Selasa, Oktober 25, 2011

Bicara halal-haram seni di Kulaijaya.

MALAM 15 Oktober lalu bersamasama dengan Bob Lokman, Imam Muda Asyraf dan Dr Muhaimin Sulamhttp://1.bp.blogspot.com/-RzUa1T9ZHhE/TpQOJ6vTDDI/AAAAAAAAIzU/sQBxyjtClBM/s1600/bob-lokman.jpg, saya berkongsi pentas forum membicarakan topik “Seni: Halal atau Haram?”, anjuran PAS Kawasan Kulai, di sebuah dewan dalam Kelab Golf Palm Villa, Kulaijaya, Johor.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik, dalam suasana yang agak santai disebabkan cara dan gaya Bob Lokman mengendalikannya sebagai moderator forum.



Mulanya dijadualkan Muhaimin sebagai moderator, tetapi Muhaimin mencadangkan Bob Lokman kerana Bob Lokman memang seorang pengacara. Dan Bob Lokman pun setuju, memang dia seorang pengacara dan juga pelawak, katanya.

Tahniah PAS Kulai kerana menganjurkan forum yang agak lari dari kebiasaan PAS ini. Membicarakan kesenian dan kebudayaan bukanlah kebiasaan PAS, walaupun sudah lebih setahun wujudnya Lajnah Kesenian dan Kebudayaan. Dan terima kasih kepada Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat) kerana menjemput saya menjadi panelnya.

Forum ini diadakan di dalam dewan yang agak eksklusif. Khabarnya kena bayar tiket. Maksudnya ia bukan dibuat sebagai agenda politik popular untuk orang ramai berhibur dengan Bob Lokman dan Imam Muda Asyraf (secara percuma di tempat terbuka), tetapi ia jelas bertujuan untuk suatu bicara yang serius mengenai seni dan budaya.

Langsung tidak ada injeksi politik di dalamnya. Ucapan perasmian dan penutup pun tidak ada. Mazlan Aliman hadir hanya sebagai penonton, dan mendengar bicara ahli-ahli panel daripada awal hingga akhir, naik pentas hanya untuk menyampaikan ceenderamata kepada panel, dan selepas itu bersambung dengan bual-bicara sambil makan lewat malam di restoran, bersama dengan YDP Hisham Mohd Zin.

Mengapa saya ceritakan hal titik-bengik ini? Saya ceritakannya untuk menunjukkan sifat kesungguhan penganjuran majlis itu, yang tidaklah semestinya diselit atau diganggu dengan agenda politik. Mungkin nampaknya suatu perkara kecil dan remeh, tetapi impak dan implikasinya tidak kecil. Ia penting untuk difahami.

Alhamdulillah, malam itu kita berbicara soal kesenian dan hiburan. Yang manakah yang halal dan yang manakah yang haram di sisi Islam? Saya bawa dan tunjukkan dua buku yang menjadi rujukan utama saya dalam hal halal-haram seni. Siapa Bilang Musik Haram? Pro Kontra Masalah Musik dan Nyanyian karya Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani (terjemahan Indonesia) dan Seni Dalam Islam karya Dr Yusuf Qaradhawi (terbitan Jakim).

Syeikh Nashiruddin, seorang pakar hadis di zaman mutakhir, yang penilaian sahih dan tidaknya terhadap hadis diterima umum, berhujah dengan hadishadis sahih mengatakan bahawa muzik adalah haram di sisi Islam.

Manakala Dr Yusuf Qaradhawi pula, juga seorang ulama mutakhir yang pendapatnya menjadi rujukan di seluruh dunia, berhujah mengatakan bahawa muzik dan hiburan dibenarkan Islam.

Demikianlah juga ulama Islam sejak zaman sahabat dulu hinggalah sekarang, tidak pernah sepakat dalam soal halal-haram muzik dan seni dalam Islam. Sebahagian berpendapat ia halal manakala sebahagian lagi berpendapat ia haram. Masing-masing berhujah dengan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah. Tidak ada nas yang secara jelas menghalal atau mengharamkannya.

Makanya saya mengambil sikap bahawa muzik dan lainlain bentuk seni dan hiburan itu, samalah juga dengan pelbagai perkara lain lagi, ada yang halalnya dan ada yang haramnya. Kita perlu merujuknya kepada pelbagai hukum lain yang bersangkutan, misalnya hukum mengenai niat dan tujuan, hukum mengenai aurat dan pergaulan, sama ada ia mengarah kepada kebaikan atau ia boleh menyebabkan kepada kemungkaran, dan sebagainya.

Jadinya saya lebih suka berbicara mengenai apa yang kita boleh buat dan apa yang kita perlu buat sebenarnya. Tidak ada gunanya berbicara soal halal dan haramnya kalau kita tidak buat apa-apa. Maka saya pun menceritakan apa yang telah saya buat, dalam konteks seni dan budaya, sejak di sekolah menengah hinggalah sekarang.

Saya bicara mengenai peranan seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat, mengenai peranan seniman dalam gerakan Reformasi sejak 1998 hingga sekarang, dan bagaimana tertubuhnya kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pada Jun 2008, dan aktiviti yang dijalankannya hingga sekarang.

Diceritakan juga bagaimana teater dipersembahkan di dalam masjid. Teater yang bagaimana yang boleh dimainkan di dalam masjid itu? Ada pihak masjid yang tidak membenarkan biola dimainkan di dalam masjid, dan ada pihak masjid yang membenarkannya.

Betapa besar dan pentingnya peranan penulis dalam memperjuangkan kebenaran dan membawa perubahan kepada masyarakat. Hal ini yang sering saya tekankan dalam aktivitiaktiviti Paksi dan tulisan saya akhir-akhir ini. Betapa kita perlu melahirkan lebih ramai penulis seperti SN A Samad Said dan Azizi Hj Abdullah, misalnya.

Maka saya mencadangkan kepada PAS Kulai supaya berusaha melahirkan kumpulan penulis dan seni-budaya mereka sendiri, bagi menjalankan aktiviti seni dan budaya yang tidak melanggar syari‘at dan hukumhukum Islam, sebagai alternatif kepada aktiviti hiburan yang sering dilakukan dan dianjurkan pihak Umno-BN dan penyokongpenyokongnya, yang biasanya tidak mempedulikan syariat dan hukum Islam.

Oleh Dinsman


Tiada ulasan:

Catat Ulasan