KUALA LUMPUR, 22 Feb: Veteran Umno, Tengku Razaleigh  Hamzah berpendpat usaha 
kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global  Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia sesuatu yang bahaya  kepada masa depan peneroka.
Ahli Parlimen Gua Musang itu yang  ditemui Harakahdaily semalam berkata, beliau diberitahu banyak pihak  bahawa apabila disenaraikan, bererti pemilikan harta khususnya tanah  peneroka akan terdedah kepada pasaran terbuka.
Apabila terdedah  di pasaran terbuka katanya, sesiapa sahaja termasuk pihak asing boleh  datang untuk membeli saham tersebut dengan berapa harga sekalipun  sekiranya mereka mampu.
Ianya akan menyebabkan peneroka bakal  berdepan resiko kehilangan aset tanah-tanah mereka sekiranya pemegang  saham menjual pegangan mereka.
"Kalau harga melonjak naik,  pemegang saham nak rasa keuntungan, sudah tentu dia akan jual (kepada  pihak lain)... bodoh la kalau tak jual untuk ambik kesempatan  keuntungan.
"Akhirnya tanah yang kita miliki dahulu sudah hilang  kerana orang lain sudah memiliki saham yang mempunyai hak ke atas tanah  milik kita dahulu. Itu suatu yang bahaya!," katanya yang lebih mesra  dengan panggilan Ku Li.
Difahamkan, menurut pelan penyenaraian  yang dijadual Mei ini, sebanyak 360,000 hektar tanah Felda Palantation  dipajak kepada FGVH selama 99 tahun.
Selain kebimbangan hilang  hak milik tanah, turut difahamkan Felda juga dijangka akan mengalami  defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion apabila menyerahkan tanah kepada  FGVH.
Malah, mengulas lanjut, Ku Li yang juga bekas Menteri  Kewangan berkata, jika nasib mereka tidak baik, peneroka mungkin akan  diusir dari tanah yang mereka diami dan usahakan selama ini.
"Ini  mati hidup peneroka ke atas tanah yang mereka telah usahakan selama  ini. Kalau tanah itu dijual oleh kerana saham dijual, maka kita tak ada  lagi hubungan dengan tanah itu malah tak ada hak pun nak duduk di situ.
"Saya  tak tahu kerajaan ada cara lain untuk menjamin hak peneroka supaya  kekal, tetapi saya tak nampak," katanya yang juga presiden NGO Amanah.
Sumber : Harakahdaily
Sumber : Harakahdaily
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan