Rabu, Jun 12, 2013

Ilmu Teras Kejayaan Ummah

Pada hari Jumaat lepas 28 Rejab 1434H bersamaan 7 Jun 2013, penulis telah bercuti bersama keluarga di Kelantan. Destinasi utama ialah Dataran Ilmu di hadapan Bangunan Zulkifli yang menempatkan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan di Bandar Kota Bharu. Inilah masa dan ketika terbaik untuk hadir di kuliah ilmu Tok Guru di pagi Jumaat kerana anak sedang bercuti.

Sengaja penulis mencari hotel yang berdekatan dengan tempat tujuan agar tidak banyak gangguan terutama dari aspek tempat letak kereta. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya, penulis menginap betul-betul berhadapan dengan Bangunan Zulkifli dan hanya berjalan kaki sahaja ketempat tersebut.

Semasa bersarapan, seawal jam 7.00 pagi sudah kelihatan orang ramai mula bergerak menuju ketapak kuliah. Ada yang datang berkeluarga bersama isteri dan anak-anak, ada anak muda, orang dewasa, warga emas, pendekata segenap lapisan masyarakat turut hadir. Yang bertongkat dan yang berkerusi roda juga tidak mahu ketinggalan. Penulis sempat berbisik kepada isteri "Lihat bagaimana rakyat dididik dengan ilmu, hingga sanggup datang semata-mata kerana hendak mendengar ilmu yang disampaikan".Kalau pendekatan ini yang membuatkan rakyat Kelantan tidak mudah goyah dengan usikkan duniawi, Johor masih jauh lagi.

8.30 pagi, kuliah bermula dengan penyampainya ialah Al-Fadhil Ust Fazdli Sha'ari yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan. Itu jawatan yang beliau pegang sebelum PRU ke 13, sekarang penulis tidak tahu apa jawatan beliau. Beliau menyorot antara peristiwa besar dalam Bulan Rejab selain Isra' dan Mi'raj iaitu peperangan Tabuk yang merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Satu peristiwa yang menuntut umat Islam ketika itu berkorban harta benda bagi menyertai peperangan di Tabuk bersama Baginda Rasul. Satu kupasan yang sangat menarik, khusus mengenai signifikannya dengan perjuangan umat Islam diakhir zaman ini. Ada golongan miskin yang tidak dapat turut serta lantaran kemiskinan mereka, berlinangan airmta kesedihan apabila dikhabarkan oleh Nabi kepada mereka. Ada juga dikalangan sahabat yang tertinggal untuk turut bersama akibat terleka dengan hasil kebunnya sehingga dipulaukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat sekembalinya baginda dari medan Tabuk. Masa satu jam tidak terasa walaupun terpaksa duduk bersila ditas jalanraya dengan beralaskan tikar plastik.

9.30 pagi giliran Tok Guru Nik Aziz menyampaikan kuliahnya. Ketika itu ribuan manusia telah memenuhi sepanjang jalan dihadapan Bangunan Zulkifli. Dengan usia yang sudah melewati 80 tahun, beliau masih bertenaga untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, yang sanggup datang walaupun jauh. Inilah kelebihan Tok Guru yang jarang kita lihat ada dikalangan pemimpin didalam negara ini. Dengan sifat merendah diri dan tawadu'nya, Tok Guru menghabiskan usianya untuk menyebarkan ilmu agama tanpa pernah ada rasa jemu dan lelah. Sedih melihatkan fizikalnya yang semakin uzur dimamah usia. Semangat apabila mendengarkan pidatonya menyampaikan kebenaran tanpa sedikit rasa gentar kepada sang penguasa. Hebat insan ini. Patut pun dia amat disegani dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

Rakyat Kelantan menjadi kuat pegangan agamanya dan kukuh prinsip keIslamannya kerana dididik dengan ilmu. Membudayakan ilmu sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka. Pergilah kemana-mana saja kuliah agama, pasti akan ramai yang datang mendengar. Ilmu yang diajar berjaya menangkis segala bentuk serangan yang bersifat duniawi. Tidak dinafikan ada juga yang kecundang, tetapi jumlahnya tidaklah begitu besar sehinggakan kerajaan Islam Kelantan mampu diambil alih oleh pihak sekular.

Ilmu telah menjadi dinding yang ampuh bagi menahan asakan sekularisma ajaran barat bawaan UMNO dikalangan masyarakat Melayu. Inilah budaya yang perlu dihidupkan di Johor jika kita benar-benar berhasrat menobatkan Islam. Sumbangan yang bersifat kosmetik tidak akan mampu bertahan tanpa pengisian ilmu. Pemikiran mereka akan mudah dirobek dengan pemberian yang lebih besar walaupun nilaiannya tidak setinggi mana kerana fitrah manusia yang jahil akan mudah terpesona dengan barangan kosmetik yang indah sifat lahiriyahnya.

Proses tranformasi ilmu ini perlu diberi penekanan sekiranya kita bercita-cita untuk menawan Johor dalam PRU ke 14. Masyarakat perlu dididik dengan ilmu. Program pengislahan melalui dakwah dan tarbiah perlu diperhebat. Lajnah tarbiah perlu diperkasa dan sentiasa terkehadapan dalam memberi pengisian bagi setiap aktiviti yang dianjur. Kekalahan PAS dipeti-peti undi orang Melayu Felda dan Kampung Tradisi, dapat disimpulkan kerana kurangnya proses tarbiah dikalangan mereka. Kelompok Melayu ini hanya bergantung kepada ceramah berkala yang diadakan sempena sesuatu sambutan yang diadakan dimasjid dan surau. Ia amat berbeza sekali dengan kelompok Melayu yang tinggal dibandar-bandar. Mereka sering dihidangkan dengan kuliah-kuliah agama yang diadakan setiap hari, yang membuatkan berlakunya proses pencerahan minda dan memahami Islam dari prespektif sebenar dan bukannya dari kacamata barat. Inilah proses transformasi yang perlu dilalui oleh masyarakat Melayu yang tinggal di tanah rancangan Felda dan perkampungan tradisional. Sekiranya kepompong ini berjaya ditembusi, maka peluang kemenangan akan terbentang luas. Insya'allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan