Selasa, September 28, 2010

Isu Wang Judi Umno Terlupa Dia Bapa Judi

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa harian tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM 100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi. Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan Kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, YAB Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas

PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi. Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad. Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno. Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi. Kebiasaannya suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat, contohnya judi halal kalau yang buat itu ialah Kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN. Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana berhadas besar kalau Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC YB Kamalanathan ahli parlimen Hulu Selangor.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Selasa, September 14, 2010

Kunjungan Ketua DMPP ke Kulai.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Setiauasha Dewan Muslimat PAS Pusat Pn. Kartini dan Dr Rosni Adam selaku Pengerusi Nisa Pusat telah berkunjung ke kawasan Kulai pada 4 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010. Program Mubarraq Syawal ini telah turut disertai oleh Sdr. Mazlan Aliman dan isteri berserta beberapa orang pimpinan PAS Kawasan Kulai dan Tenggara.

Rombongan ini telah dibawa menziarahi 10 keluarga ibu tunggal warga emas di Felda Taib Andak seawal jam 9.30 pagi. Disamping sapaan dan bertanya khabar, rombongan Ustazah Nuridah telah menyampaikan sedikit sumbangan hari raya sebagai tanda keperihatinan Dewan Muslimat terhadap kehidupan yang mereka lalui. Terdapat seorang ibu tunggal yang menjaga seorang anak yang kurang upaya, benar-benar tersentuh dengan kunjungan kami kerana selama ini tiada mana-mana pihak yang datang menjenguk beliau untuk bertanya khabar jauh sekali membantu. Kehadiran PAS Kawasan Kulai dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menimbulkan suasana syahdu dengan linangan airmata sebagai tanda terima kasih.

Setelah selesai berziarah di Felda Taib Andak, rombongan ini telah berkunjug ke Hospital Kulai bagi menziarahi para pesakit yang ada disana. Disamping bertanya khabar dan mendoakan kesejahteraan mereka, sumbangan berbentuk kuih raya juga telah disampaikan kepada setiap pesakit tanpa mengira agama dan bangsa. Pihak hospital telah memberi kerjasama yang baik kepada rombongan kami disamping mengucapkan terima kasih diatas sumbangan yang diberi.

Semoga dengan ziarah singkat ini telah membuka minda dan mata masyarakat bahwa PAS sangat perihatin diatas nasib yang menimpa rakyat dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekadar termampu.


Ustazah Nuridah dan Mazlan menyapa pesakit.


Memberi kata-kata dorongan dan semangat serta bersabar dalam menghadapi ujian Tuhan.


Ketua dan setiausaha DMPP ditemuramah oleh wartawan Sinar setelah selesai kunjungan.


Ahad, September 12, 2010

ISU ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID YANG DIPOLITIKKAN

  • Utusan Malaysia melaporkan YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang DAP masuk ke surau al-Huda Kajang Sentral 22/8/10
  • Utusan melaporkan YB Teo beri “Tazkirah” dan memberi bantuan kepada ahli PAS
  • Bukan tazkirah Ramadhan tetapi beliau beri taklimat bantuan pendidikan kerajaan negeri Selangor dan memberi bantuan RM1000 untuk surau bukan kepada ahli PAS. Ini satu fitnah.
  • PERKASA suruh pulang kembali wang tersebut dan hendak ganti semula RM1000 pada AJK Surau.
  • Datuk Hishamudin Hussin Onn Naib Presiden Umno kata YB Teo orang yang berada dalam hadas besar mana boleh masuk ke ruang solat.
  • YB Teo berjumpa dengan Mursyidul Am di Rumah Kelantan Kuala Lumpur pada 30/8/10
  • Mursyidul Am suruh pergi lagi lawat masjid atau surau.
  • Tidak ada larangan orang bukan Islam melawat surau atau masjid ini yang dilakukan di zaman Nabi SAW.
  • Larangan ini hanya daripada umno yang berfikiran sempit
  • Teo berasa gembira dengan penjelasan Tuan Guru Nik Aziz
  • Hishamudin marah kepada kenyataan Mursyidul Am kerana “ia menganggap membawa kekeliruan sesama kita orang Islam”
  • Sebenarnya yang buat keliru ialah pemimpin umno, takut orang bukan Islam jinak dengan rumah Allah.
  • Kerajaan Selangor akan minta penjelasan Pengarah JAIS Datuk Kusrin mengenai isu ini kata Hasan Ali BH 31/8/10
  • Jamil Khir Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Sultan Selangor sudah mengeluarkan arahan yang perlu dipatuhi semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat.
  • “Memang benar hukum Islam membenarkan bukan Islam boleh memasuki masjid atau surau, tapi dalam kes ini ia ada unsur politik dan peraturan jelas sudah dikeluarkan mengenainya. Kita mesti melihat isu berkenaan dari banyak sudut. Perintah Sultan Selangor melarang aktiviti berunsur politik di tempat ibadat umat Islam adalah demi kepentingan ummah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am
  • Kusrin kata ini melanggar arahan Sultan jangan berpolitik di masjid. Walaupun zaman Nabi orang bukan Islam datang ke masjid, bukan untuk berpolitik
  • Berapa banyak program politik yang umno buat di negeri Umno perintah?
  • Kusrin menafikan Sultan mendapat maklumat yang tidak betul UM 2/9/10
  • MAIS telah memberi surat melarang Teo masuk ke kawasan solat di Surau atau masjid.(Malaysiainsider 1/9/10)

· Teo sudah minta maaf dengan Sultan 28/8/10 Bernama

· Datuk Seri Najib: MP Serdang langgar fatwa masuk surau, beri tazkirah (5/9/10) Nampaknya Presiden umno meneruskan fitnah lagi menuduh Teo memberi “tazkirah”

· Datuk Najib pun suruh rujuk fatwa”boleh masuk dengan pakaian sopan”

· Bagaimana pula isteri pemimpin umno, bukan sahaja masuk surau/ masjid tidak sopan dengan Allah SWT, malahan sepanjang masa

· Inilah pemimpin yang bercakap tidak serupa bikin.

· Utusan juga melaporkan Ahli Parlimen Selayang daripada Parti Keadilan Rakyat, William Leong Jee Keen masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa untuk memberi sumbangan kepada masjid tersebut (UM 29/8/10)

· En Mizan Mamat Nazir Masjid al-Taqwa Selayang berkata Ahli Jawatankuasa Masjid At-Taqwa tidak pernah menerima surat rasmi daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan tidak boleh membawa masuk orang bukan Islam ke dalam masjid.(UM 29/8/10)


Rumusan Isu

  • Media umno dan pemimpin umno bising kerana, YB yang masuk masjid dari kalangan YB DAP. Mereka diam kalau dari kalangan MCA atau Gerakan.
  • Umno hendak menjadikan isu ini untuk menunjukkan sejak Pakatan Rakyat memerintah berlaku penghinaan ke atas rumah Allah walaupun dalam bentuk fitnah
  • Tindakan pemimpin umno dan kuncu-kuncunya menjatuhkan martabat Islam di pandangan orang bukan Islam
  • Kalau apa yang dilakukan oleh umno dan kuncu-kuncunya sampai bila orang bukan Islam tidak akan mendekati Islam
  • Berapa banyak masjid dan surau dimasuki oleh orang bukan Islam. Contoh pernah berlaku dalam kempen pilihanraya 1986 calon Gerakan di bawa ke dalam surau di DUN Changkat Jering.
  • Berapa banyak masjid dibina oleh orang bukan Islam, karpet, PA system dibuat oleh orang bukan Islam.
  • Umno sudah kehilangan isu, maka isu perkauman dan agama sahaja modal terakhir.
  • Isu tutup aurat yang menjadi halangan orang bukan Islam tidak dibenar masuk ke masjid, telah menjadi bahan ketawa masyarakat termasuk orang bukan Islam. Mereka lihat bagaimana isteri pemimpin umno tidak bertudung sepanjang masa, bukan sahaja dalam surau.
  • Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang menjelaskan kepada YB Teo telah menjernihkan kembali Islam yang sebenar setelah dirosak oleh pemimpin umno.
  • Amalan yang pernah dillakukan oleh Rasulullah SAW, orang bukan Islam dibenarkan masuk ke dalam masjid seperti orang Najran yang bertemu dengan nabi di dalam masjid

PERBINCANGAN HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID

Ustaz Zaharudin Mohamad

Ahli Majlis Syura PAS

Pertama : Bukan Islam memasuki Masjidil Haram.

Kedua : Sebab mengapa bukan Islam dilarang memasuki masjidil haram.

Ketiga: Bukan Islam memasuki masjid selain masjidil Haram

Saya akan cuba meringkaskan jawapan bagi ketiga-tiga persoalan sekaligus secara padat dan mampu difahami, InshaAllah.

Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari dua ayat berikut :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini.. (At-Taubat : 28)

Satu lagi adalah :-

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja." ( 4:43 )

MASUK MASJIDIL HARAM

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat diatas. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad mempunyai sedikit perincian dalam hal tersebut.

Berdasarkan dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.

Imam Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.

Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.

Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat

"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditanglkap atas kesalahan tertentu),

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Ertinya : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.[1]

HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.

Imam Nawawi menghuraikan :

وفي هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة ومالك لا يجوز

Ertinya : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)

Selain yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-

لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان المشرك أولى

Ertinya : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-

ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام

Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

KESIMPULANNYA

Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

  • 1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.
  • 2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.
  • 3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.
Lajnah Penerangan PAS Pusat

Isnin, September 06, 2010

Zainudin Maidin Dendam Terhadap PAS

Parti Islam Se-Malaysia PAS kesal terhadap sikap Tan Sri Zainuddin Maidin yang masih berpendirian bahawa ada pemimpin PAS yang berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman supaya menyuruh Tunku merampas harta orang Cina sewaktu peristiwa 13 mei 1969. Hari ini beliau dengan megah tidak akan tarik balik dakwaan ini. Sebenarnya pendirian yang diambil oleh Zainudin Maidin bukan merupakan perkara yang pelik, kerana beliau ini orang yang istiqamah menentang perjuangan yang di bawa oleh PAS daripada muda sampai tua.

PAS mencabar beliau mendedahkan siapakah nama pemimpin PAS yang berjumpa dengan Tunku. Adalah satu perkara yang mustahil perkara yang besar seperti begini, Tunku tidak ambil serius dan tidak memaklumkan kepada beliau siapa pemimpin tersebut. PAS ingin mengingatkan kepada Zainudin Maidin, PAS adalah parti yang mempunyai dasar dan organisasi yang teratur. Sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh mana-mana individu, daripada Mursyidul Am hinggalah ahli biasa tidak dianggap mewakili pandangan parti melainkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat, Syura dan muktamar. Contohnya ketika PAS hendak menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan, kemudian Barisan Nasional. Perlu diingatkan PAS daripada peringkat awal penubuhan mengambil pendekatan muwajahah silmiah (cara aman) bukan secara tidak tidak demokratik. PAS tetap sabar walaupun provokasi yang pernah dilakukan oleh Umno melalui gerakan pemuda tahan lasak pada tahun 60an. Jadi adakah logik Pas hendak bertindak ganas supaya merampas harta orang china. . Kalaulah PAS hendak rampas harta orang Cina, maka PAS tidak perlu minta bantuan Tunku Abdul Rahman. PAS boleh buat sendiri terhadap Cina di Kelantan yang minoriti. Hakikat yang berlaku ialah tidak ada orang Cina yang dibunuh dan sebuah kedai pun yang dibakar oleh orang PAS di Kelantan. Sebaliknya huru-hara hanya berlaku di luar Kelantan . Kalau ini yang berlaku ini adalah tindakan yang luar daripada landasan perjuangan PAS, iaitu melalui gelanggang demokrasi walaupun dalam keadaan padang yang tidak rata dan tiang gol yang sentiasa diubah

Apakah Zainudin Maidin yang lama terlibat dengan dunia kewartawanan boleh menjadikan hujah yang tidak tahu hujung pangkal siapakah pemimpin PAS yang bertemu dengan Tunku, maka terus ia membuat rumusan, bahawa PAS juga parti pelampau. Sedangkan apa yang diungkit adalah satu perkara yang besar yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina terhadap perjuangan PAS. Realiti pada hari ini api perkauman telah ditiup dengan kencang di dalam negara ini hasil daripada provokasi Umno. Beberapa siri demontrasi oleh pemimpin Umno kononnya kerajaan Pulau Pinang menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu di Shah Alam, isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

Pemimpin Umno sakit hati kepada PAS kerana semua isu yang dibangkit oleh Umno tidak mendapat sambutan dari kalangan rakyat dan pemimpin PAS. Malahan pemimpin PAS menjawab dengan matang dan tenang, berdasarkan nas syarak, ini yang ,menyebabkan Zainudin Maidin sakit hati. Tiba-tiba Zainudin Maidin mengeluarkan cerita yang tidak tahu hujung pangkal kebenarannya, kerana Tunku Abdul Rahman sudah meninggal. Tragedi 13 Mei 1969 kita minta Allah jauhkan daripada berulang kembali di negara ini. Apa tujuan beliau sebut tidak lain dan tidak bukan untuk menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina di negara ini terhadap PAS. Oleh itu beberapa laporan polis sudah dibuat meminta Zainudin Maidin disiasat atas kenyataan beliau, kerana PAS secara rasmi tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa tindakan yang luar daripada keluhuran undang-undang negara.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu ".

Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Dalam kita menyambut 1 Syawal, umat Islam sepatutnya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai.

Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan. Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27) Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”– (Surah An-Nisa': 1)

Kesimpulan

Sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah s.w.t

Bagi pihak pimpinan PAS Kawasan Kulai, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama', kami menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf diatas segala kesilapan yang dilakukan samada menerusi pertuturan, perbuatan serta tingkah laku juga keputusan yang diambil dalam melaksanakan tugas. Jadikanlah syawal ini sebagai jambatan bagi kita mengeratkan semula segala ikatan persaudaraan yang terlerai sebelum ini dan kembali bertaut menjadi satu ikatan yang kukuh dalam menjalankan gerak kerja Islam.

Allahu Akbar!


YDP Kawasan

Khamis, September 02, 2010

Konvoi Ziarah Ramadhan PAS Kawasan Kulai.

Misi membantu golongan yang kurang bernasib baik diteruskan. Kali ini melibatkan 36 keluarga miskin di dalam DUN Bukit Permai. Program telah berlansung selama dua hari iaitu pada 29 dan 31 Ogos 2010. Ziarah kali ini telah turut disertai oleh khairiah surau Taman Damai Senai yang turut menyumbang dalam bentuk barangan makanan dan wang.

Bersempena dengan ketibaan syawal, golongan ini telah diraikan dengan sumbangan berupa dua buah hamper yang berisi barang makanan, kuih raya, pakaian, beras sebanyak 15kg, ayam daging 2kg dan duit raya berjumlah RM200.00 bagi setiap keluarga. Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung disamping dapat menyambut syawal dalam keadaan yang selesa.

Rombongan kali ini disertai hampir 40 orang muslimin dan muslimat berserta keluarga dan anak-anak. Walaupun cuaca agak panas dan keletihan akibat berpuasa, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat ahli PAS untuk turun berbakti membantu golongan yang memerlukan. Semua keluarga yang tersenarai telah diziarahi dan kehadiran kami ada yang disambut dengan linangan airmata kesyukuran.

Pimpinan PAS kawasan mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu dan juga syarikat-syarikat koperat yang telah menghulurkan bantuan. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan sangat kami hargai dan kami doakan semoga dikurniakan Allah ganjaran yang setimpal.


Taklimat dan doa sebelum program bermula bagi mendapatkan keberkatan daripada Illahi.


Ahli PAS yang menyertai konvoi ziarah ramadhan kali ini.


Antara barangan yang disumbangkan.

Sumbangan kepada ibu tunggal telah disampaikan sendiri oleh Ketua DMP Kaw. Kulai.


Sumbangan telah turut disampaikan oleh khariah surau Tmn Damai Senai.


Rombongan kami turut mendoakan kesejahteraan keluarga yang diziarahi.

Rombongan muslimat turut bergambar dengan seorang ibu yang ditinggalkan oleh anaknya sendiri.


Konvoi kali ini turut disertai oleh Sdr Mazlan dan isteri.