Isnin, September 23, 2013

Warga Peneroka Wajib Baca Ini.....





LEBIH kerap dari tidak, kematian dalam Umno tidak membawa makna kepada sesetengah orang.  Ambil  sahaja Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Setelah dikenakan tindakan disiplin kerana ‘politik wang’, istilah suam kuku Umno bagi amalan merasuah perwakilan di perhimpunan agung bagi memilih jawatankuasa tertinggi parti, Isa kembali mencuri perhatian media.
Selanjutnya, apa juga kesalahan dalam Umno tidak kira sebesar mana sekalipun, tidak akan memadamkan peluang seseorang untuk kembali hidup dan mencapai kedudukan dalam parti dan seterusnya dalam kerajaan.
Justeru kenyataan klasik bekas Presidennya, ‘Melayu mudah lupa’ cukup relevan untuk ahli serta pemimpin Umno.  Hal seperti ini mengingatkan kita kepada kenyataan seorang penulis politik veteran ketika menyindir orang Umno dalam buku-buku tulisan beliau betapa orang Melayu (dibaca orang Umno) mempunyai ingatan singkat atau ‘short memory’.
Tahun 2009 membuktikan hal ini apabila Isa yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008)  dipanggil untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Walaupun pencalonan beliau mendapat kritikan dari sesetengah pemimpin Umno sendiri,  Najib mempunyai sebab tersendiri yang hanya diketahui oleh dirinya dalam memilih Isa sebagai calon walaupun tindakan penggantungan bagi seseorang yang telah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun (April 1982 hingga Mac 2004) mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan sekaligus tidak lagi layak untuk diletakkan kepercayaan untuk menjawat sesuatu jawatan awam.
Kemenangan Isa di Bagan Pinang menyuntikkan nyawa baru dalam hayat politik beliau.  Walaupun Najib berhati-hati tidak meletakkan Isa kembali ke kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, namun  Perdana Menteri memeranjatkan semua apabila melantik Isa selaku Pengerusi Felda.
Maka setelah dihidupkan semula dari kematian politik apabila terpilih dan muncul sebagai seorang Adun, perlantikannya selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan,  satu-satunya skim pra-Merdeka (Felda ditubuhkan pada 1956) bagi menangani penempatan semula penduduk miskin luar bandar ke kawasan-kawasan baru dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan tumpuan khas diberikan untuk tanaman kontan.
Begitulah sejarahnya.  Namun,  sementara umum tidak begitu pasti apakah ekonomi di peringkat rakyat yang bernaung di bawah Felda telah meningkat berkali ganda, atau sebaliknya beranjak secara marginal,  namun apa yang pasti, badan yang diamanahkan untuk menghapuskan kemiskinan mereka kini sudah menjadi pemain besar dalam dunia korporat.
Benar sebelum ini Felda membuat pelaburan di sana sini dalam bidang bersabit aktiviti terasnya.  Tapi sejak Isa mengambil alih tampuk kuasa pengurusan tertingginya, Felda seolah-olah muncul sebagai sebuah lagi penyerang korporat Malaysia dengan mimpi besar.
Tidak lama dulu, dengan dilatarbelakangi pelbagai bantahan dan dari pelbagai pihak, Isa meneruskan keputusannya mengapungkan saham Felda menerusi penubuhan Felda Global Ventures Holdings.
Kini, Isa meneruskan pencapaian mimpi beliau sebagai ‘corporate raider’ apabila beberapa hari lalu Felda memeterai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London.  Menurut laporan sebuah akhbar bisnes tempatan, bangunan plaza mengandungi 198 unit apartment itu dibeli oleh Felda pada harga STG98 juta (RM499.8 juta).
Banyak pemerhati menganggap pembelian hartanah di ibu negara United Kingdom ini adalah sebahagian daripada aktiviti membeli belah yang dilakukan oleh Felda di bawah Isa.  Bulan lalu Felda menguasai saham Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta.  Dan sebelum itu, Felda juga telah membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.
Kurang pasti bagaimana pelaburan ala-korporat ini akan memberikan pulangan setimpal ke atas modal Felda yang telah dikeluarkan dan bagaimana pula ia akhirnya dapat memenuhi aspirasi asal badan tersebut bagi menaikkan taraf ekonomi golongan miskin yang disasarkan menerusi skim ini.
Namun lebih kepada perwatakan seorang ahli politik berbanding penyerang korporat tulen, sudah tentu Isa mempunyai jawapan kepada setiap soalan yang bakal dikemukakan.

Sumber : Harakahdaily

Rabu, September 04, 2013

Jamuan Kesyukuran


SEMUA DIJEMPUT HADIR DAN
 BAWA KELUARGA SEKALI.

Khamis, Ogos 29, 2013

Adab Berjamaah Dan Menghormati Keputusan Presiden



Timbul keributan yang tidak kurang hebatnya apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dikritik secara terbuka kerana dikatakan melanggar perjanjian dengan PKR dalam isu calon PRU 13 di Kota Damansara. Apa yang menyedihkan lagi, ada di kalangan pimpinan tertinggi PAS yang mempertahankan kritikan tersebut atas nama keterbukaan.

Perlu dipertegaskan bahawa Islam memberikan hak kepada ketua sesebuah organisasi membuat keputusan sendiri tanpa memanggil mesyuarat. Jika dipanggil mesyuarat sekali pun, beliau diberi ruang untuk membelakangi keputusan mesyuarat jika perlu. Bahkan beliau tidak perlu memperjelaskan keputusan yang diambil kepada orang bawahan.

Lihat sahaja kepada sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Persetujuan telah dicapai bersama sahabat-sahabat baginda untuk berperang jika mereka dihalang untuk masuk ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah sebagaimana cadangan Saidina Abu Bakar. Bahkan Rasulullah s.a.w mempertegaskan lagi perkara yang sama kepada Budail bin Warqa', orang tengah antara Rasulullah dan Quraisy agar memberitahu musyrikin Mekah tentang perkara tersebut.

Apa yang berlaku, akhirnya Rasulullah s.a.w. tidak melaksanakan dan membelakangi keputusan hasil perbincangan dengan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w telah memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah yang menghendaki orang Islam pulang semula ke Madinah dan datang pada tahun hadapan untuk menunaikan umrah. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak memperjelaskan kepada para sahabat tentang keputusan yang diambil ini. Perjanjian ini bukan wahyu daripada Allah bahkan ia adalah kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan dan mengatur strategi.

Jelasnya, Tuan Guru Presiden mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam walaupun berbeza dengan keputusan mesyuarat jika dilihat di sana ada mudharat yang lebih besar boleh berlaku.

Ini tidak bermakna Islam mengamalkan sistem diktator. Sistem diktator adalah sistem yang tidak membuka ruang langsung untuk orang bawahan mengemukakan pandangan. Ada pun dalam Islam, pandangan orang bawahan adalah sangat dialu-alukan tetapi pandangan tersebut tidak boleh mengikat seorang ketua untuk membuat keputusan.

Dr Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Sirah; 1999, m.s 237) menyebut: "Syura dalam Syariat Islam adalah sesuatu yang disyariatkan tetapi ia tidak semestinya dilaksanakan. Ini kerana kebaikan daripada Syura adalah untuk mengeluarkan pandangan-pandangan daripada orang bawahan, mencari kebaikan dan kemaslahatan yang diketahui oleh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain atau memandang baik diri-diri mereka. Sekiranya pemimpin melihat pandangan mereka sangat baik berdasarkan dalil syarak dan hukumnya maka pemimpin itu akan melaksanakannya. Jika sebaliknya, dia boleh membuat keputusan mengikut apa yang dia kehendaki dengan syarat tidak berlawanan dengan nas Quran dan Sunnah serta ijmak orang Islam."

Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan mesyuarat atau syura perlu dilaksanakan oleh ketua atau pun tidak adalah menjadi perbahasan dan perbezaan pandangan di kalangan Ulamak. Pun begitu, pemimpin mempunyai hak untuk memilih pandangan Ulamak yang berbeza ini. Tuan Guru Presiden ada hak untuk memilih pandangan bahawa keputusan mesyuarat tidak semestinya dilaksanakan dan ahli perlu menerima pilihan Presiden.

Kewajipan ahli ialah mempertahankan dan melaksanakan keputusan Presiden walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Begitulah sikap yang diambil oleh para sahabat apabila mereka tidak berpuas hati terhadap Rasulullah s.a.w. apabila baginda memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah dan terpaksa balik semula ke Madinah. Saidina Umar datang menemui Rasulullah s.a.w menyatakan ketidak puasan hati beliau sehinggalah terpaksa ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat tidak mahu berganjak daripada tempat mereka apabila Rasulullah menyuruh mereka bertahallul untuk pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w terpaksa mengulangi sebanyak 3 kali tetapi para sahabat tidak mengendahkannya. Ini kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Rasulullah yang melanggar keputusan asal untuk berperang jika dihalang untuk masuk ke Mekah. Tetapi akhirnya para sahabat melaksanakan arahan Rasulullah apabila Rasulullah sendiri bertahallul. Mereka menerima dan melaksanakan keputusan Rasulullah walaupun mereka tidak berpuas hati.

Itulah sikap yang perlu ada dalam diri ahli pendokong gerakan Islam khususnya Parti Islam seMalaysia (PAS). Walaupun mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden tetapi keputusan tersebut tetap wajib dilaksanakan. Mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati itu mengikut saluran yang betul tetapi akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan Tuan Guru Presiden.

Adalah amat malang apabila sebahagian ahli dan pimpinan PAS tidak dapat menerima keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Presiden dan tidak mahu melaksanakannya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila ada di kalangan pimpinan PAS yang mempertahankan kritikan orang luar yang menyalahkan Presiden dalam isu calon di Kota Damansara walaupun Tuan Guru Presiden telah menerangkannya. Pimpinan yang seumpama ini tidak berhak berada dalam saf kepimpinan bersama dengan Tuan Guru Presiden.

Ustaz Mokhtar Senik
Ajk Dewan Ulamak Pas Pusat
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang

Selasa, Ogos 20, 2013

Erti Kemerdekaan dari Perspektif Islam



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum: 

"Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah 

  • “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; 
  • daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; 
  • daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka;
  •  daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; 
  • dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” 
Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?

Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:

Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.

Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.

Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:

1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.

2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:

1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.

2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Justeru, kemerdekaan yang sebenar ialah :

Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.

Sumber : Internet.

Isnin, Julai 29, 2013

IFTAR JAMAIE PAS KULAI 1434H

PAS Kawasan Kulai telah mengadakan program tersebut pada 18 Ramadhan 1434H bersamaan 27 Julai 2013 bertempat di PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra, Kulai. Majlis kali ini telah diserikan dengan kehadiran dua orang wakil rakyat daripada DAP iaitu YB Sdr Wong Shu Qi (ADUN Senai) dan YB Pn Teo Nie Ching (MP Kulai) disamping Sdr Mazlan Aliman selaku wakil PAS Negeri Johor merangkap bekas calon N50 Bukit Permai. Keakraban gandingan dalam Pakatan Rakyat semakin terserlah dengan kehadiran kedua-dua mereka, tambah lagi ini merupakan kali pertama wakil rakyat dari golongan nos-muslim hadir sama berbuka puasa bersama umat Islam dalam Parlimen Kulai.

Pada malam tersebut juga telah diadakan majlis penyampaian bantuan Hari Raya kepada golongan yang memerlukan yang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak yaitm. Seramai 20 keluarga telah menerima bantuan pada malam tersebut. Sumbangan telah disampaikan oleh YB Teo dan Sdr Mazlan selepas selesai solat terawih.

Semasa memberi ucapan YB Teo sempat membezakan suasana
ramadhan yang beliau lalui semasa menjadi MP Serdang di Selangor dengan suasana di Johor. Semasa di Selangor, beliau sering diundang oleh pihak masjid dan surau di Parlimen Serdang kepelbagai majlis yang diadakan sempena ramadhan. Berbeza dengan di Johor, beliau bukan sahaja tidak diundang bahkan menghadapi kesukaran untuk mendekati masyarakat Islam di bulan yang penuh dengan keberkatan ini walaupun berstatus ahli parlimen. Walau pun begitu beliau sempat juga mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di tiga lokasi iaitu Bandar Putra, Bandar Kulai dan Taman Manis di setiap hujung minggu. Disamping itu beliau juga telah menyampaikan bantuan hari raya kepada masyarakat di Felda Bukit Batu dan Felda Bukit Permai.

Begitulah senarionya berada dan berkhidmat didalam negeri yang menjadi tiang seri UMNO. Namun dengan kesungguhan yang ditunjukkan dan bantuan dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, insya'allah tiang seri tersebut mampu ditumbangkan dalam PRU yang akan datang.

TAKBIR !



Selasa, Julai 23, 2013

IFTAR JAMAIE PAS KULAI 1434H


PAS Kulai akan mengadakan program Iftar Jamaie bersama Dewan Ulama' PAS Negeri Johor pada :
  • Tarikh : 18 Ramadhan 1434H bersamaan 27 Julai 2013 (Sabtu)
  • Masa : 6.00ptg - 10.30mlm
  • Tempat : PASTI Al-Hikmah, Bandar Putra.
Aturcara program :
  • Bacaan Mathurat
  • Tazkirah ramadhan
  • Majlis berbuka
  • Solat maghrib
  • Solat Isya'
  • Solat terawih
  • Majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin.
Tetamu undangan :
  1. YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
  2. YB Wong Shu Qi (ADUN Senai)
  3. Sdr. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)   



SEMUA DIJEMPUT HADIR.


Khamis, Julai 11, 2013

Ramadhan bulan jihad .

Ramadhan bulan jihad. Jihad melawan hawa nafsu serta jihad memenangkan perjuangan Islam. Kini Ramadhan datang kembali dalam keadaan saudara kita di Syria masih dicengkam kezaliman Regim Bashar Asad dan kuncu-kuncunya.

Saudara kita di Mesir pula sedang dirompak kemenangan rakyat oleh regim tentera yang di dalangi oleh Israel dan AS. Pada waktu yang sama saudara kita di Palestine, Burma terus dibuli.

Ramadhan kali ini juga kita berhadapan dengan PRK Kuala Besut yang hangat diperkatakan oleh orang ramai bagi mencatat sejarah 16 - 16 Terengganu Baru.

Suaatu rekod yang akan menjadi catatan sejarah politik negara seandainya pengundi memberi mandat kepada PAS. 16-16 bukan sahaja pengundi di Kuala Besut yang ingin melihat keadaan tersebut, bahkan seluruh negara, kerana ini adalah sejarah tersendiri.

Dalam suasana ini, Ramadhan datang kembali membawa seribu rahmat. PAS mengucapkan selamat datang ya Ramadan. Semoga keberkatan, rahmat dan keampunan akan kita peroleh. Marilah kita bersama menyumbang tenaga, wang ringgit dan doa agar kita berjaya mencapai kemenangan yang sangat penting ini.

Kepada para petugas yang telah berkorban meninggalkan keluarga dan tugas harian turun ke Kuala Besut bagi membantu jentera parti, kita ucapkan siru ala barakatillah. Semoga kita memperoleh ganjaran besar berjihad pada bulan Ramadhan. Suatu nikmat yang jarang kita peroleh.

Manakala yang tidak berkesempatan untuk hadir, biarlah wang ringgit, munajat doa agar kita berjaya. Setiap orang daripada kalangan ahli parti mesti menyumbang sesuatu agar ia menjadi saksi depan Allah di hari akhirat nanti.

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,