Isnin, Mei 04, 2009

Hebatnya Perancangan Allah swt.


Benarlah sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran [3] ayat 54 yang bermaksud: "Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya". Setelah DPP Kulai digagalkan dengan alasan ketiadaan permit untuk ceramah Ust. Idris Ahmad, Allah membalasnya dengan kejayaan menghadirkan YB Ust. Taib Azamuddin (mantan Imam Besar Masjid Negara) ke Kulai pada 25 dan 26 April 2009. Sambutan hebat yang diberikan oleh masyarakat adalah diluar jangka. YB Ust. yang dijadualkan berceramah dan menyampaikan kuliah di 3 buah surau telah diraikan oleh masyarakat setempat dengan kehadiran yang sangat memberangsangkan disetiap program. Program bermula sebaik sahaja beliau tiba pada petang 25 April dengan kuliah maghrib di surau Jalan Jati Bandar Putra Kulai dan diikuti dengan ceramah MauliduRasul di surau Taman Muhibbah Saleng. Jadual diteruskan dengan kuliah subuh di surau Jalan Nuri Bandar Putra Kulai dan diakhiri dengan ceramah Maulid peringkat SRI Ibnu Nafis dan PASTI Kawasan Kulai di PASTI Ar-Raudah Taman Manis.

Angka kehadiran yang sangat tinggi disetiap acara menunjukkan masyarakat Islam di Kulai khususnya dan Johor amnya sangat dahagakan ilmu dan sangat rindukan ulama'-ulama' yang dahulunya menjadi ikon mereka dalam menyampaikan ilmu-ilmu Islam. 70% daripada hadirin adalah terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO serta kedapatan juga mereka yang berada dalam kelompok tegar turut menghadirkan diri. Sikap keterbukaan ini perlu di menafaatkan agar mesej Islam dapat disampaikan seterusnya kefahaman mengenai Islam dari presfektif sebenar dapat dijelmakan. Inilah medan terbaik yang harus diteroka kerana hadirin adalah merupakan kumpulan sasar yang akrab dengan masjid dan surau tetapi tidak terlibat dengan gerakan Islam malah jauh sekali untuk hadir di ceramah-ceramah PAS.

YB Ust.Taib menghargai sikap keterbukaan yang ditunjukkan dan memuji langkah yang diambil oleh PAS Kawasan dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat. Program seumpama ini jarang sekali dapat dilakukan di utara khususnya di Kedah akibat fahaman politik yang terlalu menebal. Beliau melahirkan keyakinan seandainya pendekatan seumpama ini dapat sering diadakan, proses kematangan politik akan menjalar dan seterusnya mampu membuatkan masyarakat yang tegar keUMNOannya berubah angin.

Sebagai pejuang Islam sifat istiqamah dan yakin akan kemenangan Islam perlu dipahat di dada masing-masing. Setiap kegagalan walaupun pahit untuk ditelan, yakinlah tersembunyi kemanisan yang Allah rahsiakan dan kita melihat kemanisan yang Allah beri pada kehadiran YB Ust. Taib Azamuddin. Semoga program ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan Islam di DUN Bukit Permai dan Johor amnya. ALLAHUAKBAR!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan