Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu,  sama  seperti kalau  isteri pemimpin Umno menyeru wanita semua kena menutup  aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak  dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU  2008 pemimpin Umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari  untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat,  sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga  sembuh malahan makin parah. 
 
Cuma  ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka  tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan Umno juara Melayu dan Pakatan  Rakyat tidak bela Melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan  Melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya Umno cuba menutup bangkai  gajah dengan tudung saji, kerana  cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.
Orang  Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan Melayu ala Umno.  Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen  terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah Umno sahaja yang  mempertahankan ketuanan Melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap  Umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.
Sebenarnya ketuanan Melayu Umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin  mereka menggadai hak Melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan  suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad Umno diberi  peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai.  Bukankah ini semua angkara Umno?
 
Faktanya ketuanan Melayu Umno telah merugikan orang Melayu, bukan mengangkat martabat Melayu di negara ini.
  
Ketuanan Melayu Umno menjadikan taraf hidup orang Melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam  parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di  negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang  dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan  menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras  kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah  kemiskinan adalah satu senjata untuk Umno guna bagi mengekalkan kuasa,  dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan Melayu Umno  merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan  minyak
 
  
Ketuanan  Melayu Umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya  Melayu. Sebanyak 118 projek pusat disekat sejak RMK 6  tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?
 Ketuanan  Melayu Umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing.  Yang menjadi broker ialah pemimpin Umno dengan pemaju. Contoh yang  terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung  Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi  penyokong tegar Umno. Sewaktu mereka dihalau, batang hidung pemimpin  Umno langsung tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung  Berembang Ampang di zaman Umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar  menyokong Umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada PAS, PKR,  DAP dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana  pergi pemimpin Umno yang hendak menegakkan ketuanan Melayu ketika  penyokong mereka dihalau. 
 
   
Ketuanan Melayu Umno menyebabkan  orang Melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya  kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di  bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain  yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini  berlaku kepada pemimpin Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan  bumiputera meningkat. Seperti yang  pernah dinyatakan oleh bekas  Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman  Cina 0.6%,  India 2.9%, Melayu  8.3%.    
      
Ketuanan Melayu Umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan  Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan PAS. Akibat persempadanan ini  selepas  pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal  hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi  majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun  pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah  17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak  bertambah.
  
·         Ketuanan  Melayu Umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan  kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2  bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.
  
·         Ketuanan Melayu Umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat  Wan Tak  Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak  31.36%. Umno tidak sedarkah  majoriti  yang  mengusahakan sawah ialah orang Melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing  menguasai lesen  beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah  kerajaan Pakatan  Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini. 
 
  
Ketuanan Melayu Umno  sanggup mengkhianati hak orang miskin  contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta  ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada Umno.
  
 Ketuanan Melayu Umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri  dengan  menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa  Inggeris, walaupun berpuluh orang profesor dan pakar pendidikan tidak  bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur  dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk  menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah  hancur berkecai. Malahan pemimpin Umno melemparkan  tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun Umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan