Rabu, Februari 02, 2011

Tenang yang kembali tenang....

Apabila memikirkan kekalahan Cikgu Mala di DUN Tenang, memanglah mengecewakan. Bilalah agaknya Allah akan memberi kemenangan kepada Islam di tanahairku? Pelbagai persoalan bermain di dalam kotak pemikiran, memikirkan dimana silapnya hingga kemenangan masih tertangguh. Makin tersentap hati ini apabila melihatkan rakan-rakan Cina dari DAP telah berjaya menjelaskan kepada kaum mereka tentang Islam sehinggakan mereka kini tidak lagi fobia untuk mengundi PAS.

PAS dilihat masih gagal meyakinkan pengundi Melayu bahwa PAS mampu mengganti UMNO dalam segenap sudut. Inilah kerjabuat yang perlu direkayasa oleh pimpinan PAS disegenap peringkat, bagi mendapatkan undi Melayu. Kita akan berhadapan dengan mereka sekali lagi di Merlimau pada awal bulan Mac ini. Apakah senario yang sama akan berlaku?

Benar! bagi setiap pejuang Islam, kita mesti meneruskan perjuangan ini kerana kemenangan sebenar adalah milik Allah swt. Kita kena sentiasa bersangka baik dengan Allah dan berasa yakin sesungguhnya Islam pasti akan menang. Tetapi apabila memikirkan bangsa Melayu, sesuatu yang amat merumitkan. Doktrin penjajah memisahkan antara agama dan pentadbiran telah membungkam di hati dan pemikiran mereka sehingga menjadi kalis dengan ajaran Islam yang sebenar.

Pendekatan yang dibuat oleh PAS Johor dalam menghadapi PRK Tenang, penulis rasakan amat tersusun dan berstrateji. JPN Johor telah berjaya menyediakan data-data culaan yang hampir lengkap bagi setiap UPU. Tempuh bertugas yang agak selesa dari tarikh kekosongan kerusi DUN tersebut hingga kehari penamaan calon, telah digunakan sebaik mungkin untuk mendekati para pengundi. Petugas telah diarah agar menyantuni hati budi mereka dan mengelakkan sebarang konfrantasi. Bersesuaian dengan gesaan Dato' Seri Presiden, kami melaksanakan kerja menerang bukannya menyerang.

Penulis dan para petugas dari Kawasan Kulai diamanahkan menjaga UPU Felda Cempelak Barat. Kawasan yang menjadi tradisi UMNO meraih undi terbanyak. Selain Kulai, Kawasan Mersing dan Tebrau turut berada dilokasi yang sama. Komander bagi UPU Felda Cempelak Barat ialah kontijen dari Negari Sembilan.

Seawal 26 Disember 2010, bilik gerakan UPU kami telah beroperasi. Culaan telah dilakukan mengikut fasa-fasa yang ditetapkan. Kami telah berkampung sejak tarikh tersebut di Felda berkenaan. Para petugas membiasakan diri dengan penduduk setempat hinggakan kehadiran kami mula diterima. Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di masjid dan warung-warung kopi. Kehadiran petugas muslimat ketika membuat culaan tidak berhadapan dengan halangan. Sindiran-sindiran sinis itu sudah menjadi perkara biasa tetapi cemuhan keras seperti yang kami hadapi dalam pilihanraya umum sebelum ini tidak berlaku. Pendekata kehadiran petugas PAS disenangi oleh penduduk.

Senario ini terus berlaku sehinggalah sampai kehari berkempen. Sasaran undi yang digariskan seolah-olah mampu dicapai bahkan kami merasa yakin ianya akan direalisasikan. Hari terakhir sebelum proses mengundi berlangsung, peneroka mula menerima habuan. Tuan rumah tempat kami menginap menerima buah tangan UMNO dalam bentuk barangan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, Milo dan pelbagai lagi. Khabarnya semua peneroka mendapat habuan yang sama. Proses membeli undi mula berlaku yang merupakan kerja jahat UMNO dalam setiap PRK. Sesuatu yang membimbangkan kami. "Apakah ini nilai integriti Melayu dalam mempertahankan agama mereka?" persoalan yang mula menerobos pemikiran setiap petugas PAS.

Ternyata ia menjadi realiti apabila peratusan orang Melayu keluar mengundi mencapai 85% walaupun dalam keadaan hujan lebat dan banjir melanda. Tekad mereka ialah menolak PAS dan memberi kemenangan kepada UMNO. Senario ini berbeza dikawasan majoriti Cina yang kebanyakkan mereka tidak dapat keluar membuang undi akibat jalan menuju ke pusat mengundi dinaikki air. Tekad orang Cina pula ialah menumbangkan UMNO dan memberi undi kepada PAS. Segmen inilah yang merimaskan penulis apabila memikirkan tentang sikap orang Melayu Islam terhadap Islam. Apa yang tak kena agaknya....

Namun keputusan telah pun dicapai. Kita tetap redha menerima ketentuan Illahi dan perjuangan perlu diteruskan walaupun pahit yang terpaksa ditelan. Dalam menghadapi situasi murung ini, tiba-tiba terlintas dibenak penulis sesungguhnya satu rahmat besar daripada Allah swt apabila Cikgu Mala tidak dikurniakan kemenangan. Manakan tidak, seandainya ditakdirkan Allah swt Cikgu Mala menang tempuh hari, pening juga pimpinan PAS Negeri hendak memikirkan untuk mencari peruntukkan bagi membaiki kerosakkan akibat banjir di Labis. Menjadi amalan biasa di Malaysia, wakil rakyat pembangkang dinafikan sebarang peruntukkan daripada kerajaan UMNO/BN. Kerugian yang dialami oleh penduduk rasanya mencecah jutaan ringgit. Itu tidak termasuk jalan, jambatan dan bangunan yang rosak. Biarkan Tok Ai berhadapan dengan pengundi di DUN Tenang. Inilah masanya mereka menuntut janji manis UMNO/BN semasa berkempen. Bagi Cikgu Mala, teruskan menabur bakti dengan menyalurkan segala pemasalahan rakyat di Tenang yang tidak lagi setenang dulu kepada Tok Ai untuk selesaikan.

Inilah rahmat disebalik kekalahan yang Allah kurniakan kepada Cikgu Mala....

ALLAHU AKBAR!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan