Selasa, Januari 26, 2010

Ulama' Jahat dan Menyesatkan.

Amr bin al-Aash r.a. memberitakan bahwa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidaklah akan mencabut agama dengan mencabut terus ilmu itu daripada para hambaNya, akan tetapi Dia akan mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama', sehingga apabila tiadalah tinggal lagi seorang alim, maka orang ramai pun menjadikan orang jahil sebagai pemimpin, maka mereka akan ditanyakan, lantas mereka akan berfatwa tanpa ilmu, lalu sesatlah mereka dan mereka menyesatkan."

HR: Al-Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadith.

  1. Hakikat ilmu ialah pengetahuan yang dimiliki dalam hati yang selalu diingat dan dapat dipergunakan secara mendadak bila perlu.
  2. Para ulama' adalah gedung ilmu. Antara tanda hampirnya kiamat ialah Allah mematikan ulama'.
  3. Sekiranya orang-orang yang jahil agama menjadi pemimpin dan berani berfatwa, maka sesatlah negara dan ummah.

Rabu, Januari 20, 2010

1 MALAYSIA : KEARAH MALAYSIA YANG LEBIH SEKULAR.


ASAL USUL.
  • Konsep atau nama '1 Malaysia' dicadangkan oleh sebuah firma antarabangsa bernama APCO Worldwide yang beribu pejabat di Washinton DC. Ditubuhkan pada tahun 1984.
  • CEO APCO Worldwide ialah Margery Kraus, seorang Yahudi yang turut mencadangkan konsep atau nama '1 Israel'.
  • Antara negara yang pernah menjadi pelanggan APCO Worldwide adalah Kazakhstan dan Indonesia (bertujuan merapatkan hubungan antara Indonesia dan Amerika Syarikat).
  • Boleh dikatakan semua syarikat besar dunia adalah pelanggan kepada APCO Worldwide antaranya British Airways, Microsoft dan Nokia.
  • Pengkhususan APCO Worldwide ialah "influencing decision-makers and shaping public opinion by crafting compelling messages and recruiting effective allies".
  • Pertama kali Najib menggunakan konsep 1 Malaysia ialah pada 3 April 2009 selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
1 MALAYSIA TIDAK ADA ASAS ISLAM.
  • Semua Perdana Menteri sebelum ini prihatin terhadap Islam kerana memahami hakikat bahwa Malaysia tidak boleh berpisah dari Islam. Bersama mereka ada 'projek-projek Islam'. Sebagai contoh, Tengku Abd. Rahman - PERKIM, Tun Abd Razak - Masjid Negara, Tun Hussien Onn-Bulan Dakwah, Dr. Mahathir-Penerapan Nilai-nilai Islam (DPNI), Abdullah Badawi-Islam Hadhari. Hanya Najib tidak ada 'projek Islam'. Dari sudut ini beliau adalah PM yang paling sekular berbanding dengan PM-PM sebelum beliau.
  • Najib mendefinasi 1 Malaysia sebagai 'Satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia'. 1 Malaysia hanya merupakan satu gagasan, bukan satu idea yang konkrit. 1 Malaysia juga berteraskan beberapa nilai penting. Apakah sumber nilai-nilai itu? Kapitalisme? Sosialisme? Islam?.
  • Salah satu nilai teras dalam gagasan 1 Malaysia ialah 'keadilan sosial (social justice). Soalan yang sama boleh ditanya : Apakah sumber 'keadilan sosial' ini? Kapitalisme? Sosialisme? atau Islam?.


GOODS AND SERVICES TAX (GST).

GST Juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan yang mempunyai asas yang luas (broad-based consumption tax). Ini bermakna semua warganegara terlibat atas dasar bahawa semua warganegara adalah pengguna (consumers). Cukai bentuk ini adalah biased terhadap pengguna berbanding pengeluar (producers) yang memiliki modal dan sekaligus kekayaan. Atas dasar inilah juga cukai ini dilihat lebih berbentuk regresif dan tidak progresif. Cukai yang progresif bermakna, lagi tinggi pendapatan seseorang maka lagi tinggi kadar cukainya.

Dalam kes cukai yang bersifat regresif ia bermakna, secara puratanya mereka yang relatif miskin memikul beban cukai yang lebih berat atau tinggi berbanding mereka yang kaya. Apa yang lebih memudharatkan ialah GST juga dikenakan ke atas barangan keperluan asasi (essential goods) seperti beras, air, elektrik dsb. Ini bermakna kelompok masyarakat yang miskin yang menggunakan barangan keperluan asasi ini juga dikenakan cukai GST dan ini bererti GST mengenakan cukai kepada barangan asas (dharuriah).

Sekiranya berdasarkan kepada pendapatan, mereka yang miskin akan dikecualikan. Dalam kes makanan, kita masih tidak dapat mengatasi masalah 'keselamatan makanan' (food security) dan pengenalan GST akan memburukan keadaan. GST akan menghakis kesejahteraan awam dan ini bercanggah dengan peranan utama negara moden dalam sistem demokrasi iaitu untuk mempromosikan kebajikan awam bagi menafaat rakyat.

GST = Gagalkan Sebelum Terlambat.


Isnin, Januari 18, 2010

UMNO oh UMNO!


  1. UMNO membiarkan kumpulan anti hadis berada didalam kelompok mereka. Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahwa kumpulan anti hadis adalah sesat dan murtad. Apakah ukuran sesat apabila tidak bersama dengan UMNO tetapi apabila bersama dengan UMNO hukum bertukar menjadi tidak sesat.
  2. Selepas merdeka orang Islam di Malaysia berada dalam lingkungan 82% tetapi setelah 52 tahun merdeka orang Islam hanya tinggal 50% lebih sahaja.
  3. Mengikut rekod, selama 446 tahun orang Melayu hidup dizaman penjajah, hanya tidak sampai 150 orang Islam yang murtad tetapi setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan di bawah tunggak UMNO seramai 250,000 orang telah murtad (kenyataan Mufti Perak Dato' Harusani Zakaria).
  4. UMNO tidak memberi kerjasama pada program untuk mencegah maksiat dan gejala keruntuhan akhlak remaja. Perkara ini dapat dilihat didalam kes penangkapan JAWI keatas 100 orang belia di Kelab 'The Zouk' yang sedang melakukan perbuatan durjana dan mabuk. Walaupun ada pandangan yang menyokong tindakan JAWI dikalangan individu yang menjadi pemimpin Pemuda UMNO seperti Ustaz Shamsul Najmi Shamsudin dari Biro Agama Pemuda UMNO. Malangnya tindakan yang beliau lakukan telah dinafikan oleh Dato Hisahmuddin Hussien dan Khairi Jamaludin yang menganggap bahwa itu merupakan pandangan peribadi Ust. Shamsul. (Sunday Mail 27 Feb. 2005)
  5. Kita tiak pernah mendengar pemimpin UMNO menyuarakan dalam persidangan mereka supaya orang Islam tidak dibenarkan menjadi ahli lembaga syarikat arak. Kita tidak pernah mendengar UMNO mencadangkan supaya orang Islam tidak dibenarkan bekerja di tempat menjual arak. Kita tidak pernah mendengar UMNO berhajat untuk mengawal arak di dalam penerbangan MAS sedangkan ia adalah milik kerajaan.
FIKIR-FIKIRKANLAH!

Jumaat, Januari 15, 2010

Nasihat Seorang Hamba Abdi Kepada Khalifah.

Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya agar sentiasa memperhatikan setiap nasihat yang baik, sekalipun nasihat itu datangnya daripada seorang hamba abdi. Sama jugalah keadaannya orang atasan hendaklah memperhatikan nasihat orang bawahannya, asalkan nasihat itu demi kebaikan.

Khalifar Harun al-Rashid adalah contoh manusia berpangkat tinggi yakni ketua negara yang sentiasa memperhatikan dan mengikut nasihat yang baik dan betul tidak kira dari siapa datangnya. Diceritakan bahwa pada suatu hari baginda memanggil seorang jariyahnya agar menyediakan air untuk baginda berwuduk. Si jariyah pun datang dengan membawa sinki dan kendi yang berisi air. Apabila khalifah sudah bersedia, jariyah menuangkan air dan khalifah pun berwuduk.

Tiba-tiba jatuhlah kendi di tangan jariyah keatas sinki. Akibatnya air bekas wuduk terpercik dan mengena pada wajah dan baju khalifah. Jariyah gementar dan merasa takut kerana khalifah marah. Namun jariyah yang ketakutan itu dapat mengawal perasaannya. Dengan tenang jariyah membaca sepotong ayat suci al-Quran yang berbunyi "...dan orang yang menahan marahnya" wahai tuanku.

Mendengar itu khalifah pun tidak marah. Baginda pun memandang wajah jariyahnya dan berkata : "Aku telah menahan marahku".

Senanglah hati jariyah kerana khalifah sudah tidak marah kepadanya. Namun dia masih meneruskan ayat yang dibacanya "...dan orang yang memaafkan kesalahan orang" wahai tuanku.

Khalifah berkata : "Aku telah memaafkan kesalahanmu".

Si jariyah tersenyum dan berkata lagi "...Dan Allah menyukai orang yang berbuat baik" wahai tuanku.

Sekali lagi khalifah terkilan pada kepandaian jariyahnya. Mungkin baginda dapat mengagak apa keinginan wanita itu. Oleh kerana itu baginda pun berkata : "Aku telah berbuat baik kepadamu, maka mulai saat ini engkau aku merdekakan semata-mata kerana Allah".

Si jariyah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada khalifah. Dia tidak menyangka bahwa sepotong ayat yang dibacanya telah membawa dirinya bebas dan menjadi wanita merdeka.

Khamis, Januari 14, 2010

Berhemat Dalam Memberi Pengajaran.


Abu Wa'il memberitakan :
"Adalah Abdullah bin Mas'ud r.a. mengingati (mengajar agama kepada) orang ramai pada setiap hari Khamis. Maka berkatalah seorang lelaki kepada beliau: 'Wahai Abu Ab. Rahman, saya benar-benar mahu tuan mengingat (mengajar) kami pada setiap hari."

Abdullah menjawab :
"Ketahuilah ada sesuatu yang menghalang saya untuk berbuat demikian. Sesungguhnya saya tidak suka untuk menjemukan dan sesungguhnya saya akan memberikan pengajaran (nasihat) kepadamu sebagaimana Nabi s.a.w. memberi nasihat kepada kami, sebab takutkan kejemuan keatas kamu (bila amat kerap).

HR : Al-Bukhari dan Muslim.

Pengajaran Hadis.
  1. Kerohanian seseorang perlu diperkembang dan dipertingkatkan dengan sesuatu pengajaran, kesedaran serta nasihat.
  2. Para sahabat sememangnya menyedari perlu ada sesuatu majlis untuk mengingatkan orang ramai dengan sesuatu peringatan atau pengajaran yang berkaitan agama. Kadangkala manusia lupa atau kurang perhatian terhadap sesuatu masalah agama.
  3. Seseorang yang faham atau mahir dalam bidang agama adalah menjadi tanggung-jawabnya untuk mengajar dan memberi nasihat kepada orang yang kurang tahu hal-hal agama.
  4. Antara para sahabat Nabi s.a.w. ada yang memberi nasihat atau pengajaran sekali pada setiap minggu.

Rabu, Januari 13, 2010

Berakhirnya Perjuangan Seorang Pejuang.

Selasa 26 Muharram 1431H bersamaan 12 Januari 2010 merupakan hari sedih bagi warga PAS Kulaijaya kerana kehilangan seorang aktivis parti yang sangat komited dalam memperjuangkan Islam tanpa pernah kenal erti penat. Allahyarham Ismail Chong Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan 'uncle' telah menyahut panggilan Illahi pada jam 11.00 pagi di Hospital Sultan Ismail Johor. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi PAS Kulaijaya dari aspek keterlibatan dan kesediaan untuk bersama pada setiap program yang diatur. Uncle yang kami kenal sentiasa bersifat optimistik dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Sejak pilihanraya 1999 hingga ke pilihanraya 2008, perkataan kalah tidak pernah ada dalam kamus hidup beliau. Senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya akan bertukar marah apabila diusik dengan kata-kata kalah dalam menghadapi lawan.

Dipenghujung usia, beliau tetap ingin turut serta dalam program jemaah walaupun terpaksa berhadapan dengan segala kepayahan dan keterbatasan. Kali terakhir beliau bersama warga PAS Kulaijaya ialah semasa program ziarah aidil fitri dan marhaban yang diadakan. Beliau tetap bersemangat untuk menghadirkan diri dengan dibantu oleh cucunya.

Penulis masih teringat ketika Allahyarham baru saja pulang menunaikan fardhu haji ke Mekah, malamnya kami mengadakan usrah di rumah ayahanda Hj Rafiee di Felda Bukit Batu, beliau telah turut hadir walaupun baru sahaja pulang dari tanah suci. Begitulah komitmen yang ditunjukkan yang seharusnya menjadi contoh ikutan kepada seluruh warga PAS terutama generasi baru.

Dalam satu majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada fakir miskin sempena aidil fitri pada tahun 2007, uncle menjadi pembawa bendera PAS sehingga mendapat jolokan 'Laksamana Cheng Ho' dari para sahabat. Dengan semangat perjuangan yang tinggi sambil tersenyum akibat usikan nakal para sahabat, beliau tetap menruskan langkah walaupun ketika itu baru sahaja pulih daripada 'stroke' akibat tekanan darah tinggi. Itulah uncle yang kami kenali. Namanya akan terpahat dihati sanubari setiap warga PAS di Kulaijaya dan juga mereka yang mengenalinya.

Islam telah menyatukan kami dengan Allahyarham. Walaupun berbeza bangsa, semangat Islam yang beliau pamirkan telah berjaya menyuntik semangat perjuangan kedalam hati-hati para pejuang Islam di Kawasan Kulaijaya. Pemergian beliau telah membuatkan kami kehilangan sebutir mutiara dari China yang telah menyinari perjuangan suci ini. PAS Kawasan bersama Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Unit Amal serta seluruh warga kerja PAS Kulaijaya telah menguruskan jenazah Allahyarham, bermula dari hospital hingga ke tanah perkuburan. Segala kos pengkebumian telah ditanggung sepenuhnya oleh para sahabat seperjuangan.

Kemanisan perjuangan Islam dan Iman telah diterjemahkan oleh Allah swt dengan menghadirkan Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Johor, merangkap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama' PAS Pusat, Ustaz Abdullah Hussin bagi mengimamkan solat jenazah, seterusnya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan lalu membacakan talkin. Begitulah berakhirnya perjuangan seorang pejuang yang ditangisi bukan sahaja oleh ahli keluarga tetapi turut diratapi oleh para pejuang Islam.

Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan disisi mereka yang beriman.

AL-FATIHAH.