Jumaat, April 30, 2010

Golongan Ruwaibidhah.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : "Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang yang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya : Apakah Ruwaibidhah itu ya Rasulullah?. Nabi s.a.w. menjawab, Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".

HR : Ibnu Majah.

Keterangan hadis :

Zaman yang disebut oleh Nabi s.a.w. itu ialah zaman ketandusan. Orang yang benar akan diketepikan dan orang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberi peluang bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Orang khianat disanjung-sanjung,
orang amanah tidak didukung,
pemimpin zalim bunga dikalung,
mujahid Islam ditali gantung.

Bangkitlah wahai pewaris Nabi,
jangan biarkan umat dikeji,
teruskan jihad ke jalan suci,
sebar luaskan rahmat Illahi.


ALLAHU AKBAR!


Program Lawatan Titian Kasih.

Sahabat-sahabat yang berkelapangan dipersilakan untuk turut serta pada program tersebut (Hari Ahad : 2 Mei 2010) di dua lokasi iaitu :
  1. Felda Bukit Permai dan
  2. Kampung Murni Jaya.
Turut hadir pada program ziarah ini ialah Sdr. Mazlan Aliman selaku Ketua Penerangan BPPNJ merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Sahabat diminta berkumpul di PUSTAKA pada jam 2.30 ptg. Penglibatan para pendokong gerakan Islam amat dialu-alukan bagi meramai dan memeriahkan kunjungan ke keluarga yang kurang berkemampuan di 2 lokasi tersebut.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.


Khamis, April 22, 2010

Berjuang Hanya Kerana Allah.

Sudah menjadi sifat daripada orang yang tinggi takwanya terutama para sahabat Rasulullah s.a.w. perjuangan mereka semata-mata hanya kerana Allah. Mereka tidak begitu mengambil perhatian kalau masalah peribadi mereka dicabar oleh orang, tetapi sebaliknya mereka akan berjuang habis-habisan kalau agamanya dipermainkan oleh musuh. Sifat demikian memang mereka warisi dari Rasulullah s.a.w.

Dikisahkan bahwa, pada suatu hari seorang yahudi telah mempermain-mainkan agama Islam dengan angkuhnya di hadapan Saidina Ali r.a. Akibatnya, Ali yang terkenal dengan keberanian dan tegas, telah marah dan mencabar orang yahudi itu. Maka terjadilah pergaduhan antara keduanya. Perang satu lawan satu itu semakin lama semakin hebat. Si yahudi berjuang kerana angkuh dan sombonngnya sedangkan Ali berjuang semata-mata kerana Allah swt bagi mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Kerana hebatnya gerakan dan pukulan Ali r.a., maka terpelantinglah tubuh si yahudi dan tergolek diatas tanah. Dengan cepat Ali menindih tubuh musuh Allah itu dengan duduk diatas perutnya. Lalu kedua-dua tangan dipegangnya dengan kuat-kuat dan dimatikannya gerakan si yahudi itu. Kini si yahudi sudah tidak bergerak lagi. Sementara Ali menatap tajam ke wajahnya sebagai tanda bahwa nyawa lawannya sedang terancam dan hanya tinggal menunggu saat untuk ditikam.

Dalam keadaan tidak berdaya, si yahudi masih tercari-cari akal untuk melepaskan diri, namun tidak berhasil juga. Tiba-tiba dia dapat melepaskan murkanya dengan meludah wajah Ali. Maka basahlah wajah Ali yang mulia itu dengan air ludah si yahudi. Setelah wajahnya berlumuran ludah, Ali terdiam. Tidak lama kemudian beliau melepaskan genggaman tangannya dari memegang tangan si yahudi dan berdiri tegak. Dibuka serbannya dan dilapkan ludah yang melekat diwajahnya.

Melihat dirinya sudah tidak ditindih dan tidak diperhatikan lagi, si yahudi bangun dan berdiri tegak di hadapan Ali. Dengan kehairanan dia bertanya " Mengapa engkau tidak membunuh aku? Padahal itu kesempatan yang baik buatmu untuk melakukan itu". Kemudian dia berkata lagi "Aku meludahi wajahmu itu sebenarnya kerana aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi".

Saidina Ali menjawab "Tadi saya bergaduh dan menyerang kamu kerana mempertahankan agama Allah. Saya akan membunuh engkau selama engkau menentang Tuhan". Sambil membetulkan letak serbannya, beliau berkata lagi "Tetapi setelah engkau ludahi wajahku, masalahnya bukan lagi mempertahankan agama Allah. Ia telah menjadi masalah peribadi. Aku sangat murka kepada engkau kerana meludahi aku. Kalau sekiranya aku bunuh engkau kerana kemurkaan berkenaan urusan peribadi, maka perjuanganku sudah tidak ada erti lagi. Sebab bukan lagi kerana mempertahankan agama Allah, melainkan kerana mempertahankan harga diri".

Mendengar penjelasan itu, si yahudi sangat kagum dengan ketinggian akhlak dan keperibadian Ali. Dari pengajaran itu, tahulah dia bahwa perjuangan Rasulullah s.a.w. dan orang Islam bukan untuk kepentingan peribadi tetapi semata-mata demi kepentingan agama Allah.

Rabu, April 21, 2010

Salam Kepada Bukan Islam.

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

M Jusoff Taib


Petikan artikel : Harakahdaily.

Osman Bakar : Bangkitkan Kembali Epistemologi Islam.


Mutakhir ini, wacana epistemologi Islam mula mendapat sorotan. Sama ada kita menyedari atau tidak, merasakan atau tidak, tapi perlahan-lahan, buku, institusi serta gerakan penyelidikan mengenai epistemologi Islam kian bercambah. Namun, tampaknya denyut keghairahan ini seperti terabai — terutamanya dalam kalangan Muslim di Malaysia — sehingga tidak melihat peri-pentingnya peranan epistemologi dalam kehidupan beragama. Maka, atas hasrat untuk menanam kefahaman inilah yang mempertemukan kita dengan Prof Emiritus Datuk Osman Bakar, timbalan ketua pegawai eksekutif, Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa, (International Institute of Advanced Islamic Studies), Malaysia (IAIS). Bersama AQIL FITHRI — zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun — maka, murid dekat Seyyed Hossein Nasr ini sempat ditemuramah sewaktu kunjungannya ke Pusat Kajian dan Maklumat Falsafah Islam atau Center for Islamic Philosophical Studies and Information (CIPSI), Jakarta baru-baru ini.

Aqil Fithri: Kita tahu, tidak semua yang kuno adalah kuno. Sebab itu, dewasa ini wacana klasik tentang ilmu hushuli dan ilmu hudhuri mulai diangkat dalam wacana Islam, khususnya wacana falsafah Islam. Difahamkan pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhduri — ini dibuat oleh Suhrawardi. Kebetulan, anda pula pernah menulis buku The Classification of Knowledge in Islam. Justeru, buat pengenalan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini?

Osman Bakar: Dalam tradisi Islam, terdapat beberapa pengelasan ilmu. Tentunya ada persoalan, mengapa terdapat beberapa sistem pengelasan ini? Ini kerana, ada perspektif yang mendorong kita melakukan pengelasan tersebut. Sebagai contoh, ada pembahagian ilmu antara fardu ain dan fardu kifayah. Ini juga sebenarnya adalah satu contoh pembahagian. Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna hanya terdapat satu pembahagian saja dalam pengelasan ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya, setiap pembahagian dilakukan kerana ada asasnya, serta ada juga kegunaannya yang penting bagi masyarakat. Jadi, pembahagian ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini adalah termasuk dalam satu contoh pembahagian ilmu yang terdapat dalam Islam.

Namun, pembahagian ini dibuat lantaran ada perbezaan kaedah, iaitu merujuk kepada pemerolehan sumber ilmu. Perlu diketahui, pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhuri — sebenarnya sudah terdapat dalam tulisan al-Ghazali lagi, iaitu sebelum Suhrawardi al-Maqtul. Yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli ini adalah, ilmu yang manusia peroleh dengan kognitifnya, dengan daya usahanya, sama ada dengan menggunakan pancaindera atau dengan akalnya (acquired knowledge). Manakala ilmu hudhuri, itu merujuk kepada ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian manusia, yang mana ini berasaskan kepada penerimaan langsung dari Tuhan (presential knowledge). Jadi, ilmu hudhuri ini sudah tentu ada kaitan dengan perkataan, “hadhir,” “hadhrah,” “hudhur,” yang mana kata-kata ini dari akar yang sama—yang semuanya mengusung makna kehadhiran Ilahi. Dalam kata lain, ini juga semacam ilmu laduni, iaitu datang dari sisi Tuhan.

Sungguhpun demikian, perlu ditegaskan, bahawa ilmu ini bukan hanya untuk para Nabi saja, tapi juga termasuk untuk manusia-manusia seperti awlia, ulama, ilmuan, hukamak, dan lain-lain, yang Tuhan mahu anugerahkan keistimewaan pada manusia-manusia pilihannya. Sebab itu, ilmu ini dikaitkan dengan pengalaman keruhaian (spiritual life) yang dicapai oleh individu tertentu. Jadi, memang berbeza dengan ilmu hushuli, iaitu ilmu yang dikaitkan dengan pancaindera dan rasional yang sarat dengan nalar dan logik. Maka, ilmu hudhuri lebih khusus, lebih istimewa, lebih terpilih, yang mana ini disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “walaupun semua ilmu itu berasal dari Tuhan, tapi terdapat banyak cara untuk ilmu tersebut sampai kepada manusia.” Salah-satu daripadanya adalah ilham/inspirasi/intuisi. Inilah kaedah untuk memperoleh ilmu hudhuri. Namun, perlu diingat juga, ilham itu ada pelbagai peringkat, dan ilham inilah yang akhirnya membuahkan ilmu hudhuri.

Namun, bagaimana pula kita dapat menentukan, atau mengelaskan, tingkat-tingkat yang terdapat dalam ilmu hudhuri ini?

Penentuan tingkat ini adalah berdasarkan keakrabannya dengan sumbernya. Jika kita bermula dari atas, maka sumber yang tertinggi, ialah Tuhan. Kemudian, ada ilmu yang datang dari sisi Tuhan, yang dikurniakan kepada manusia-manusia terpilih, selain dari para Nabi. Jadi, kita boleh letakkan ilmu wahyu itu sebagai contoh ilmu hudhuri, tapi hanya khusus untuk para para Nabi saja. Kemudian, ilham boleh saja dianugerahkan pada manusia-manusia terpilih. Tapi, harus diperhatikan bahawa sebuah ilmu itu bukan saja merujuk kepada caranya sampai pada manusia, tapi juga merujuk kepada mauduk (objek/bahan yang disampaikan).

Jadi, di sini, bukan saja tingkat ilham, tapi juga tingkat objek yang dikaji oleh ilmu tersebut. Persoalan tentang adakah objek tersebut merujuk pada alam rendah, atau alam sederhana, atau alam tinggi, itu semua adalah bergantung pada tingkat alam. Sebab itu, dalam buku The Classification of Knowledge in Islam itu ada tiga pengelasan, iaitu berasaskan ontologi (berhubung dengan martabat maujud yang dikaji), kaedah, dan etika. Jadi, hakikatnya, martabat yang tertinggi adalah apabila Tuhan menjadi objek kajian.

Disebut bahawa ilmu hudhuri itu adalah bernuasakan kata “hadir.” Maknanya, pengalaman peribadi dalam kehadiran Tuhan. Namun persoalannya, apakah pengalaman peribadi ini dapat diluaskan sebagai sebuah ilmu universal, tidak hanya untuk peribadi saja?

Ya, memang! Ilham itu berdasarkan kepada ajaran al-Quran, dan hadith-hadith, yang memang dengann jelas menunjukkan ilham itu adalah sebuah fenomena universal. Maknanya, yang berpeluang untuk mengalami itu bukan hanya muslim, tapi juga seluruh anak Adam. Walau bagaimanapun, kekerapan penerimaannya adalah bergantung kepada pengalaman keruhaniannya, dan juga tahap intelektualnya, serta sukatan ilmunya. Islam percaya bahawa pengalaman ilham ini boleh disuburkan, atau dikerapkan, melalui sebuah cara hidup yang dianjurkan dalam keruhanian Islam. Jadi, kita boleh menyemarakkan pengalaman ilham ini, dan ternyata ilmu ini adalah universal.

Mithalnya, kita tahu bahawa dalam sejarah sains moden terdapat saintis bukan Muslim yang menemui ilmu baru dari ilham. Maknanya, ada alam ideal yang terbuka pada semua manusia. Terbukti, bahawa Tuhan tidak bataskan ilham ini pada Muslim saja. Kalau berbalik pada ilmu hudhuri itu, memang dari tingkat tertinggi, iaitu wahyu, adalah tidak khusus. Wahyu hanya untuk para Nabi saja. Namun, pada tingkat yang lebih bawah — ilmu atau hikmah yang berdasarkan kepada pengalaman keruhanian, serta pencapaian intelektual — ini terbuka, dan boleh diterima oleh bukan Muslim.

Tapi, persoalannya, bagaimana kita dapat menerangkan bahawa sesuatu ilmu dapat juga diperoleh bukan hanya melalui pancaindera dan akal?

Tentu sekali mereka yang menerima ilmu di luar pancaindera dan akal ini dapat mengetahui. Bahkan, kita juga dapat mengesahkan dakwaan tersebut dengan menguji kebenaran ilmu itu — sama ada berdasarkan logik, atau sebarang kaedah yang terima dalam epistemologi. Tapi, prinsipnya tetap sama, iaitu apa saja ilmu yang dihebahkan, oleh sesiapa saja, maka kita boleh buat pengesahan. Ini seperti juga ilmu empirikal. Jika ada seorang saintis menemui sebatian, atau formula, maka kita akhirnya boleh uji penemuan tersebut.

Begitu juga dengan ilmu hudhuri. Tapi, harus diingat, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menguji ilmu-ilmu tersebut. Tidak perlu kita takut pada kata “kelayakan” ini. Sebab, untuk penemuan ilmu empirikal, memang terdapat ramai yang dapat mengesahkannya. Sebaliknya, ilmu yang berdasarkan pengalaman kerohanian, barangkali adalah lebih sedikit. Sebab, kelayakan ini adalah sesuatu yang normal, sekalipun pada ilmu empirikal. Misalnya kalau kajian tentang bunyian, sudah mereka yang pekak tidak boleh mengambil bahagian. Kalau kita nak buat kajian tentang warna, sudah tentu mereka yang buta tidak boleh ambil bahagian. Jadi, ada kelayakan untuk mereka yang mahu membuat pengesahan ilmu ini.

Demikian juga al-Quran mendakwa bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran. Itu dakwaan al-Quran. Tapi, bagaimana untuk kita mengesahkannya? Maka, kita kumpul ambil data dari mereka yang telah melakukan solat. Namun kita perhatikan tetap mereka yang solat juga melakukan kemungkaran. Maka, kita perlu semak pula apakah solat itu telah dilakukan dengan syarat-syaratnya, dengan kehadhiran rohaninya, dengan sepenuh hatinya. Jadi jelas, prinsipnya tetap sama untuk ilmu hushuli mahupun ilmu hudhuri. Hanya jumlah individu yang melibatkan diri dalam membuat pengesahan saja yang terbatas.

Jadi, nampaknya ilmu wahyu boleh disahkan melalui data-data emperikal?

Ilmu wahyu hanya boleh disahkan pada peringkat rasional. Kita himbau balik, al-Quran yang turun pada kurun ke-7, itu membentangkan beberapa fenomena alam, dan hari ini kita sudah saksikan pengesahan tersebut melalui sains. Pada kurun ke-7 itu, memang tidak ada yang mampu untuk mengesahkan. Mereka terima saja ayat tersebut atas nama keimanan. Urusan pengesahan kemudian.

Atau, mungkinkah kita juga boleh katakan bahawa ilmu hudhuri juga adalah sebuah rasional yang tidak terungkap?

Sebenarnya, soalan ini adalah menyentuh mengenai peranan bahasa dalam mengungkapkan kebenaran. Sebab, bahasa ada batasannya dalam mengungkapkan kebenaran — saatnya bersangkutan dengan fenomena yang dikaji. Ilmu hushuli adalah mengkaji fenomena yang fizikal. Jadi, bahasa lebih mampu untuk mengungkapkan kebenaran alam kerana itu juga adalah pengalaman bahasa kita seharian (alam fizikal). Sementara, ilmu hudhuri pula merujuk kepada keruhanian. Jadi, bila kita mahu mengungkapkan realiti kerohanian, maka penggunaan bahasa seharian memang ada batasannya. Sebab itu, ada bahasa tanda. Ini semacam juga al-Quran, jika mahu menceritakan mengenai alam keruhanian, disampaikan dalam bahasa perumpamaan… masalu, masalu, masalu.

Tapi, ada persoalan menarik hubungan antara ilmu hudhuri dengan kosmologi. Dikatakan, soal mikrokosmos ini mendapat sorotan besar dari Saidina Ali Abi Talib, terutamanya saat disemak dari buku kumpulan pemikirannya, Nahjul Balaghah. Apakah ini benar?

Mikrokosmos itu adalah prinsip penting yang digunakan dalam banyak ilmu, termasuklah dalam ilmu kosmologi, dalam ilmu psikologi, dalam ilmu sains politik, dalam ilmu kimia, malah betapa banyaknya lagi ranting-ranting ilmu yang menerapkan prinsip mikrokosmos dalam sejarah ilmu Islam. Sebagai contoh, persoalan hikmah itu sebenarnya sangat dekat dengan persoalan mikrokosmos. Ini juga adalah antara ilmu hudhuri sepeti yang kita bicarakan itu. Dalam sejarah, idea alam as-Saghir itu ditemui oleh Saidina Ali Abi Talib, yang mendapat idea itu menerusi himpunan data wahyu, serta kemudian menggunakan akal kullinya, atau kuasa inteleknya, atau kecerahan sukmanya, untuk menafsirkan data-data tersebut. Itu memang sumbangan intelektual terbesarnya.

Kita boleh memahami hal ini kerana banyak ayat al-Quran yang mengungkapkan mengenai penciptaan manusia. Memang, dalam sesetengah ayat, hanya menyentuh sebahagian unsur-unsur manusia saja. Tapi, dalam ayat-ayat lain, turut disentuh unsur-unsur yang lain pula. Justeru, kalau kita mahu mendapat gambaran menyeluruh tentang manusia, maka kita kena kumpulkan semua ayat yang berkaitan dengan penciptaan manusia, sebelum melakukan sebuah “renungan akal.” Lalu, pada kesimpulannya, kita akan berkata, “setiap hal yang ada di luar diri kita, maka sebenarnya turut ada di dalam diri kita.” Itulah idea mikrokosmos, iaitu alam as-Saghir, atau alam kecil. Jadi, terdapat keselarian antara dua semesta: semesta luar diri kita dengan semesta dalam diri kita, iaitu one to one correspondence antara kedua semesta tersebut.

Hal inilah yang menarik minat kalangan saintis Barat untuk dikembangkan dalam penyelidikan mereka. Sebab itu, dalam pengertian inilah, Ikhwan as-Safa berkata, “Kalau kita mahu mengetahui hakikat alam ini, tidak perlulah kita menjelajah ke angkasa, cukup hanya pergi ke alam diri kita saja.” Kerana, sebenarnya diri kita ini juga adalah satu universe, atau satu semesta. Ini juga sebenarnya pesan al-Quran apabila Tuhan memanifestasikan tanda-tandanya bukan saja dalam makrokosmos, tapi juga dalam mikrokosmos.

Lantaran dengan adanya kesejajaran antara makrokosmos dan mikrokosmos ini, maka apakah kerana itu Islam turut menekankan mengenai tazkiyatun nafs, sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri pada Tuhan? Dan, apakah tazkiyatun nafs ini dapat dirasionalkan?

Sebelum itu, kita harus melalui proses-proses pembersihan jiwa, atau tazkiyatun nafs ini dahulu. Perlu diingat, tazkiyatun nafs ini bukan proses sembarangan, bukan proses yang tidak berperaturan, dan bukan proses yang tidak berprinsip. Malahan, tazkiyatun nafs ini juga adalah satu sains dan satu seni. Satu sains, sebab terdapat prinsip yang perlu kita faham tentang jiwa iaitu; apa itu jiwa, apa itu realiti jiwa, apa itu juzuk jiwa, apa itu komponen jiwa, dan lain-lain. Jadi, bila kita mahu melakukan tazkiyatun nafs, maka kita perlu tahu apa itu nafs. Dalam konsep manusia, nafs itu adalah salah-satu komponen manusia. Kemudian, perlu dirungkai persoalan lain, tentang hubungan nafs dengan akal, dengan qalb, dengan roh — dan, semua ini sebenarnya adalah sebahagian dari sains yang kita perlu belajar kalau benar-benar mahu melakukan tazkiyatun nafs.

Satu seni pula, sebab ada tahap praktikal, dan inilah seni yang kita warisi dari pada Nabi, yang diturunkan pada sahabat, lalu pada tabiin, dan sebagainya. Persoalannya dewasa ini, adakah kita mewarisi amalan ini dari ulama-ulama kita, atau dari intelektual-intelektual kita, ataupun secebis saja? Jadi, untuk menjernihkan hal ini, maka kita perlu mengenal siapa pakar dalam ilmu tazkiyatun nafs ini. Dalam sejarah, ulama yang ada kepakaran dalam bidang ini adalah ulama dari kalangan tasawuf atau sufi, sebab ini memang keahliannya. Bukan ulama fekah. Tidak hairanlah, ulama tasawuf memang sering membicarakan tentang tazkiyatun nafs, supaya mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Menyentuh mengenai sufi, atau tasawuf ini, apakah bezanya dengan irfan, yang begitu dekat dengan tradisi Iran?

Itu ada persamaan dan perbezaaan. Sebenarnya, irfan ini merujuk kepada satu bentuk ilmu, atau suatu pengalaman manusia yang aspek kerohanian dan intelektual itu terjalin dalam satu kesatuan yang indah. Justeru, irfan ini kita harus bezakan dengan aliran kerohanian lain yang tidak menekankan aspek keintelektualan, iaitu tentang peranan akal dalam pengalaman kerohanian.

Jadi, adakah itu bermakna dimensi intelektual tidak ada dalam tasawuf atau sufi?

Bukan. Irfan itu juga satu bentuk tasawuf. Kalau kita ambil tasawuf sebagai satu genus, maka irfan itu adalah salah satu spesis darinya. Maknanya, irfan itu juga adalah dari aliran tasawuf yang objektifnya untuk membersehkan jiwa dan mendekatkan diri pada Tuhan. Soal bagaimana cara mencapainya, itu ada perbezaan pendekatan. Sebab itu, ada tiga asas dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Ini adalah hal yang lazim dalam tasawuf, iaitu makhafah, mahabbah, makrifah. Makhafah iaitu berdasarkan pada rasa takut. Jadi, sebilangan manusia, mereka lebih menekankan dimensi takut, untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Kedua, mahabbah ini pula berdasarkan pada cinta, iaitu kita lakukan sesuatu kerana cinta, dan tidak memikirkan ganjaran. Ketiga ialah makrifah, yang berdasarkan pada ilmu, dengan kita melaksanakan sesuatu dengan kefahaman dan keyakinan.

Persoalan terakhir, kita tahu, Muslim dewasa ini bergelut dengan pelbagai persoalan nyata, sama ada dalam aspek fizik mahupun metafizik, atau aspek semesta nyata (kehidupan seharian) mahupun semesta jiwa (kerohanian). Apakah ini menunjukkan Muslim sedang berdepan dengan masalah epistemologi?

Dari segi teori, Muslim tidak mempunyai masalah dalam persoalan epistemologi. Kita mewarisi tradisi epistemologi yang lengkap, yang serba mencakupi di mana pada teorinya mencukupi untuk menangani persoalan-persoalan semasa. Ini dari segi teori. Namun, dari segi realiti, tidak begitu. Sebab, sebahagian besar tradisi epistemologi Islam itu tidak dibangkitkan. Epistemologi Islam hanya wujud dan hidup dalam teks semata, tidak dalam wujud dan hidup dalam konteks kita. Itulah masalahnya.

Maka, apa yang patut kita lakukan? Yang patut kita lakukan ialah, seluruh ajaran Islam tentang epistemologi harus ketengahkan kembali pada khalayak. Kita mesti menanam di sanubari masyarakat tentang kepentingan epistemologi Islam ini. Tentunya, dengan langkah ini, kita akan menghadapi banyak pertanyaan, juga kritikan, barangkali juga cercaan. Walau apapun, kita harus jelaskan dengan menggunakan bahasa terkini, dengan bidalan terkini, dengan ungkapan terkini, yang mungkin dengan kekiniaan ini akan membantu khalayak untuk lebih memahami mengenai epsitemologi Islam ini.

Aqil Fithri

Petikan artikel : Harakahdaily.

Muktamar Tahunan PAS Kulaijaya 2010.

Tahniah diucapkan kepada sekreteriat muktamar kerana berjaya mengendalikan muktamar tahun ini dengan jayanya. Buat pertama kalinya, muktamar PAS Kawasan Kulaijaya ditamatkan pada waktu 4.00ptg. Ini menunjukkan ahli PAS kawasan telah semakin matang dan berani untuk membahaskan pelbagai usul. Perbahasan daripada semua peringkat pimpinan berlansung dengan lancar dan menarik. Sekali lagi ia menunjukkan betapa prihatinnya ahli PAS terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia hari ini sekaligus sebagai petanda bahwa ahli PAS telah bersedia untuk berada didalam barisan kepimpinan negara.

Muktamar kali ini juga menyaksikan kehadiran beberapa orang wakil daripada DAP yang diketuai oleh YB En. Ong Kow Meng ketika majlis perasmian. Kesepakatan yang wujud sebelum ini dilihat sudah menjadi semakin akrab apabila YB En Ong akan menjemput wakil daripada PAS untuk turut serta dalam setiap sidang media yang diadakan dipejabatnya dalam urusan menyelesaikan permasalahan rakyat. Kebersamaan ini akan mampu membuktikan kepada rakyat bahwa Pakatan Rakyat semakin hari semakin mantap dan sekaligus menyangkal dakwaan UMNO/BN bahwa pakatan pembangkang semakin rapuh.

Program bersama rakyat yang akan dilaksanakan oleh PAS menerusi lajnah kebajikan dan pendidikan, juga akan membabitkan pimpinan DAP dan PKR didalam Parlimen Kulai. Sekreteriat Pakatan yang telah ditubuhkan akan dimantapkan lagi sebagai persiapan menjelang PRU ke13. Sdr Mazlan Aliman didalam uacapan perasmian beliau, telah menjelaskan betapa pakatan yang dibentuk sejak PRU yang lalu dilihat semakin kukuh dari sudut kerjasama dan kesepakatan dalam pelbagai aspek dan ianya jelas terbukti didalam gerakerja-gerakerja PRK yang dilalui. PRK Hulu Selangor menyaksikan sekali lagi kesepakatan yang wujud berjalan dengan begitu mesra dan mantap, bertemu setiap pengundi tanpa menghiraukan propaganda yang dicanang oleh UMNO/BN melalui media kawalan mereka.

Strategi PAS kawasan untuk menerobos pemikiran Melayu di Skim Rancangan Tanah FELDA dan perkampungan tradisional akan turut disertai oleh DAP bagi mendekati pengundi Melayu yang secara tradisinya merupakan pengundi tegar UMNO/BN. Elemen kebajikan dan pendidikan ini diharap dapat menyantuni hati budi kelompok Melayu di dalam DUN Bukit Permai khususnya dan Parlimen Kulai amnya. Beberapa strategi telahpun dirancang bagi melaksanakan program ini yang akan bermula pada awal bulan Mei yang akan datang.

Muktamar kali ini diharap akan menjadi pemangkin kepada keutuhan PAS dan rakan-rakan yang lain bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita mentadbir Johor dan Malaysia dalam pilihanraya yang akan datang.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.

TAKBIR!!!!!


Ahad, April 18, 2010

Muktamar Tahunan PAS Kaw. Kulai 2010.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kami telah selesai mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kaw. Kulai kali ke 22 dengan jayanya. Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini hanya berakhir tepat jam 4.05 petang tadi dengan pembacaan doa wehdah.

Muktamar tadi telah dirasmikan oleh Sdr. Mazlan Bin Aliman selaku AJK PAS Pusat merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Johor. Muktamar ini juga dihadiri oleh sahabat daripada DAP yang diketuai YB En. Ong Kow Meng selaku ADUN Kawasan Senai.

Perasmi mengingatkan perwakilan sekalian mengenai peri penting khidmat kita kepada masyarakat sebagai pra syarat bagi mencapai kejayaan dalam pilihanraya yang akan datang selain strategi dll.

Dengan ucapan YDP, Ustaz Muhammad Hisham Bin Muhammad Zin yang merangsang semangat perwakilan dengan perencanaan aktiviti-aktiviti yang mendatang, beliau juga menarik perhatian tetamu daripada DAP tadi bahawa PAS sentiasa setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan sekali-kali mengkhianati kawan.

Sesungguhnya Muktamar pada kali ini amat rapi dari segi persiapan, perasmian dan juga perbahasan yang bertenaga dan bermutu daripada perwakilan sekalian.

Setiausaha Muktamar 2010,
Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar.