Selasa, Julai 27, 2010

Kegemilangan Islam dalam Ilmu Perubatan Mata.

Dalam 250 yahun, sarjana Muslim telah menghasilkan 18 kitab tentang oftalmologi. Sedangkan ilmuan Yunani dari zaman Hippocrates hingga Paulus selama 10 abad hanya menghasilkan lima buku oftalmologi.

Ilmu perubatan mata atau oftalmologi berkembang begitu pesat pada era moden kini. Pencapaian yang diperoleh oleh teknologi oftalmologi masa ini tidak akan mungkin terjadi tanpa sumbangan ilmuan Islam, khususnya mereka yang pakar ilmu perubatan mata semasa era kegemilangan kekhalifahan Islam. Para 'oculist' (pakar mata) Muslim diera kekhalifahan Abassiyah telah meletakkan batu asas bagi perkembangan ilmu perubatan mata.

'Saya mengundang anda kembali kemassa 1,000 tahun silam untuk menyaksikan fakta sejarah pencapaian para doktor Muslim dibidang oftalmologi,' ujar Prof. J Hirschberg, seorang ahli mata terkemuka warganegara Jerman dalam tulisannya bertajuk Arab Ophtalmologist. Hirschberg begitu mengagumi pencapaian para doktor pakar mata Muslim (kahhal) di era kekhalifahan.

Adalah wajar sekiranya Hirschberg begitu menghargai pencapaian para kahhal Muslim yang hidup pada ke 10 abad silam. Betapa tidak; sederetan istilah dalam ilmu perubatan mata ternyata berasal dari dunia perubatan Islam. Tahukah anda, istilah retina, katarak, glaukoma, pannus, serta pembedahan konjunktifa pertama kali dilakukan oleh para ahli oftalmologi Muslim?

Tidak hanya itu, para doktor pakar mata Muslim telah berperanan besar dalam menemukan pelbagai peralatan perubatan untuk mengubati penyakit mata. Selain berjaya menemukan optik, doktor pakar mata Muslim di era kejayaannya juga mampu menemukan peralatan yang digunakan untuk melakukan pembedahan mata. Bukankah ini satu pencapaian yang amat membanggakan.

Pada era kekhalifahan Islam, kerjaya seorang doktor pakar mata memang sangat berprestij. Pencapaian dan sumbangan mereka seiring dengan pakar perubatan Islam dalam bidang perubatan lainnya. Pemerintahan Kerajaan Khalifah Abbasiyah, meletakkan para doktor pakar mata pada kedudukannya yang amat tinggi. Para doktor mata itu diberi kemudahan tinggal di istana yang megah. Mereka juga diberi imbuhan gaji yang amat besar.

Khalifah Harun al-rashid misalnya, membayar gaji Bukhtishu Ibnu Jurjis sebanyak 4 juta dirham setahun. Gaji besar yang diterima para doktor pakar mata pada era kerajaan Islam itu tentunya sebanding dengan tanggung jawab dan profesionalisme yang mereka pikul. Mereka harus bertanggung jawab apabila kesilapan semasa mengubati pesakitnya.

Sebelum tahun 931M, belum ramai doktor mata yang mempunyai sijil. Namun semasa pemerintahan Khalifah al-Muqtadir, beliau memperolehi maklumat ada kes kematian disebabkan kesalahan dalam prosedur perubatan. Khalifah kerajaan Abbasiyah yang bertanggung jawab, Ibrahim Muhammad ibnu Abi Batiha, kemudian melakukan pemeriksaan terhadap doktor-doktor yang membuka klinik perubatan.

Pusat perubatan dan doktor yang tidak mempunyai sijil dari Sinan ibnu Thabit Qurra atau mereka yang membuka perniagaan tanpa tauliah, kemudiannya dilarang. Sebagai doktor pengarah kesihatan di istana khalifah, Sinan ditugaskan untuk menilai kelayakkan doktor sebelum diberikan lesen.

Para ahli oftalmologi pada era kegemilangan pemerintahan Islam, mereka mampu melalui ujian dan syarat yang ketat yang dikenakan pada mereka. Ini kerana secara umum, pada doktor mata telah menguasai ilmu asas penyakit mata yang begitu rumit. Mereka juga sudah mulai menggunakan krim sapu untuk mengubati sakit mata.

Selain itu, para doktor pun diambil sumpah mereka untuk tidak sembarangan melakukan pembedahan mata kepada pesakit. Begitulah ilmu perubatan mata berkembang pada era keemasan peradaban Islam. Dunia oftalmologi barat pun banyak berguru dan belajar dari para doktor Muslim.

Prof. J Hirschberg menyatakan, para pakar oftalmologi Muslim lebih produktif dibandingkan para doktor Yunani."Dalam 250 tahun, sarjana Muslim telah menghasilkan 18 kitab tentang oftalmologi. Sedangkan ilmuan Yunani dari zaman Hippocrates hingga Paulus selama 10 abad hanya menghasilkan 5 buku sahaja" kata Hirschberg.

Secara keseluruhan, para doktor Muslim telah menghasilkan 30 kitab tentang oftalmologi. Malangnya hanya tinggal 14 kitab sahaja yang masih tinggal pada hari ini.

Susunan ABI QUTHAIBAH.
Petikan Majalah I, Disember 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan