07.03.2009, Kuala Lumpur : Perarakan para peserta GMP untuk menyampaikan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah tercemar dengan tembakan bom asap FRU kepada peserta perarakan yang menyebabkan perhimpuan dan perarakan GMP telah berubah menjadi kecoh, kesesakan lalu lintas manakala golongan dewasa, warga emas, kanak-kanak yang dibawa ibubapa mereka menyertai perarakan ini bertempiaran lari, mengalami sesak nafas dan sebagainya. Kehadiran mereka semua ini hanyalah untuk menzahirkan sokongan kepada usaha bagi meneruskan kelangsungan Bahasa Melayu bagi warisan generasi yang mendatang.
Mereka cukup perihatin dan menginsafi bahawa Bangsa Melayu telah kehilangan 'Huruf Jawi' yang mana kini akhbarnya hanyalah menjadi sisipan akhbar dan telah diberhentikan penjualannya kerena edaran yang cukup rendah. Mengapa ? Generasi hari ini telah gagal menguasai dan memahami hurufnya disebabkan kesilapan yang dilakukan pemerintah sekitar tahun 70'an yang lampau. Kesilapan ini cukup mahal harganya, kaum Cina masih ada huruf cinanya, kaum India masih ada huruf tamilnya tetapi kaum Melayu telah pupus huruf Jawinya walhasil daripada pengkhianatan bangsanya sendiri.
Justeru itu masyarakat melayu yang mempunyai kesedaran, jati diri, maruah telah merayu terus kepada Seri Paduka Baginda setelah pintu-pintu perundingan, perbincangan dan seumpamanya masih gagal mengubah pendirian pemerintah yang tidak diketahui jati dirinya, adakah mereka berbangga berbahasa melayu ataupun menyesal berbahasa melayu seterusnya mempunyai pandangan yang bahasa melayu tidak akan membawa kemajuan kepada bangsa melayu ?
Teruskan perjuangan wahai pejuang bahasa melayu, tiada cacat celanya dengan bahasa melayu, bahasa adalah satu kurniaan Ilahi yang sesekali jangan dipersiakan. Tembakan gas pemedih mata, semburan air kimia hanyalah dugaan, cabaran kita generasi terkini dalam perjuangan buat warisan generasi yang mendatang, Insya Allah.
Ya Allah, Ya Tuhan kami, selamatkanlah bahasa kami kurniaan mu, teguhkan hati kami bagi menghadapi petualang bahasa daripada bangsa kami sendiri Ya Allah, Amin.
Pemuda Insaf,
Pondok Pemikiran Al-Hikmah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan