang manusia. Maka adakah dia boleh bertaubat?

Maka orang alim itu menjawab :"Ya! Dan siapakah yang boleh menghalang antaranya dengan taubat itu? Pergilah ke negeri demikian dan demikian, kerana sesungguhnya di sana ada beberapa orang yang sedang beribadat kepada Allah swt. Maka hendaklah engkau beribadat bersama mereka. Dan janganlah engkau kembali ke negeri engkau. Ini kerana negeri engkau itu sebuah negeri yang buruk".

Maka lelaki itu pun pergi, tiba ditengah jalan dia disambar maut.

Kerana itu berlaku percanggahan pendapat mengenai kematiannya di kalangan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab.

Maka berkatalah Malaikat Rahmat :"Dia (lelaki pembunuh) itu datang dalam keadaan telah bertaubat bagi menghadapkan hatinya kepada Allah swt".

Manakala Malikat Azab pun berkata :"Dia tidak pernah melakukan sebarang kebaikkan pun".

Tiba-tiba datanglah kepada mereka seorang Malaikat menjelma sebagai manusia, maka mereka berdua menjadikannya sebagai pengadil.

Maka dia berkata :

قيسوا ما بين الأرضين فالى أيتهما كان أذنى ،فهو له

Hendaklah kamu ukurkan jarak antara dua negeri itu, maka mana-mana jarak yang paling dekat (kepadanya) itulah yang dikira baginya.

Maka keduanya pun mengukur. Tiba-tiba mereka mendapati jarak itu lebih dekat kepada negeri yang dituju iaitu negeri yang baik. Maka lantas dia dipegang oleh Malaikat Rahmat.

Menurut suatu berita: "Maka adalah jarak ke kampung yang baik itu adalah lebih dekat sejengkal berbanding dengan jarak ke kampungnya dahulu, maka jadilah dia kalangan penghuninya (ahli kebaikkan)".

Menurut Qatadah : Berdasarkan sumber al-Hasan diperolehi berita bahawa dikala lelaki itu diragut maut, dia mencondongkan badannya kearah kota yang ditujukan.

Hadith Riwayat : Al-Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadith.

  1. Orang alim atau berilmu adalah tempat bertanya bagi mereka yang mempunyai masalah.
  2. Orang alim hendaklah memberi jawapan dan panduan yang tepat mengenai sesuatu masalah.
  3. Seseorang yang tidak mengetahui perkara-perkara agama hendaklah bertanya kepada orang yang lebih tahu. Manakala orang lebih tahu perlu pula bertanyakan para ilmuan.
  4. Apabila timbul percanggahan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu perkara, maka penyelesaiannya hendaklah menurut ilham dan pertimbangan yang ditunjuk oleh Allah swt.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan