Ahad, Ogos 28, 2011

SAMBUTAN AIDILFITRI MENURUT PERSEPSI ISLAM

Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37)

Pada malam Hari Raya, kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan dan bersyukur ke hadrat Allah kerana telah mengekalkan kita di atas jalan petunjuknya, berada di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan perintah puasa. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong. Umat Islam disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang malam hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya keesokannya.

Dalam ertikata sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw) bersabda:

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu ".

Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya.

Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru” tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah memadai.

Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan.

Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)


Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”

– (Surah An-Nisa': 1)

Kesimpulannya, sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan, tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Selasa, Ogos 23, 2011

Program Ziarah Ramadhan 1432H (2011)

  • Tarikh : 21 Ramadhan 1432H bersamaan 21 Ogos 2011 (Ahad).
  • Kawasan : Taman Manis, Kg. Melayu Sedenak, Ladang Sedenak, Kg. Murni Jaya dan Felda Bukit Permai.
  • Penglibatan : PAS Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Nisa'.
  • Turut serta : Sdr. Mazlan Aliman.
  • Jumlah yang dikunjungi : 15 keluarga.
  • Jumlah kehadiran : 12 buah kenderaan / 35 orang.
  • Sumbangan : Hamper, beras, barang keperluan dapur, baju dan duit raya.
Gambar-gambar sekitar program.
----------------------------------













Isnin, Ogos 22, 2011

PAS Kesal Kenyataan Perdana Menteri, Mungkin Tarik Diri

PAS melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 tidak perlu menunggu keputusan Jawatankuasa (JK) Khas Parlimen. Kenyataan tersebut membuktikan sikap sebenar kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.
Tujuan utama JK Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar. Apa guna dibentuk JK Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum JK Khas ini menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan Barisan Nasional tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Adalah mustahak untuk rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka kepada sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan. Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu.
Kerajaan harus sedar terhadap kemarahan rakyat dan tuntutan yang diadakan dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 baru- baru ini. Sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya akan terus merosot.
Keadaan ini sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri. Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga dijangka akan mempercepatkan bantahan rakyat, jesteru menyemarakkan semangat untuk himpunan Bersih 3.0 diadakan.

PAS ingin tegaskan kerajaan tidak patut dan sememangnya ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai. Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.
PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam JK Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna sekiranya ia diadakan setelah Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian.
Pada 24hb Ogos ini juga satu mesyuarat Pakatan Rakyat akan diadakan untuk membincangkan secara serius perkembangan muktahir ini bagi membuat satu keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Najib dan Barisan Nasional untuk melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum PRU ke 13 yang bakal menjelang.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Apa pula pendirian Umno-MCA dalam isu JAIS?

Dalam keseronokan Umno menyerang PAS secara bertubi-tubi dalam isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) walaupun PAS telah menyatakan pendirian tegasnya dalam mempertahankan aqidah umat Islam, rakyat masih tertanya-tanya apakah pendirian sebenarnya Umno Barisan Nasional dalam isu ini pula.
Masih segar dalam ingatan ialah rakan terbaik Umno, MCA – parti yang disokong Umno untuk menyaman kerajaan Kelantan dalam isu mengharamkan judi melalui Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dalam kenyataannya yang dipetik Harian Metro telah secara terbuka mengutuk tindakan Jais dalam menyiasat GMDU sebagai satu tindakan yang memalukan.
Dr Chua turut dipetik sebagai berkata Jais, yang terletak di bawah bidang kuasa anggota exco daripada PAS Datuk Dr Hassan Ali perlu memberi penjelasan tentang isu itu dan memohon maaf kerana menceroboh premis gereja berkenaan serta kelemahan pihaknya mengendalikan perkara itu.
“Kejadian ini menunjukkan bahawa PAS tidak liberal seperti yang didakwanya,” tambahnya lagi.
Selain itu, Naib presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, tindakan para pegawai Jais itu mencerminkan sikap pakatan pembangkang yang berfikiran sempit serta tebal dengan semangat kedaerahan.

Jadi, apakah pendirian rasmi Umno Barisan Nasional dalam isu ini? Satu belah, Umno menuduh PAS tidak menjaga aqidah umat Islam, rakan baiknya MCA pula menuduh PAS untuk perkara sebaliknya.
Sejak penubuhan PAS, rata-rata umat Islam tahu parti sentiasa berpendirian dengan tegas bagi mempertahankan aqidah umat Islam, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti sehinggakan hari ini Umno and MCA masih menakutkan umat Islam dan bukan Islam bahawa kita satu parti yang ekstemis dalam mempertahankan aqidah umat Islam – tak boleh judi, tak suka arak, membanteras murtad dan sebagainya.
Disebabkan ketegasan PAS dalam isu membanteras murtad, PAS mengesa agar JAIS agar mengambil tindakan segera sekiranya cukup bukti selaras dengan peruntukan perlembagaan negara dan undang-undang tubuh kerajaan Selangor untuk mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah.
Disebabkan kekurangan maklumat, dan juga first-hand news, PAS turut mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua pihak, JAIS dan GMDU, tapi malang, kedua-duanya memilih untuk menangguhkan perjumpaan. Akan tetapi, pada masa yang masa, bukti-bukti Jais pula mula terledak di Internet walaupun ia sepatutnya rahsia sehingga pendakwaan dibuat di mahkamah.
Bahkan, lidah rasmi kami Harakahdaily sudahpun melaporkan bahawa terdapat percanggahan antara apa yang dinyatakan oleh pegawai gereja GMDU bahawa majlis makan malam anjuran Harapan Komuniti tidak mempunyai kaitan dengan agama dengan bukti video JAIS ketika menyiasat di majlis makan malam GMDU yang kini hangat yang kini hangat dipertontonkan di internet.
Kini PAS, ada dua persoalan – mengapa JAIS masih berlengah-lengah untuk bertindak, dan juga kesunyi-sepian gereja mengenai percanggahan kenyataan pihak gereja dengan video penyiasatan JAIS yang kini tersebar luas – namun keduanya tidak mempunyai jawapan sehingga ini PAS masih tidak dapat bertemu dengan kedua-dua pihak.
Walaupun telah membuat pendirian tegas dalam isu JAIS ini dan juga menunjukkan keadilan dalam Islam sebenar dalam mencari penyelesaian adil dalam isu ini, namun media pro Umno sehingga hari ini masih mendesak PAS untuk menyatakan pendirian.
Sebaliknya, rakyat masih sehingga hari ini tak tahu apa pula pendirian BN, khususnya Umno dan MCA dalam isu ini selain sibuk menyerang PAS? Ada sesiapa dari seberang sana boleh menjawab?


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Khamis, Ogos 18, 2011

Isu JAIS - Reaksi Dan Tindakan Umno Cukup Mencurigakan

Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Dato Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini. Dengan ledakan pelbagai bukti di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini.
Antaranya ialah:

1. Media pro-Umno yang terus melonjak isu ini dengan membuat serangan kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri.

2. Semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh Jais, sedangkan semua bukti itu adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya dikeluarkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.
Ini termasuklah soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan Jais yang sepatutnya diberikan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu. Kenapa bukti-bukti Jais ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?

3. Demonstrasi oleh Mohamad Ezam Mohd Nor dibuat di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk penyapu tandas, mangkuk tandas dihantar ke pejabat Menteri Besar.
Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses kristianisasi yang dilalukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?

4. Tindakan Jais melengah-lengah isu ini sehingga menimbulkan polemik umum tentulah tidak mendatangkan kebaikan kepada semua di waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.
Kini, rakyat tengah menanti tindakan Jais, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini.
Bayangkan, setelah 54 tahun Umno mentadbir negara, ada lagi kes orang Melayu nak keluar Islam? Tak terfikirkah kita mengapa? Tak sedihkah kita?
Apa yang dipentingkan puak Umno ini dalam isu murtad ini ialah untuk mencari mangsa untuk menanggung kelalaian mereka dalam menjalankan tugas ‘demi bangsa, agama dan negara’ selama 54 tahun ini.
Adakah Umno cuba mencari penyelesaian dalam isu murtad ini? Tengoklah kenyataan-kenyataan mereka, mereka hanya nak cari siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini, dan tiada satu pun cadangan penyelesaian dibuat.
Padahal, selama ini umat Islam sentiasa bertanya:
Kenapa kerajaan tidak sedia menggubal akta pencegahan murtad?
Kenapa ajaran Qadiani terus dibiarkan di Kg Nakhoda, Batu Caves yang banyak merosakkan aqidah umat Islam?
Di mana Umno dalam isu Lina Joy dan Ayah Pin yang sehingga kini masih bebas?
PAS tegas menjaga aqidah umat Islam, dan pada masa yang sama PAS juga pentingkan cara menyelesaikan isu murtad ini dengan baik supaya keamanan dan keharmonian antara rakyat Malaysia sentiasa dipelihara dan dijaga berbanding dengan Umno yang hanya ingin keuntungan politik dalam sebarang hal.
Isu aqidah – Umno marah pada PAS kononnya PAS tak mempertahankan aqidah umat Islam sebab ada kepentingan politik yang memihak kepadanya.
Isu jual kerakyatan rakyat – Umno bukan sahaja membisu malah meraikannya dengan segala penafian kepada segala bukti yang PAS bawa sebab ada kepentingan politik yang tidak memihak kepadanya.
Itulah Umno – dah jual agama selama ini dengan menakutkan Islam kepada rakyat bukan Islam untuk kekal berkuasa tetiba ingin menjadi hero Islam.
Apabila rakyat bukan Islam dah sedar atas penipuan mereka, sekarang mereka jual negara dengan beri kerakyatan kepada warga asing, terutama warga Indonesia supaya boleh meningkatkan jumlah ‘undi Melayu’ pada mereka atas slogan pembela orang Melayu untuk kekal berkuasa.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Selasa, Ogos 16, 2011

Jakim sahkan mentega 'Golden Churn' tak halal.



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan mentega jenama 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.
Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berbeza.
"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu juga, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.
Beliau berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.
Othman berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.
Pada 19 Julai lalu Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas.
- Bernama

Sumber : Malaysiakini


Tindakan UMNO cuba mempolitikkan semua isu yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.
Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat. Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya.
Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membua kajian dan keputusan yang teliti. Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau.
Akan tetapi, bilamana Kerajaan Negeri Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi, tiada suara pemimpin Umno dan Perkasa yang tampil mengatakan Kerajaan Melaka tidak sensitif kepada umat Islam di bulan Ramadhan. Inilah gelagat pimpinan Umno Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.
Sikap sedemikian mencerminkan Umno sebagai sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan Umno dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan. Demikian juga bilamana usul pencegahan umat Islam murtad dikemukakan dalam Parlimen oleh pimpinan PAS, mereka bukan sahaja tidak menyokong, sebaliknya usul itu berkali- kali ditolak oleh Parlimen.
Tapi kini dalam kemelut gereja-Jais, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus berriuh-rendah di media kononnya nak menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad. Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap-sepi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli Umno sendiri dan sebagainya.
Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan Umno.




Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat