Khamis, Oktober 17, 2013

Ibrah Perang Siffin.

Para ulama yang memutuskan bahawa korban perang Siffin tidak kira di pihak Muawiyah ataupun di pihak Saidina Ali ialah syahid kerana mereka berperang kerana keyakinan ijtihad masing-masing untuk menegakkan kalimatullah. Para sahabat ialah individu yang mampu berijtihad kerana keunggulan mereka dalam ilmu Islam memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ijtihad yang benar diberi dua pahala dan yang tidak tepat diberi satu pahala. Orang yang berijtihad tidak akan berdosa walaupun ijtihad mereka salah, asal sahaja mereka mempunyai ilmu yang cukup dan layak berbuat demikian.
Sesetengah buku sejarah mengulas peribadi sahabat sehingga pembacanya memandang rendah pada tokoh-tokoh yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Pemerintahan Saidina Uthman dikatakan pemerintahan yang korup, mementingkan keluarga dan lemah. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku jika penulis itu faham dan menjiwai kehebatan peribadi Saidina Uthman yang digelar "Zunnur 'Ain" oleh Rasulullah sendiri. Kalaupun benar berlaku beberapa kelemahan dalam pemerintahannya, kita hendaklah meyakini itu adalah kerana sifatnya yang lemah lembut, tawadhuk, sabar, dan pemaaf. Bukan kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada dirinya. Begitu juga ada pihak yang mengecam Saidina Hassan yang rela menyerahkan pemerintahan kepada Muawiyah kerana mengharapkan ganjaran harta sebagai imbalan (konon katanya). Tetapi yang sebenarnya tindakan Saidina Hassan itu adalah disebabkan sikapnya yang cinta akan perdamaian dan ingin melihat kedua-dua belah pihak dari kaum Muslimin bersatu kembali.

Tidak kurang ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menghina bahkan sampai ada yang mengkafirkan sahabat Rasulullah seperti Abdullah bin Umar kerana berkecuali dalam perang Siffin, Zubair ibnu Awwam dan Talhah kerana menyebelahi pihak Saidatina Aisyah dalam memerangi Saidina Ali dalam peperangan Jamal (unta). Menghina Khalid ibnu Walid (pedang Allah), mengatakan Abu Zarr sebagai bapa sosialisme Islam, Saidina Abu Hurairah dan Amru sebagai munafik dan sebagainya. Na'uzubillah...
Kita merasa kesal kerana kecaman-kecaman ini datangnya daripada mulut orang yang mengaku sebagai orang Islam bahkan, kadangkala datangnya daripada orang yang mendabik dada sebagai pejuang Islam. Nampaknya, mereka bukan sahaja terperangkap dengan penyelewengan golongan-golongan yang terlampau seperti Syiah dan Khawarij tetapi juga diresapi oleh dakyah-dakyah jahat kaum Orientalis Barat yang memusuhi Islam.

Para sahabat Rasulullah umpama bintang-bintang di langit yang dapat menjadi petunjuk sepanjang zaman. Menyebut nama mereka pun sudah mendatangkan rahmat, apalagi menyintai dan menyanjung perjuangan mereka. Kita tinggalkanlah perselisihan yang terjadi dalam kalangan mereka sebagai satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan tetapi banyak hikmah untuk dijadikan iktibar. Sesungguhnya pemanah-pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka dalam perang Uhud mempunyai keperibadian yang berganda-ganda hebat daripada kita, dan sikap mereka itu bukanlah kerana mereka tamak kepada harta tetapi memang peristiwa itu terjadi untuk dijadikan teladan bagi mereka dan kita bahkan untuk Mukmin sepanjang zaman tentang betapa buruknya akibat mengabaikan arahan pemimpin Islam.

Mereka telah pergi membawa nama yang gemilang dengan membawa pelbagai gelaran yang diebrikan oleh Rasulullah SAW seperti As-Siddiq, Karamallahu Wajhah, Saifullah, Aminul Ummah dan lain-lain lagi. Seumur hidup kita pun kalau digunakan untuk menandingi kehebatan mereka, tidak akan berjaya. Jangan sampai menjadi kelawar yang tidak dapat melihat di waktu siang, bukan kerana siang itu gelap tetapi kerana siang itu terlalu terang untuk matanya. Oleh itu, demi kebangkitan Islam yang semakin marak sekarang, janganlah sampai melahirkan segolongan pejuang yang terlalu gelojoh, terburu-buru, tidak mengenal diri dan semborono dalam berfikir dan bertindak.

Akhirnya, peribadi sahabat ialah modal untuk kita jadikan pendorong dan panduan dalam berjuang, bukan untuk dikecam, dianalisa sudut-sudut yang negatif lalu dipaparkan. Tindakan menghina mereka (walaupun seorang) sebenarnya menarik langkah perjuangan ke balakang kembali. Menghina sahabat bererti menghina Rasulullah SAW, seterusnya menghina Allah SWT. Na'uzubillahiminzalik.. Menuduh mereka jahat samalah memperkecil-kecilkan sistem pendidikan Rasulullah yang mendapat didikan langsung daripada Allah SWT.

Kecaman golongan itu sebenarnya tidaklah mengurangkan pahala dan ketinggian darjat para sahabat, tetapi menunjukkan kebodohan dan menjatuhkan diri mereka sendiri ke lembah dosa. Mereka tentunya tidak akan menjadi teman para sahabat dalam syurga kelak.
Sekadar renungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan