Khamis, Ogos 26, 2010

Apabila Ulama Disifat Bagaikan Anjing

Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.

Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.

Saya menulis tajuk ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.

Hari ini mungkin sesetengah ulama sudah tidak bimbang jubah putih mereka tercemar lagi, kerana mereka memiliki koleksi pakaian yang cukup banyak hasil dari kemewahan memakai gelaran rasmi agama. Sehingga ada yang jumlah gajinya mengejutkan parlimen dan rakyat.

Namun di zaman moden ini, mereka mungkin bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau pangkat mereka tidak dinaikkan, atau bisnes yang mereka menjadi ‘duta produk’ atau juru larisnya terjejas, atau perlantikan mereka di institusi-institusi yang menghasilkan elaun bulanan itu terganggu.

Atau ada pula yang menjaga kepentingan parti mereka melebihi daripada membela kebenaran dan fakta. Sehingga ada yang sanggup mengubah-ubah fatwa, hanya kerana partinya sudah berubah. Lalu mereka akan menjauhkan diri dari sesiapa yang cuba mengikuti semangat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.

Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, untuk mengelakkan mereka terpaksa berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.

Apabila ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir. Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja.

Kadang-kala kita rasa tidak padan tajuk yang dicakapkan dengan jawatan yang dipegang. Maka amatlah buruk golongan yang menamakan diri mereka ulama jika hanya kelihatan ketika majlis-majlis rasmi untuk hadir hanya sebagai pembaca doa semata. Lebih menyedihkan lagi, dalam doa itu ‘ada udang di sebalik mee’, untuk dimakan sendiri. Sehingga kita yang mendengar pun terasa seram sejuk dengan pujian kepada pihak tertentu yang ‘lebih daripada yang patut’.

Atau golongan ini hanya kelihatan dalam majlis jamuan rasmi untuk memenuhi kerusi VIP yang dikhaskan untuk mereka. Hanya mampu makan jamuan yang diambil daripada peruntukan rakyat, namun tidak mampu bersuara jujur membela rakyat. Ada pula ulama-ulama rasmi yang minatnya adalah lawatan atas nama jawatannya ke sana-sini. Kononnya, untuk mengiringi orang itu dan ini.

Mereka kelihatan sibuk, namun umat tidak pula tahu apakah hasil dan sumbangan mereka untuk kepentingan rakyat. Apa yang disibukkan itu? Apakah kesibukan itu bersesuaian dengan peranan mereka yang sepatutnya? Atau sekadar sibuk menjadi pengiring atau sebagai panel memenuhi kerusi jamuan?. Atau sibuk untuk harta dan pangkat sendiri.

Ulama jenis ini, tidak mereka berjuang dengan suara, tidak juga dengan pena. Tentu jauh sekali dengan darah dan airmata. Walaupun pena atau komputer mereka mungkin berjenama mahal, tetapi kita tidak tahu apa yang mereka tulis dan sumbangkan untuk umat. Suara mereka tentu lebih mahal. Bak kata perpatah ‘suara emas’, sebab itu ia amat sukar untuk dikeluarkan walaupun keadaan amat memerlukan.

Bicara mereka bicara ‘ranggi’. Cerita mereka tentang kereta baru, perabut baru, lawatan keluar negara, lantikan baru, anugerah gelaran tambahan dan yang sewaktu dengannya. Wajah mereka berseri-seri jika bergambar di samping orang besar atau ‘pak menteri’.

Malangnya, sebahagian wajah yang berseri-seri itu tidak mampu untuk hadir mengajar atau memberikan pandangan untuk kepentingan orang awam. Kalau pun diberi, pandangan yang amat tidak berkualiti, atau dalam perkara yang kurang diperlukan. Mereka mungkin berfatwa tentang ‘haram kanak-kanak bermain mercun’ pada musim hari raya. Kerana itu kata mereka ‘pembaziran’.

Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang bunga api yang dibakar di sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan bahkan mungkin ratusan ribu. Padahal pembazirannya lebih jelas dan wangnya adalah wang orangramai.

Maka tidak hairanlah jika ada yang berjawatan tinggi dalam agama, tetapi tidak dikenali oleh rakyatnya. Jika dikenali pun, tidak pula diketahui apakah peranannya dalam membela kemaslahatan umat yang menjadi tuntutan agama?

Ulama yang seperti inilah yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).

Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang tidak sahih menyebut nama orang tersebut ialah Bal’am. Kita tidak menerima periwayatan tanpa sokongan yang seperti itu.

Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain.

Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).

Bagi ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar tiada jalan untuknya mendapat keampunan melainkan taubat dan menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan atau fakta yang diselewengkan.

Firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.

Mereka juga boleh menjaga kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang.

Perkataan ulama itu berkait dengan ilmu dan peranan mereka menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya. Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.

Sebab itu, seseorang apabila ingin menjadi penuntut ilmu-ilmu Islam, wajib baginya membetulkan niatnya. Jangan dia, atau ibubapa yang menghantarnya berfikir tujuan mempelajari ilmu-ilmu Islam untuk mendapatkan jawatan, atau menjadi penceramah yang lumayan, atau kerana ruang pekerjaan dalam bidang agama luas, atau melariskan bisnes.

Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Maka Nabi s.a.w mengingatkan: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).

Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Kita memerlukan ilmuwan seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a., bukan ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran.

Oleh : Dr Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA)


Jangan Guna Minyak Sapi Ghee QBB


KUALA LUMPUR 23 Ogos – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya segera menarik balik penjualan minyak sapi QBB di pasaran.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menarik balik status halal minyak sapi itu kerana didakwa mengandungi elemen yang meragukan.

“CAP telah berhubung dengan Jakim bagi mendapatkan kesahihan status halal minyak sapi itu sejak Julai lalu.

Kenyataan rasmi Halal Malaysia - JAKIM


“Jakim menjelaskan bahawa mereka telah menarik balik status halal minyak sapi itu sehingga yakin dengan status halal produk tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurut beliau, Jakim dan Jabatan Kimia telah menguji minyak sapi itu dan mendapati ia mengandungi elemen yang meragukan dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan segera pengambilan minyak sapi itu sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim.

Sementara itu, Jakim menerusi laman web www.halal.gov, turut mengumumkan pihaknya telah menggantung Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Syarikat QBI Packaging Sdn. Bhd. berkuat kuasa 19 Ogos lalu (baca pada imej di atas).

“Tindakan itu diambil sehingga Jakim berpuas hati status halal produk berkenaan. Oleh itu, QBI Packaging Sdn. Bhd. dilarang menggunakan logo halal Malaysia pada semua produk minyak sapi QBB,” katanya.

Posted on Tuesday, August 24 @ 15:03:49 PDT
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Oleh A. Karim
laporan dipetik dari Utusan


Rabu, Ogos 25, 2010

Tazkirah Ramadhan - Mengapa Amal Ibadah Kita Di Tolak Oleh Allah swt.

Kisah Muaz bin Jabbal menangis dengan hibanya setelah mendengar nasihat Nabi s.a.w. bilamana beliau menceritakan amalan-amalan yang dibawa oleh malaikat tidak dapat diterimanya kerana sikap dan perbuatan hambanya yang tidak diperkenankan.

Pada suatu hari seorang lelaki bertanya kepada Muaz bin Jabbal : 'Apakah hadis-hadis yang tuan pernah dengar daripada Rasulullah s.a.w.?' Muaz pun terdiam sebentar, kemudian beliau pun dengan tiba-tiba sahaja menangis dengan hibanya seolah-olah tidak akan berhenti lagi. Setelah kemudian Muaz mulai reda dari tangisannya dan berdiam seketika, lalu Muaz pun bercerita.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :"Mudah-mudahan akan menjadi kebaikkan kiranya bagimu jika engkau selalu ingat dan sentiasa awas." Demikian sabda baginda. Lalu Muaz pun meneruskan kisahnya lagi. "Allah telah menjadikan tujuh malaikat, sebelum Allah ,menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Pada setiap lapisan langit ada pintunya. Ditugaskan pada setiap pintu langit seseorang malaikat yang begitu besar tersergam indah dan hebat.

PENGUMPAT.

Naik malaikat kelangit pertama membawa amalan hamba yang dilakukan pagi dan petang, siang dan malam. Bersinar-sinar cahaya amalannya seperti matahari, lalu malaikat penjaga langit pertama berkata :'Bawa kembali amalan orang itu dan hempaskan kemukanya! Aku- Tuhan tempatkan disini sebagai peneliti dosa orang-orang mengumpat, supaya tidak membiarkan amalan orang mengumpat naik melintasi aku keatas.'

BERMEGAH DENGAN DUNIA.

Datang pula malaikat lainnya membawa amalan salih hamba Allah yang sangat bersinar-sinar amalannya itu. Apabila sampai ke langit kedua, maka malaikat penjaga pintu langit itu pun berkata : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka orang yang empunya amalan itu kerana bersarang dengan kemegahan dunia, tidak boleh melintasi aku kerana dia bermegah-megah dengan amalannya kepada manusia, mencari keredhaan manusia (kerana pangkat, jawatan, wang, nama, pujian dsb).'

TAKBUR.

Naik pula malaikat yang lain lagi, membawa amalan hamba Allah yang bercahaya dan cemerlang dari amalan sedekah, puasa, sembahyang sehingga menakjubkan malaikat. Apabila tiba di langit ketiga, ditahan oleh malaikat penunggu pinta langit, katanya : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka tuannya! Aku malaikat pengawas sifat-sifat takbur, tidak membenarkan melintasi aku dengan perintah Allah swt, kerana amalan ibadahnya mengandungi takbur dan selalu takbur didalam majlis ramai.'

UJUB.

Naik lagi malaikat yang lain ke langit keempat membawa amalan hamba Allah yang bersinar-sinar cahayanya. Sungguh hebat, berdengung-degung bunyinya amalan itu yang berisi tasbih, sembahyang, haji dan umrah tetapi tidak dibenarkan melintasinya. Lalu berkata malaikat penjaga pintu langit itu : ' Berhenti disini! tidak boleh lewat dari sini, aku malaikat penjaga pintu langit keempat diperintahkan Allah agar amalannya itu dipukulkan kebelakangnya dan perutnya. Kerana aku malaikat peneliti sifat ujub. Dia sangat ujub dengan amalannya (merasa bangga kerana banyak amalan hingga menghairankan dirinya).'

HASAD DENGKI.

Naik lagi malaikat lainnya membawa amalan hamba Allah. Apabila tiba dipintu langit yang kelima dilihat oleh malaikat penjaga pintu langit kelima amalan yang dibawa seperti berarak pengantin perempuan dengan hebatnya, lalu malaikat penjaga langit itu berkata : 'Berhenti! pukulkan amalan itu kemuka tuannya, ketengkuknya dan kebahunya. Aku malaikat pengawas sifat-sifat dengki manusia, tidak akan membenarkan orang yang hasad dengki amalannya melewati aku dilangit kelima ini.'

RAHIM.

Malaikat yang lain pula membawa naik amalan hamba Allah menghadap Tuhan, lalu ditahan oleh malaikat penjaga langit keenam : 'Berhenti! ambil amalan itu dan palukan kemuka tuannya kerana dia tidak bersifat rahim sesama manusia. Orang dipimpa bala' dia hanya suka sahaja melihatnya. Aku malaikat rahmat sentiasa meneliti sifat rahim manusia. Allah perintah kepada aku supaya jangan membiarkan amalan hamba yang tidak bersifat rahim naik keatas.'

RIYA'.

Naik pula malaikat lainnya hingga ke langit ke tujuh, membawa amalan hamba Allah yang indah cemerlang besinar-sinar seperti matahari diiringi oleh tiga ribu malaikat, hendak melewati langit ketujuh. Maka ditahan oleh malaikat pengawal langit itu : 'Berhenti! palukan amalan itu kemukanya dan segala anggota badannya dan tutupkan pintu hatinya dengan amalannya itu. Aku diperintahkan oleh Allah swt melarang orang yang begini amalannya melewati dari langit ketujuh. Kerana amalannya menghendaki pujian dari ahli-ahli ilmu (ulama' & fuqaha'), supaya dia disebut termasuk kedalam golongan ulama' dan fuqaha', supaya mashyur namanya (amalan riya:- memperlihat-lihatkan, menunjuk-nunjuk kepada manusia, mencari pujian dari amalannya itu) - kerana amalannya itu tidak ikhlas kerana Allah - riya' kepada manusia - Allah tidak melihat amalan orang yang riya'.

TIDAK BENAR-BENAR IKHLAS.

Naik pula malaikat lain lagi dengan membawa amalan hamba Allah yang salih, dari sembahyang, zakat, haji dan umrah, salihnya, waraknya, baik akhlaknya, berdiam diri, sentiasa dalam zikirullah. Diiringi oleh segenap petala langit kerana kebesaran dan kehebatannya amalannya itu sehingga dapat melintasi segenap tujuh lapisan pintu langit dan menembusi segala hijab yang amat jauh diatas dari langit ketujuh terus menuju kehadrat Allah swt. Lalu mereka sekeliannya berhenti dihadapan Allah swt menjadi saksi atas amalan orang yang salih itu kerana ikhlasnya. Allah berfirman : "Kamu semua penjaga amalan hamba-hamba Ku sedangkan Aku pengawas atas dirimu. Sebenarnya amalannya bukan kerana keredhaan Ku, hanya lain yang dicarinya. Maka Aku laknatkan keatasnya dan semua malaikat pun turut melaknatkan pula bersama Allah dan melaknatkan pula oleh tujuh petala langit dan tujuh bumi segala isinya."

Kemudian Nabi s.a.w. terus bersabda lagi memberi pengajaran kepadanya : " Ikutlah akan daku meskipun ada kekurangan dalam amalmu."

Hai Muaz!

"Peliharalah lidahmu daripada kejahatan pada saudara-saudaramu dari kalangan para penanggung al-Quran (saudara-saudaramu muslim yang beramal dengan hukum al-Quran "Islam") dan tanggungkan dosa-dosamu itu atas dirimu!. Jangan tanggungkan dosa-dosamu itu atas mereka dan jangan engkau sucikan dirimu dengan mencelakan mereka. Jangan meninggikan dirimu atas mereka. Jangan masukkan amal dunia dalam amal akhirat (Ertinya; jangan engkau qasadkan amal akhirat itu kerana dunia untuk mendapatkan matabenda dunia dan mencari laba dunia) dan jangan menilik-nilik pada amalmu. Jangan engkau bertakbur (membesarkan dirimu dengan perbuatan atau perkataan atau dengan air mukamu atau dengan gerak-gerimu) didalam majlis supaya manusia takut akan kejahatan perangaimu dan jangan engkau berbisik-bisik dengan seseorang padahal disampingmu ada orang lain. Jangan engkau membesar-besarkan dirimu atas manusia supaya tiada putus dari dirimu kebajikan dunia. Jangan engkau menghinakan dan mencaci yang menjatuhkan keaiban manusia (jangan mengumpat, jangan membuat fitnah, jangan menjatuhkan air muka / aib orang). Kalau tidak nescaya akan dirobik-robik dan dikoyak-koyak akan badan engkau oleh anjing-anjing buas serta ganas didalam neraka pada hari kiamat."

Petikan Kitab : Fadhilat Rejab, Sya'ban, Ramadhan.
Oleh : Budiman Radhi.


Isnin, Ogos 23, 2010

ZIARAH RAMADHAN AL MUBARRAQ 1431H


Program ini akan dilakukan sekali lagi. Kali ini program diadakan sempena dengan kedatangan syawal. Pas Kawasan telah memutuskan ianya diadakan pada dua hari iaitu :
  • Ahad 29 Ogos 2010 dan
  • Selasa 31 Ogos 2010
Tumpuan masih dikawasan DUN Bukit Permai dan lokaliti sebelumnya masih dikekalkan. Senarai penerima yang ada akan digunakan dan mungkin terdapat sedikit pertambahan jika ada. Hari kedua lawatan akan turut disertai oleh Sdr. Mazlan Aliman selaku AJK PAS Pusat merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.

Kepada para sahabat yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikin melalui Sdr. Aziz Jaafar, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan di talian 019-7143675 atau terus ke akaun PAS Kawasan Kulai seperti yang tertera di kanan blog ini. Hamper sumbangan bernilai RM50.00 setiap satu berupa barangan makanan menyambut syawal akan diberikan.

Sumbangan anda amat kami hargai dan diucapkan Jazakallah Khairan Kasira.


Sabtu, Ogos 21, 2010

Sudah Sampai Masa PAS Ganti UMNO.

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30% ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini. Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera di negara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat.

PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.

Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.

PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.

PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti 30% yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion, sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.

PAS pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.

PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, Ogos 16, 2010

Pemimpin BN Kena Terima Nasihat Koh Tsu Koon

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain.

PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis Tertinggi Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding. Adat perlawanan ada pihak kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang yang baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah, setelah memerintah 18 tahun sejak 1959. Berkat kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN, yang tidak sabar dan tidak tahu menjadi pembangkanag. Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah.

PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Jumaat, Ogos 13, 2010

FADHILAT RAMADHAN.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud "Sedekah itu adalah sesuatu yang paling besar (diulangi oleh baginda sebanyak 3 kali)" al-Hadith.

Hadith daripada Abu Hurairah r.a. katanya "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda :"Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir". Kata seorang sahabat;'Ya Rasulullah bahwa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir?' Jawab nabi : "Bahwa mereka adalah mahluk Allah. Sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat tuhan yang rahman".

Bersedekahlah setiap hari pada bulan ramadhan, tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan ramadhan. Bersedekah dibulan puasa diampunkan dosa yang banyak dan berlipat kali ganda pahalanya. Dicurahkan rahmat oleh Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga dan terjauh dari bala bencana.

Kata ulama'; sedekah itu 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat.
5 di dunia :
  1. menyucikan harta
  2. menyucikan badannya
  3. menolak bala' dan penyakit
  4. menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
  5. berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya
5 di akhirat :
  1. dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari kiamat ketika sangat panas
  2. ringan hisabnya
  3. berat timbangan amalannya di akhirat
  4. mudah melalui titian sirat
  5. bertambah darjatnya didalam syurga
Peringatan !
  • Singkirlah jauh-jauh perasaan ujub, riya', takbur, sum'ah, hasad dengki dan perkelahian kerana itulah racun dalam amalan yang akan menghapuskan amalan-amalan kamu kerananya.
  • Kalau tidak dapat diamalkan semuanya, janganlah tinggalkan semuanya. Buatlah dan amalkanlah sekadar kemampuan menurut sejauh mana lemah dan kuatnya iman pada diri kamu.
  • Bawalah dan teruskanlah amalan ini sehingga diluar bulan ramadhan serta menjadi amalan seharian kamu.
Sehari demi sehari umur kita kian menghujung. Perbanyakkanlah amal ibadat kita demi untuk mencapai keredhaan Allah swt semata-mata. Insya'allah akan tergolong kita kedalam golongan hamba-hambaNya yang solihin. Amin!