Parti Islam Se-Malaysia mengharapkan Timbalan Perdana Menteri jangan  melatah tidak tentu fasal berkenaan dengan janji RM500 sebulan kepada  guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat. PAS berasa  pelik seorang Timbalan Perdana Menteri  mencabar Datuk Seri Anuar  Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.
  Iltizam Pakatan Rakyat  kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat  memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang. PAS mengharapkan Tan  Seri Muhyiddin tolong perhatikan ayat-ayat yang terkandung dalam buku  jingga yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19/12/2010. Jangan  terlalu gelabah sehingga terlalu emosi dalam membuat kenyataan. Selaku  Timbalan Perdana Menteri beliau tentu lebih arif dalam hal kewangan  negara dan bidang kuasa kuasa pendapatan negeri yang terlalu kecil,  jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.
  Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat  tuduhan yang tidak menentu. Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk  menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang  sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan. Sekarang ini pun dengan  kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik  untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan.  Pakatan berjanji pada guru-guru untuk peringkat awal, insyaAllah selepas  ini semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga. Pakatan Rakyat  mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan  pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.
  PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah,  memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat , jangan hanya  mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas. Guru bukan sahaja  mengajar, malahan mereka juga sebagai kerani, bendahari, ambulan untuk  hantar murid- sakit dan sebagainya. Sebab itulah Pakatan Rakyat  beriltizam untuk membela guru-guru  dahulu.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan