Khamis, Mei 28, 2009

TAWARAN DUNIA. (Bhg 2)

Terdapat beberapa ibrah didalam fragmen Sirah Nabawiyah mengenai penolakkan Nabi s.a.w. keatas tawaran yang diberi kepada baginda oleh pemuka-pemuka Quraish.
Pertama :
Menjelaskan kepada kita tentang kebersihan dakwah Nabi s.a.w. dari segala bentuk kepentingan dan tujuan peribadi yang biasanya menjadi motivasi para penyeru ideologi baru dan penganjur pembaruan dan revolusi.

Dalam melaksanakan misi dakwah, kuasa dan harta kekayaan bukanlah matlamat. Nabi s.a.w. telah membersihkannya dari tujuan tersebut dan sepatutnya menjadi teladan kepada para da'ie disepanjang zaman. Mereka seharusnya membersihkan diri daripada menyimpan hasrat untuk mendapatkan habuan dunia dalam bentuk harta kekayaan atas nama dakwah. Seandainya dakwah Rasulullah s.a.w. semata-mata mengejar kekuasaan dan harta kekayaan, niscaya baginda tidak akan bersedia menanggung penyiksaan dan tidak akan menolak tawaran mereka seraya berkata :
'Aku tidak berdakwah kerana menginginkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan. Tetapi Allah mengutusku sebagai Rasul. Dia menurunkan Kitab kepadaku dan memerintahkan aku agar menjadi pemberi khabar gembira dan peringatan. Kemudian aku sampaikan risalah Rabb-ku dan aku sampaikan nasihat kepadamu. Jika kamu menerima dakwahku, maka kebahagianlah bagimu didunia dan akhirat. Jika kamu menolak ajakkanku, maka aku bersabar mengikuti perintah Allah hingga Allah memberikan keputusan antara aku dan kamu'.

Baginda tidak menolak kekuasaan dan harta kekayaan hanya dengan lisannya sahaja bahkan telah dimenifestasikan didalam kehidupan baginda. Baginda hidup dengan gaya kehidupan yang sangat sederhana dan tidak pernah lebih dari kehidupan kaum fakir dan miskin. Penterjemahan ini dapat dilihat daripada kata-kata Saidatina Aisyah r.a. dalam sebuah riwayat Bukhari :
'Sampai Nabi s.a.w. wafat belum pernah ada didalam rak makananku sesuatu yang boleh dimakan manusia kecuali seketul roti dan itupun aku makan untuk beberapa hari'.
Berkata Anas r.a. dalam sebuah hadith riwayat Bukhari :
'Sehingga wafatnya Nabi s.a.w. belum pernah baginda makan makanan diatas piring dan belum pernah makan roti yang berkualiti baik'.

Kesederhanaan yang dipertontonkan oleh baginda telah membuatkan para orientalis seperti Kramer dan Van Vloten buntu mencari peluang untuk menodai kesucian dakwah Nabi s.a.w. sehingga akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran Rasulullah s.a.w. dan mencampakkan niat jahat mereka menuduh dakwah nabi semata-mata memburu kekusaan dan kekayaan.

Pemimpin hari ini ternyata jauh tersasar daripada apa yang patut diteladani. Ada yang diberi kuasa untuk memerintah negeri, duduk berbulan-bulan lamanya di hotel yang bertaraf 5 bintang semata-mata menunggu kediaman rasminya diubahsuai dan menelan belanja berjuta-juta ringgit. Mereka membiarkan saja kealpaan menguasai diri sedangkan ia tahu benar bahwa segala ongkos yang dibelanja datang dari wang rakyat yang kedapatan didalamnya mereka yang terpaksa bergadai nyawa untuk mendapatkan sesuap nasi. Pemimpin jenis ini sering kelihatan dipentas-pentas utama dihari dimana sirah Nabi s.a.w. dikumandangkan. Tambah ironi lagi, mereka pula berbicara mengingatkan hadirin supaya mencontohi peribadi dan kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kepimpinan mukhtahir ini meletakkan kuasa dan wang sebagai senjata. Ada yang sanggup meninggalkan rakan seperjuangan apabila 'wang berbicara'. Mereka yang mempunyai kuasa dan wang, telah menggunakan kedua-dua elemen ini secara serentak dalam melaksanakan 'misi beli dan tawan'. Andaikata Utbah bin Rabiah masih hidup ketika ini, ternyata ia akan tertawa besar melihatkan misinya diteruskan dan memperolehi kejayaan. Maha Besar Allah mematikan Utbah tetapi membiarkan agen-agennya berkeliaran dimuka bumi sebagai ujian bagi insan-insanNya yang soleh dan soleha.

Mudah-mudahan Allah swt memelihara para pejuang Islam yang sejati daripada pujukan dan rayuan agen-agen si-Utbah. Amin!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan