Khamis, Mei 12, 2011

Meniti Harapan



Firman Allah swt yang bermaksud :
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikkan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan sesungguhnya Allah mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran : 92)

Hukum Wasiat.

MAKNA WASIAT.
Dari segi bahasa :
Wasiat bermaksud sambung.
Dari segi syarak :
Menurut syarak wasiat ialah menyedekahkan hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian. Ini bererti penerima wasiat akan menerima harta yang diwasiatkan oleh pewasiat selepas kematiannya.

Pernyataan tentang wasiat ini telah dirakamkan didalam kitab suci al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud :
"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa".
(Surah al-Baqarah : 180)

FirmanNya lagi yang bermaksud :
"(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya."
(Surah an-Nisa' : 11)

Seterusnya :
"Wahai orang yang beriman! Apabila salah seorang diantara kamu hampir mati, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu."
(Surah al-Maidah : 106)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya."

Antara hukum-hukum yang berkaitan dengan wasiat adalah seperti berikut :

1. WAJIB.

Hukum wasiat akan menjadi wajib sekiranya terdapat tanggungjawab syar'i yang perlu dilaksanakan kepada Allah swt seperti zakat dan haji dan seseorang itu bimbang sekiranya dia tidak mewasiatkan hartanya itu ia akan kehabisan.

2. HARAM.

Hukun wasiat akan menjadi haram sekiranya dia mewasiatkan benda-benda yang haram seperti arak. Selain itu juga, mewasiatkan perkara-perkara yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak, hukumnya juga adalah haram.

3. HARUS.

Wasiat akan menjadi harus apabila ianya ditujukan kepada rakan-rakan atau orang kaya (mereka ini tidak tergolong daripada golongan orang yang berilmu dan soleh) dengan niat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan mereka.

4. MAKRUH.

Wasiat akan menjadi makruh sekiranya pewasiat ialah seorang yang kurang berada dan penerima wasiat merupakan mereka yang miskin dan amat memerlukan harta. Selain itu juga, wasiat akan menjadi makruh sekiranya diwasiatkan kepada orang yang fasiq dan berkemungkinan besar akan melakukan kejahatan dengan menggunakan harta yang diwasiatkan kepadanya.

HIKMAH WASIAT.

  1. Pewasiat akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt.
  2. Wasiat dapat menyumbang kepada kepentingan masyarakat antaranya pembinaan hospital, masjid, sekolah, perpustakaan dan sebagainya.
  3. Wasiat merupakan satu sistem sosial dan ekonomi dalam Islam.

Petikan buku : Indahnya Hidup Bersyariaat oleh Dato' Ismail Kamus.

Rabu, Mei 11, 2011

Hari Isnin malam yang lepas, penulis dan beberapa orang sahabat telah berkunjung ke Felda Bukit Permai. Lama benar dah tak ke sana. Kadang-kadang terasa bersalah pula kerana hanya menziarahi mereka bila ada pilihanraya saja.

Kunjungan kali ini bertujuan bagi bertanya khabar dan mengetahui sedikit sebanyak suasana politik dikalangan peneroka yang sedang menikmati kenaikkan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit. Pendapatan lumayan biasanya akan membuatkan peneroka merasa selesa dengan sang pemerintah. Kedurjanaan mereka akan segera tertutup dengan pendapatan yang tinggi. Pemerintah akan terus disanjung dan apa jua yang dihidangkan walaupun buruk akan dianggap benar oleh mereka. Kelompok penyokong tegar ini akan terus dimanipulasikan oleh sang pemerintah meskipun dengan fitnah yang jahat. Itulah persepsi yang berlegar di benak penulis sebelum tiba di Felda berkenaan.

Sangkaan itu jelas meleset apabila bersembang dengan beberapa orang sahabat disana. Semangat mereka untuk menukar kerajaan khususnya dari kalangan anak muda amat membara. Amarah ini seandainya bijak dieksploitasikan, bakal membawa perubahan yang drastik. Itu baru peringkat mukaddimahnya, makanan dan minuman yang dipesan belum sampai lagi. Orang kata sembang mula, pembuka bicara.

Sembang diteruskan dengan ayat-ayat provokasi tentang kenaikkan harga getah dan keselesaan hidup hasil daripada pendapatan yang tinggi. Provokasi ini jelas mengena apabila respon mereka amat positif. "Itu emak ayah kami punya, kami tak dapat apa pun" sahutan pertama mula kedengaran. " Kami yang duduk di Felda ni, yang kerja dikilang, kerja sendiri dan sebagainya, masih macam tu juga. Makin susah ada." "Emak ayah kami bolehla..mereka dah takde tangunggan, dapat duit tak tahu nak buat apa" suasana mula bertukar. "barang semakin naik tapi gaji tak naik-naik juga" sungutan yang sering kedengaran dimana-mana.

Cadangan untuk membawa Sdr Mazlan Aliman untuk bersembang dengan mereka disambut baik. Tempat akan mereka uruskan. Khabarnya ramai dikalangan generasi kedua peneroka dalam senyap-senyap kini tidak mahu menyokong sang pemerintah lagi. Tuan kedai tempat kami bersembang tu pun dimaklumkan kini disebelah kami. Cuma mereka tak mahu kelihatan dan mahu kekal berselindung.

Pertemuan singkat pada malam tersebut telah menghasilkan beberapa gerak kerja yang disusun. Penulis memaklumkan kepada mereka agar bersiap siaga untuk menerima program yang diatur. Dalam waktu terdekat ini, tenaga muda Felda Bukit Permai telah bersetuju untuk menerima gerak- kerja yang telahpun kami susun untuk mereka. Bagi bulan Mei ini dua program telah diputuskan iaitu pada 17 Mei dan 29 Mei 2011 akan datang.

Kami akan berkunjung kesana untuk bertemu masyarakat pada dua tarikh tersebut. Kita akan jumpa disana......


Selasa, Mei 10, 2011

UMNO Kulai semakin gelisah.

PAS Kulai menjadi tumpuan perhubungan negeri pada tahun ini. Bermula dengan Muktamar Pemuda pada 1 Mei kemudian disusuli dengan Muktamar Muslimat pada 8 Mei dan diakhiri dengan Konvensyen Negeri pada 15 Mei yang akan datang. Kesibukkan PAS Kulai melayani tetamu yang hadir dengan syiar yang dinaikkan membuatkan UMNO lemas dan gelisah. Sepertimana lazimnya mereka telah menggunakan agensi kerajaan untuk menurunkan bendera yang dipasang di sekitar bandar Kulai.

Tindakan MPKu telah disusli dengan kunjungan ke pejabat majlis untuk mendapatkan penjelasan daripada Yang Dipertua. Semasa pertemuan tersebut, beliau telah menjelaskan bahwa mereka telah bertindak hasil daripada aduan daripada pihak-pihak yang tertentu (sudah semestinya UMNO, walaupun tidak dijelaskan). Beliau juga berterusterang kepada kami bahwa mereka tidak dapat bertindak secara profesional akibat tekanan politik dan gagal berlaku adil kepada semua.

Inilah perangai buruk UMNO yang sentiasa berselindung disebalik agensi kerajaan dan menjadikan kakitangan awam seperti barua mereka. Mengaku kuat tetapi kecut dengan kibaran bendera PAS.

PAS tidak akan gentar dengan apa jua ugutan dan tindakan tidak bertamadun yang UMNO ambil. Kami akan terus menabur bakti kepada masyarakat seperti yang dipaparkan didalam akhbar harian Sinar kebelakangan ini. Kami akan terus mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat tentang kebobrokkan dan kedurjanaan UMNO dan Barisan Nasional.


JOM PAKAT TOLAK BN


Isnin, Mei 09, 2011

PAS Alat DAP, Tun Mahathir Semakin Merapu.

Parti Islam Se-Malaysia menganggap Tun Dr Mahathir semakin merapu, kerana mendakwa PAS alat DAP, ketika beliau merasmikan Mesyuarat Agung Umno Cheras. Tun Mahathir mendakwa kewujudan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah. PAS hendak tanya balik kepada Tun Dr Mahathir kenapa Umno diwujudkan pada tahun 1946, sedangkan sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945 yang mewakili orang Melayu. Menunjukkan Umno juga parti yang ditubuhkan untuk memecah belah orang Melayu atas restu penjajah, buktinya kenapa Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Darurat 1948 sehingga semua parti yang tidak sealiran diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

PAS alat DAP adalah modal lapok Umno ketika orang Melayu menolak Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan MCA, Gerakan dan MIC. Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan.? Apa bukti PAS alat DAP?. PAS boleh buktikan pengkhianatan Umno kepada Melayu atas nama Melayu terutama di zaman beliau memerintah negara selama 22 tahun. Tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort. 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang Terengganu dijual kepada Vicent Tan.

Nampaknya Tun Dr Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat kononnya ulama' yang berada di dalam Umno menubuh PAS, kerana tidak mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab. Faktanya ialah ulama' keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulamak mengenai judi tidak diperdulikan, maka ulamak merasakan perlu ada jamaah yang bebas daripada Umno supaya Islam terpelihara. Dulu Tun menipu rakyat mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah, hakikatnya Umno ditubuhkan atas restu penjajah. PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak boleh tipu orang dalam setiap masa, insyaAllah PAS akan membetulkan fakta yang ditipu oleh Tun supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam.

PAS merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul. Bukankah beliau orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika krisis politik di Kelantan. Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana menentang undang-undang darurat di Parlimen. Bukankah waktu itu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji Datuk Asri?



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

UMNO Sebar Budaya Lucah Untuk Kekal Berkuasa.



CERAMAH UMUM BERSAMA
CHE'GU BAD (SAMM)

  • TARIKH : 26 MEI 2011 (KHAMIS)
  • MASA : 9.00 MLM
  • TEMPAT : DATARAN PUSTAKA, TAMAN MEWAH, KULAI.
SEMUA DI JEMPUT HADIR.


Khamis, Mei 05, 2011

Falsafah Pendidikan Islam.

1) Pada amnya perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan dari usaha kajian ahli falsafah dengan cara saintifik, sistematik dan lojikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud :
"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang di tentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikkan yang banyak."
(al-Baqarah ayat : 269)

2) Falsafah pendidikan mengandungi usaha untuk mencari konsep-konsep yang mengarahkan manusia diantara gejala-gejala yang bermacam-macam proses pendidikan dalam rancangan yang bersepadu dan menyeluruh. Di samping itu mengandungi usaha menjelaskan berbagai makna yang menjadi dasar dan konsep-konsep pendidikan dan menubuhkan hubungan pendidikan dengan bidang yang menjadi tumpuan dan perhatian manusia.

3) Falsafah pendidikan ialah aktiviti-aktiviti fikiran yang teratur yang menjadi falsafah itu sebagai jalan untuk mengatur, menyelaras dan menyatukan proses pendidikan.

4) Pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pendidik-pendidik dan filosofi-filosofi untuk menerangkan, menyelaraskan, mengecam dan mengubah proses pendidikan selaras dengan masalah-masalah kebudayaan dan unsur-unsur yang bertentangan didalamnya.

5) falsafah pendidikan sebagai sejumlah prinsip, kepercayaan, konsep, andaian dan yang telah
dihadkan dalam bentuk berpadu, saling berkait di antara satu sama lain. Ini semua dapat menjadi pedoman untuk usaha pendidikan dan proses pendidikan dengan segala seginya terhadap sistem politik, pendidikan dalam satu negara.

Sebagai kesimpulan, Falsafah Pendidikan Islam ialah hasil daripada pemikiran rasional dan kritis ahli-ahli falsafah yang berkaitan dengan pendidikan yang berpaksikan tauhid dan bersumberkan al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w. Ianya menjadi pedoman dan hala tuju dalam mendidik setiap Muslim.

Rujukan : Nota Pemgajian DTI ILH 206 Tasawwur Pendidikan Islam.