Selasa, Ogos 02, 2011

Pelancaran Borang Felda Plantation peringkat Parlimen Kulai oleh sdr mazlan Aliman.

Apabila kerajaan mengumumkan tiada lagi penempatan baru untuk peneroka Felda pada tahun 1990, Felda telah mewujudkan estetnya sendiri menerusi tanah yang diberi oleh Kerajaan Negeri. Felda Plantation Sdn Bhd(FPSB) telah ditubuhkan pada 13 Januari 1992 sebagai anak syarikat Felda yang bertanggungjawab terhadap ladang seluas 367,710 hektar(data terkini tahun 2000- 340,890 hektar)

Ladang Felda yang pertama diperkenalkan di Selancar, dalam parlimen Rompin, Pahang. Ia membabitkan 150 peserta atas tanah berkeluasan lima ribu ekar. Kini terdapat 150 ladang yang seumpamanya dan Gugusan Sahabat di Sabah adalah yang paling luas iaitu sekitar 100,000 hektar.

MENGAPA FELDA PLANTATION MESTI DIMANSUHKAN

1. Bertentangan dengan matlamat asal Felda menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Dengan erti kata lain, tanah haruslah diberi kepada individu rakyat sebagai jaminan masadepan.

2. Bertentangan dengan Akta Penempatan Beramai-ramai 1960(GSA) yang dibentang pada 27 April 1960 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Abd Razak bahawa hanya terdapat dua jenis pemilikan keatas tanah. Pertama menerusi seksyen 7(2) iaitu pemilikan individu dan seksyen 11(1) iaitu melalui koperasi.

3. Tugas Felda di bawah GSA, bagi sebahagian tanah yang mana Felda dilantik untuk menguruskannya; hanya sebagai agen pengurusan dan bukannya memiliki tanah. Ini boleh dirujuk melalui Surat Perjanjian Antara Peneroka dengan Felda.

4. Adalah jelas pemilikan tanah ladang oleh Felda Plantation adalah tidak sah, haram dan terbatal kerana bercanggah dengan akta GSA. Ia mengkhianati persetujuan yang di putus bersama antara kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

5. Peserta Ladang Felda Plantation seramai 45,000 orang menjalani kehidupan yang sukar tanpa jaminan masa depan. Mereka bekerja sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari(1 kong) hanya mendapat upah sekitar RM25 setiap tan yang dituai tanpa gaji pokok. Untuk beroleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sesuatu yang hampir mustahil kerana ia bergantung kemampuan tulang empat kerat mereka. Sebab itu sebahagian besar
anak tempatan telah meninggalkan Felda Plantation; yang tinggal buruh-buruh asing sahaja.

TAWARAN 100 HARI DALAM BUKU JINGGA PAKATAN RAKYAT

Salah satu daripada 10 perkara utama yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat sepertimana dalam Buku Jingga ialah PEMANSUHAN FELDA PLANTATION DAN TANAH-TANAH TERSEBUT DIURUSKAN OLEH GENERASI KEDUA DAN KETIGA FELDA.

SIAPAKAH YANG DITAWARKAN TANAH FELDA PLANTATION

1. Peserta Felda Plantation kerana merekalah yang menjadi buruh di situ ketika ini.

2. Generasi Kedua dan Ketiga Felda yang berkelamin dan memenuhi kriteria seperti tiada tanah, tiada tempat tinggal yang tetap, berpendapatan rendah dan menanggung keluarga yang ramai.

3. Bekas anggota tentera yang dijanjikan tanah oleh Kerajaan(janji yang tidak dilunaskan) bagi menghargai perkhidmatan mereka menjaga keselamatan Negara. Mereka ini ada yang berpencen tapi jumlahnya begitu kecil, berhenti awal dan tidak berharta serta menjadi OKU(Orang Kurang Upaya) kerana kecederaan yang dialami semasa dalam perkhidmatan.

4. Kakitangan Am Rendah Felda yang bekerja sebagai mekanik, pemandu, kerani am, buruh dan lain-lain yang umumnya gaji bulanan mereka di bawah RM1,500 sebulan.

5. Anak tempatan yang mendiami kawasan berhampiran Felda Plantation seperti Orang Asal, penduduk tempatan dan suku kaum Sabah.

Bersandarkan keluasan tanah Felda Plantation, seramai 80,000 kumpulan sasaran di atas akan beroleh manfaat atas tanah seluas 10 ekar seorang. Suatu tawaran yang paling istimewa dalam hidup seorang rakyat Malaysia!


SOAL JAWAB FELDA PLANTATION


Bagaimana mahu mengagihkan tanah sedangkan terdapat 1.6 juta anak peneroka?
Hanya mereka yang layak sahaja memperolehinya sepertimana penjelasan di atas..

Bagaimana nasib kakitangan Felda Plantation?
Mereka akan diserapkan ke penempatan baru Felda yang dianggarkan 200 buah bahkan jumlahnya mungkin ditambah mengikut keperluan.

Adakah Felda akan bankrap kerana tiada sumber pendapatan?
Felda mempunyai 43 anak syarikat(tidak termasuk Felda Global Venture). Justeru itu, pembukaan 200 Felda baru menjadikan ia lebih berdaya maju dan menjana pendapatan berbilion ringgit pada setiap tahun.

Benarkah tidak ramai anak peneroka yang miskin tegar dan mereka tidak wajar dibantu?
Kerajaan dan Felda harus turun padang untuk melihatnya sendiri.

100 ribu hektar tanah tersebut terletak di Sabah, bagaimana mahu mengagihkannya kepada anak peneroka di semenanjung?
Sudah tentulah anak tempatan Sabah yang memilikinya.

Tawaran Tanah Felda Plantation hanya akan bernilai sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU 13 akan datang.


‘MENERAJUI PERUBAHAN’

MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden ANAK

Jumaat, Julai 29, 2011

HIKMAH BERPUASA DAN KELEBIHAN BULAN RAMADHAN.



Antara hikmah berpuasa dan kelebihan bulan Ramadhan adalah seperti berikut :
  1. Ketibaan Ramadhan, umat Islam diseluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Kestuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadapa Allah swt.
  2. Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan Islam, kaya dan miskin, berada dan tidak berada terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih mengasihi sesama umat Islam.
  3. Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, justeru itu akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketaqwaan.
  4. Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses bepuasa dapat dibersihkan, sekali gus beberapa penyakit yang terdapat didalam tubuh manusia dapat diatasi.
  5. Puasa itu disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai separuh daripada kesabaran.
  6. Orang yang berpuasa lebih disayangi Allah, selamat daripada api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.
  7. Kedatangan Ramadhan ada keistimewaannya kerana dianjurkan ibadah solat terawih, disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) ke atas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu insan Muslim yang lain, khususnya mereka yang daif.
  8. Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah swt, diampunkan dosa-dosa yang lalu".
  9. Ketibaan Ramadhan menandakan terbukanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu nereka dan dirantaikan syaitan.
  10. Malam nuzul Quran (17 Ramadhan) merupakan saat penting al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadI pedoman manusia hingga akhir zaman.
  11. Terdapatnya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang padanya terdapat saat penuh keberkatan menyamai 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) ganjaran pahalanya daripada Allah swt.
Sama-samalah kita merebut peluang yang dihidangkan oleh Allah swt dengan memperbanyakkan amal dibulan yang mulia ini.

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarraq.

RAMADHAN : MASA UNTUK BERUBAH.

Petikan buku : Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus.



Isnin, Julai 25, 2011

Usah Bohong Lagi Pada Rakyat.

Rata-rata generasi hari ini adalah generasi pasca merdeka, yang tidak pernah merasai keperitan perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Negara mencatatkan satu sejarah besar apabila para pemimpin bersusah-payah mengembleng tenaga untuk bersatu dan mengorbankan kepentingan parti-parti mereka demi kemerdekaan. Gabungan Barisan Nasional yang terhasil masa itu telah memberi harapan baru kepada rakyat.Namun, pada tahun 1978, disebabkan rasa curiga khususnya di kalangan UMNO terhadap perkembangan PAS menyebabkan akhirnya PAS ditendang keluar.

Akibatnya PAS hilang pengaruh, hilang rakan seperjuangan dan hanya memenangi satu kerusi parlimen oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Era tersebut telah menjadi sejarah negara, namun begitu ia tiada disebut dalam mana-mana buku sejarah yang diajar di sekolah.

Kita banyak menyembunyikan fakta sejarah kecuali yang menyebelahi pihak parti pemerintah. Sehinggakan fakta kemenangan PAS di Terengganu seolah-olah dibuang dalam sejarah Terengganu. Kenapa kita tidak jujur dalam ilmu, sehinggakan akhirnya rakyat sedar mereka telah dibohongi sejarah?

Kini, dalam rakyat kita sudah wujud satu generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya melayan rakyat seperti di era 1980-an walaupun radio nasional cuba mengembalikan nostalgia lama.

Rakyat yang menyedari mereka ditipu di Felda bertahun-tahun, kini mula bangkit menyaman Felda – bahkan mereka sudah memenangi beberapa kes terhadap organisasi yang seharusnya menjaga kebajikan mereka. Kerajaan tidak sepatutnya menuduh para peneroka ini sebagai tidak mengenang jasa. Kerajaan seharusnya memperbetulkan sistem yang menindas mereka dan bertindak adil terhadap peluh jerih mereka. Ingatlah, mereka bukan pemberontak, mereka hanya sekadar ingin menuntut kembali hak yang dirompak daripada mereka.

Sayangnya, kerajaan yang kita ada hari ini masih berfikiran lama menyebabkan jurang pendapatan rakyat semakin melebar.

Di saat syarikat-syarikat besar dengan bangga membentangkan keuntungan berbilion ringgit, rakyat pula melihat kehidupan mereka semakin terhimpit. Tarif elektrik semakin naik, tambang haji semakin tinggi, harga minyak semakin meningkat dan kenaikan kadar inflasi sangat ketara dirasai rakyat. Kerajaan hanya melihat angka di atas kertas, tetapi bagi rakyat menghitung setiap sen dan ringgit yang terpaksa mereka belanjakan, mereka betul-betul berasa perit.

Di saat rakyat mencengkam perut, pemimpin mempamerkan kemewahan hidup dengan barangan berjenama. Kunjungan pemimpin ke kampung dengan janji bulan dan bintang, rakyat miskin terpesona dengan ucapan – tapi seperti kebiasaannya janji pemimpin kerajaan hanya tinggal janji. Asalkan mereka sanggup mendengar dan menerima penerangan parti pemerintah bulat-bulat tanpa soal, mereka dianggap rakyat jelata. Kalaulah, kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhimpun membantah kenaikan harga barang, maka hilangkan status mereka sebagai rakyat jelata parti pemerintah - mereka akan dicop rakyat pro pembangkang yang tidak harus dibantu.

Apabila mereka bantah kenaikan tol dan saman ekor, rakyat jelata yang terpesona dengan ucapan dan janji parti pemerintah tadi akan dicemuh sebagai golongan yang melanggar undang-undang.

Kini, apabila mereka berani untuk berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, mereka terus dicop sebagai peserta perhimpunan haram yang patut ditembah dengan air asid dan pemedih gas mata atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan.

Saat ini, semua yang dilakukan kerajaan, dikatakan semuanya betul - dan semua yang dilakukan rakyat salah belaka. Kerajaan kini, seperti slogan ‘Malaysia Boleh’ – berani lakukan apa sahaja semata-mata demi kuasa dan kerana mereka menguasai media. Tapi, beringatlah kerajaan bahawa pada hari ini semakin banyak rakyat yang tidak mempercayai media perdana!

Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar… dan mereka sayangkan negara – tetapi jangan pula kerajaan salah anggap – sayang negara mereka bermaksud sayang kerajaan pemerintah. Pada saat mereka sayang negara, mereka juga benci pemimpin yang ego, sombong, tamak, rakus dan zalim.

Rakyat tidak akan khianat kalau kekayaan negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Janganlah lagi kerajaan cuba berbohong kepada rakyat yang bermaklumat. Janganlah lagi anggap rakyat ini bodoh dan boleh terus dibodohkan – dengan adanya maklumat, mereka menjadi lebih cerdik daripada yang anda sangkakan.

Tanyalah pegawai kerajaan tentang pendapatan mereka berbanding kos hidup mereka.Tanyalah keluhan rakyat miskin di desa dengan segala kepayahan mereka. Kerajaan tidak perlu keluar statistik bantuan kebajikan masyarakat – mereka yang susah ini bukan nak dengar semua itu.

Mereka dukacita kerana sebagai rakyat Malaysia yang menjadi pengeksport utama minyak sawit, getah dan dilimpahi bahan galian - minyak, gas, emas, bijih, arang batu, bijih besi dan seribu sumber, mereka masih dihimpit kehidupan walaupun jumlah rakyat tidak ramai. Wahai kerajaan, dengarlah rintihan rakyat dan terimalah hakikat.

Jangan tunggu sehingga rakyat menghukum di dalam pilihanraya - atau melalui jalan himpunan protes kerana pada masa itu mereka sudahpun hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada.



Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Majlis pelancaran Borang Permohonan Tanah Felda Plantation dan NGO Bekas Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Kulai.
  • Tarikh : 30 Julai 2011 (Sabtu)
  • Masa : 9.00mlm
  • Tempat : PASTI Taman Anjaria
  • Anjuran : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
Taklimat akan disampaikan oleh Sdr. Mazlan Aliman (Presiden ANAK) dan Kol(B) Nazari Mokhtar.

Semua warga peneroka
dan bekas tentera
dijemput hadir.

Program Ziarah Ramadhan 1432H.

PAS Kulai terus membudayakan Negara Berkebajikan melalui program Ziarah Ramadhan 1432H pada 23 Julai 2011, melibatkan 25 keluarga disekitar DUN Bukit Permai. Ia meliputi lokasi :
  1. Bandar Putra ( sekitar Jalan Cenggal dan Jati)
  2. Kampung Pertanian
  3. Felda Taib Andak
  4. Taman Permata Impian dan
  5. Taman Manis
Setiap keluarga telah menerima barangan keperluan harian untuk meringankan sedikit bebanan yang ditanggung khusus untuk menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarraq. Sikap keperihatinan warga PAS Kulai ini telah diterima baik oleh masyarakat apabila sumbangan turut dihulurkan oleh orang awam yang bukan dari kalangan ahli PAS.

Kepada para penderma sekelian, sumbangan anda amat kami hargai. Semoga setiap ringgit yang anda hulurkan akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt.


Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.

Ibu tunggal adalah antara penerima sumbangan pada program tersebut.


Maklumat keluarga diperolehi bagi memudahkan urusan dimasa akan datang.

Golongan susah tidak diabaikan.




Sabtu, Julai 23, 2011

Ziarah Ramadhan PAS Kulai 1432H


PROGRAM TERSEBUT AKAN DIADAKAN SEPERTI BERIKUT :
  • TARIKH : 23 JULAI 2011 (SABTU)
  • MASA : 9.00 PAGI
  • KAWASAN : SEKITAR DUN BUKIT PERMAI
  • TEMPAT BERKUMPUL : PUSTAKA KULAI
SEMUA PEJUANG ISLAM YANG BERKESEMPATAN DIMINTA TURUT SERTA.

KEARAH NEGARA BERKEBAJIKAN

Selasa, Julai 19, 2011

Ceramah PAS di Kulai muktakhir ini.....

Bulan Julai ini PAS Kulai telah menganjurkan 2 ceramah melibatkan pimpinan PAS Pusat. Ceramah pertama bersempena dengan Isra' Mi'raj dan ceramah kedua sempena Nisfu Sya'ban. Ceramah Isra' Mi'raj telah dihadiri oleh YB Dr Zulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor manakala ceramah Nisfu dihadiri oleh Al-Fadhil Ust. Idris Ahmad, AJK PAS Pusat.

Apa yang menarik yang hendak dibicarakan disini ialah tentang kehadiran anggota Polis yang begitu ramai sekali dikedua-dua ceramah tersebut. Ada sahabat yang memberitahu penulis kehadiran mereka mencecah antara 60 hingga 70 orang. Ketika ceramah Nisfu Sya'ban di PASTI Taman Manis, mereka sangggup berhujan menunggu sehingga ceramah selesai sekitar pukul 12 tengah malam. Kalau ketaatan yang ditunjukkan ini dapat diaplikasikan kepada Allah swt, alangkah baiknya.

Tetapi apa yang pelik ialah ketika penulis menghadiri ceramah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Bob Lokman di Felda Sungai Sayong, takde pun Polis dan sekatan jalanraya. Bahkan program tersebut di berikan permit oleh pihak berkuasa. Boleh pulak...Tapi di Kulai bukan permit yang diberi bahkan sekitar kawasan ceramah dikepung seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Sekatan jalanraya diadakan disetiap jalan masuk ketapak ceramah. Bukan sekadar itu, peniaga yang datang turut dihalau oleh pihak Polis.

Alasannya tiada permit dan ada aduan dari penduduk sekitar. Alasan basi dan lapuk yang telah diketahui pada setiap kali ceramah hendak diadakan. Inilah demokrasi ala Malaysia. Demokrasi yang bobrok dan pincang. Tambah menyakitkan muktakhir ini ialah apa sahaja yang haram, apabila ia dilakukan oleh UMNO maka ia menjadi halal. Sebagai contoh, vcd lucah telah diketahui umum ianya haram dan salah disisi undang-undang, tetapi apabila ianya diedarkan oleh barua-barua UMNO maka ianya halal dan tidak mengapa. Polis yang sepatutnya profesional kini telah menjadi perkakas mereka dan membenarkan setiap tindak tanduk mereka.

Allah berfirman didalam al-Quran, surah al-Isra' ayat 72 yang bermaksud :
"barangsiapa yang buta sekarang ini, diakhirat ia juga akan buta dan sesat jalan".
Buta yang dimaksudkan didalam ayat ini ialah bukan buta mata tetapi buta hati dan pendegaran. Mata mereka dapat melihat tetapi tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang bathil. Manakala telinga mereka tidak dapat mendengar ayat-ayat Allah tentang peringatan yang diberikan. Buta yang seperti ini ketika didunia, ia juga akan buta semasa diakhirat. Bukan sekadar itu bahkan mereka juga akan sesat jalan.

Ingatlah sesungguhnya, dunia ini hanya sementara, akhirat juga yang kekal selama-lamanya. Kuasa yang ada tidak akan kekal lama. Rakyat yang ditindas dan terus terusan dizalimi pasti akan bangkit seperti yang ditunjukkan dalam himpunan BERSIH 2.0 yang lalu. Kepada UMNO, mari kita bertarung sebagai anak jantan. Jangan berselindung disebalik agensi kerajaan. Menyekat ceramah PAS melalui pasukan Polis, bukan kerja anak jantan. Ini bacul namanya. Sama-sama kita turun kelapangan dengan hujah-hujah yang bernas kemudian biarkan rakyat memilih.

Kepada masyarakat diluar sana, ayuh kita ranapkan pemerintahan otokratik UMNO/ BN dalam PRU ke 13 akan datang. Sudah tiba masanya rakyat bersuara dan melakukan perubahan. Bebaskan diri anda daripada cengkaman kezaliman UMNO /BN.

UBAH SEKARANG.