Isnin, Oktober 17, 2011

Hiburan berkonsep Islamik kurang sambutan


KULAIJAYA – Pelaksanaan hiburan berkonsepkan Islamik dan nilai-nilai murni perlu mendapat sokongan masyarakat umum di samping penguatkuasaan pihak kerajaan secara amnya.

Personaliti Imam Muda, Asyraf Fadil Che Ahmad berkata, pada masa ini walaupun rancangan berunsur Islamik banyak diterbitkan, namun kurang mendapat sambutan menyeluruh dari masyarakat.

“Lazimnya, rancangan berunsur Islamik dan pengajaran sering dipertontonkan pada waktu yang kurang mendapat sambutan penonton, misalnya pada larut malam atau menjelang Subuh.

“Namun, apabila dilihat dengan lebih teliti, senario ini berlaku berikutan sambutan hambar masyarakat yang hanya berminat menonton rancangan berbentuk ilmiah dan Islamik pada waktu sedemikian

“Penerimaan masyarakat terhadap hiburan Islamik masih kurang tetapi sekiranya situasi ini dapat diubah, saya percaya hiburan berbentuk Islamik tidak mustahil akan ditayangkan pada waktu perdana,” katanya.

Selain itu katanya, beliau berpendapat sesuatu hiburan masih boleh dipertonton dan ditayangkan selagi ia tidak melalaikan dan bertujuan membimbing penontonnya ke arah kebaikan.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel dalam majlis Forum Wacana Seni dan Budaya anjuran Yayasan Amal Malaysia Zon Kulaijaya di Palm Villa Resort, bandar Putra, di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, penggiat seni, Dinsman yang turut hadir sebagai ahli panel menggesa, Islam boleh dikembangkan dalam pelbagai cara, jangan hanya berpolitik.

“Utamakan gerakan Islam dan lahirkan seberapa penulis yang boleh menulis ke arah kebenaran dan perjuangan Islam,” katanya.

Turut hadir adalah penulis lirik dan pengacara, Bob Lokman yang bertindak sebagai moderator jemputan.


Sumber : Sinar Harian 17 Okt 2011


Tiada ulasan:

Catat Ulasan