Selasa, Mac 13, 2012

Syirik zaman moden lebih bahaya pesong akidah tanpa disedari

SEBAHAGIAN orang mengira bahawa masalah syirik sudah tiada, tidak perlu dipersoalkan lagi. Mereka mengira daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Bukhari adalah jaminan bahawa umat Islam akan selamat dan bersih daripada unsur syirik. Jaminan daripada generasi sahabat memang benar, tetapi bukan generasi seterusnya apa lagi generasi sekarang.

Syirik boleh dikategorikan kepada dua iaitu syirik tersembunyi dan syirik besar yang nyata. Syirik tersembunyi atau yang samar memang susah difahami seperti digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Syirik yang menjangkiti umat ini lebih tersembunyi daripada seekor semut hitam yang merayap pada batu-batu hitam di tengah malam yang gelap.” (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menggunakan kata ‘umat ini’ iaitu umat Islam secara umumnya hingga menjelang kiamat kelak, sementara dalam hadis Bukhari digunakan kata ‘kamu’ yang ditujukan kepada para sahabat.

Masih banyak peringatan daripada Rasulullah SAW kepada umat akhir zaman terhadap bencana syirik. Bahkan Baginda tegaskan umatnya kelak ada yang mengikuti kaum musyrikin hingga berhala pun disembah.

Rasulullah SAW bersabda ‘Kiamat tidak akan terjadi hingga sekelompok kabilah daripada umatku mengikuti orang-orang-orang musyrik dan hingga berhala pun di sembah.’ (Sahih Ibnu Hibban).

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud ‘Tidak akan terjadi hari kiamat hingga sekelompok kaum dari umatku kembali kepada berhala. Mereka menyembah berhala itu di samping Allah SWT.’ (Riwayat Abu Daud).

Sembahan ini kalau zaman jahiliah berbentuk patung-patung atau berhala-berhala, sekarang boleh diwujudkan dalam kuburan-kuburan orang-orang salih, wali atau keramat, mereka pergi memuja atau memohon doa kepadanya.

Gaya-gaya perilaku kaum musyrik kini memang banyak melanda kaum Muslimin. Di antaranya bersumpah dengan selain Allah, berqasidah yang penuh dengan bait-bait syirik, menguburkan orang salih dalam masjid, menjadikan kuburan sebagai tempat perayaan dan ibadah, melakukan nazar untuk para wali, menyembelih korban di kuburan wali, tawaf kuburan yang dianggap wali, bahkan ada yang bersujud kepada kuburan kiyai atau ulama.

Saidatina Aisyah berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud ‘Malam dan siang tidak akan lenyap (terjadi kiamat) hingga Lata dan Uzza kembali disembah’.” (Sahih Muslim, Sunan Tirmizi, Musnad Ahmad).

Syirik zaman moden sekarang yang tersembunyi lebih bahaya lagi bagi umat ini di mana seseorang mendambakan, mendewakan dan mengangkat orang lain bukan dari kelompoknya untuk diikuti dan diagungkan. Orang di luar Islam bekerjasama dengan orang-orang yang masih mengaku Islam, namun menjauhkan umat Islam dari akidah Islam sebenarnya melalui berbagai bentuk berupa:

* Liberalisme Islam. Iaitu usaha jahat yang menghembuskan pemahaman bahawa agama Islam itu relatif sama benarnya dengan agama-agama lain.

* Kemudian mereka menyebarkan pluralisme agama (semua agama sama menuju kepada keselamatan, hanya berbeza teknik, dan kita tidak boleh memandang agama lain memakai agama agama yang kita anuti). Pada hal itu hakikatnya kemusyrikan baru, tetapi pluralisme agama. Maka umat ini ramai dikelirukan oleh mereka.

* Ketika Islam menyatakan hanya Islam yang benar, maka dianggap sebagai sumber konflik. Ini ertinya menguburkan agama Islam, tetapi seakan kedengaran tidak berbahaya, tetapi sebaliknya sangat berbahaya bagi umat Islam.

Itulah yang dilakukan orang-orang di luar Islam bekerjasama dengan orang-orang liberal melalui berbagai-bagai saluran media yang kita ketahui. Semua itu pada hakikatnya adalah musuh Islam sebenarnya.

Apabila orang-orang liberal mengusik Islam bahkan mengalihkan akidah Islam dari tauhid kepada kemusyirikan, hal itu sangat membahayakan umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada kemusyrikan yang amat berbahaya ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: “Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayanya itu walaupun orang-orang yang kafir itu tidak menyukainya.” (Surah at-Taubah, ayat 32).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan