Khamis, April 12, 2012

TAHUKAH ANDA ?

TAHUKAH ANDA ?



Pesanan Hari Ini .

Pendedahan Mahfuz Serius Dan Tidak Boleh Dibiarkan Sepi

PAS mengingatkan seluruh rakyat bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian khianat terhadap masa depan negara.

Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Dato' Hj Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara.

Tindakan terdesak ini jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.

Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini? Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini.

Bahkan, apa yang lebih mendukacitakan badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.

Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini.

Sehubungan itu, PAS akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini. Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Selasa, April 10, 2012

Jumaat, April 06, 2012

MENELADANI PENGORBANAN SITI HAJAR

Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S bersama anaknya Nabi Ismail A.S, setiap kali menjelang kedatangan Aidiladha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanan di antara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah Taala merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini. Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit sahaja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut.

Walaupun peristiwa itu telah berlangsung ribuan tahun lamanya, begitu juga ibadat korban yang baru lalu, namun semangat dan keperkasaan Siti Hajar patut diteladani terutamanya Muslimat yang berada dalam parti Islam seperti PAS. Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah Taala. Peristiwa Siti Hajar berlari-lari dari Bukit Safa ke Marwah telah disyariatkan oleh Allah dalam ibadah haji sebagai tuntutan sa'ie.

Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan daripada Allah Taala. Kerana sesuatu kemenangan tanpa pengorbanan tidak akan ke mana, justeru kemenangan ahli keluarga Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail adalah contoh yang paling relevan sepanjang sejarah tamadun manusia, lebih-lebih lagi buat golongan haraki yang bekerja keras untuk memenangkan Islam.

Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani.Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.

Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing. Justeru, peranan mereka tidak boleh dipandang rendah kerana sejarah Siti Hajar sebagai bukti yang paling nyata pengorbanannya menegakkan Islam peringkat awal. Di mana Siti Hajar bukan sahaja dilihat sebagai pembantu Nabi Ibrahim, malah menjadi tumpuan kepada aspek kejayaan beramal dengan arahan suami yang meninggalkannya bersama anak kecil yang akhirnya menjadi tuntutan dalam rukun haji iaitu sa'ie.

Firman Allah Taala menerusi surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud, "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagiMaha Bijaksana".

Jelaslah juga daripada pengertian ayat tersebut bahawa Allah Taala mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh Muslimat walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Bagi Muslimat PAS, kita yakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan adalah selari dengan semangat ini. Natijahnya adalah bahawa tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan dan sumbangan besar Muslimat terhadap perjuangan PAS dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Justeru itu, kita perlu sedari juga bahawa di dalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan daripada Allah Taala. FirmanNya melalui surah Muhammad ayat 7, yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu".

Jumhur ulama berpendapat bahawa tindakan kita bergerak dalam jemaah Islam, istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah di amanahkan kepada kita adalah satu manifestasi "menolong agama Allah". Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tuntutan jemaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan daripada Allah Taala.

Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat kini, di mana PAS adalah komponen sebuah parti pemerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, peranan Muslimat adalah berlainan daripada masa-masa lampau. Kita perlu pastikan bahawa peranan kita di dalam melaksanakan tugas selaku ahli Parlimen, anggota Exco, Adun atau Ahli Majlis kerajaan tempatan serta JKK selaras dengan matlamat parti kita dan tuntas dengan permuafakatan dalam tuntutan Pakatan Rakyat.

Peranan PAS adalah penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tetapi perlu diingat bahawa di dalam keghairahan kita melaksanakan tugas-tugas kepada rakyat semua aktiviti dan tuntutan jemaah kita juga perlu berjalan seiring dan tidak dikesampingkan. Parti kita mesti diperkukuhkan agar ianya dapat berperanan dengan efektif pada permuafakatan kerajaan Pakatan Rakyat. Parti yang lemah akan mengakibatkan kerajaan jadi kucar kacir. Tiada kerajaan tanpa parti.

"Sirru 'alabarakatillah"


Ustazah Nuridah Salleh

Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat.

Khamis, April 05, 2012

Bantuan kepada anak yatim piatu.

PAS Kawasan Kulai sedang menguruskan tiga orang anak yatim piatu yang kehilangan ibu dan ayah mereka dalam satu kemalangan jalanraya pada malam 3 April 2012 yang lalu. Ketiga-tiga anak ini masing-masing berusia 10, 6 dan 2 tahun kini dibawah jagaan penduduk Taman Permata Impian tempat dimana allahyarham dan allahyarhamah menetap.

Sehubungan dengan itu kami warga PAS Kulai ingin menyeru kepada para dermawan yang ingin membantu bagi menguruskan kehidupan anak-anak ini dari segi pendidikan dan kehidupan seharian mereka. Sesiapa yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Sdr. Juwahir Amin di talian 019-7648741.

Sumbangan anda amat kami hargai dan semoga mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah swt.