MALAM 15 Oktober lalu bersamasama dengan Bob Lokman, Imam Muda Asyraf  dan Dr Muhaimin Sulam ,  saya berkongsi pentas forum membicarakan topik  “Seni: Halal atau  Haram?”, anjuran PAS Kawasan Kulai, di sebuah dewan  dalam Kelab Golf  Palm Villa, Kulaijaya, Johor.
,  saya berkongsi pentas forum membicarakan topik  “Seni: Halal atau  Haram?”, anjuran PAS Kawasan Kulai, di sebuah dewan  dalam Kelab Golf  Palm Villa, Kulaijaya, Johor. 
  Alhamdulillah,  majlis berjalan dengan baik, dalam suasana yang agak  santai disebabkan  cara dan gaya Bob Lokman mengendalikannya sebagai  moderator forum.  
Mulanya  dijadualkan Muhaimin sebagai moderator, tetapi Muhaimin mencadangkan  Bob Lokman kerana Bob Lokman memang seorang pengacara. Dan Bob Lokman  pun setuju, memang dia seorang pengacara dan juga pelawak, katanya.
  Tahniah PAS Kulai kerana menganjurkan forum yang agak lari dari  kebiasaan PAS ini. Membicarakan kesenian dan kebudayaan bukanlah  kebiasaan PAS, walaupun sudah lebih setahun wujudnya Lajnah Kesenian dan  Kebudayaan. Dan terima kasih kepada Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)  kerana menjemput saya menjadi panelnya.
 Forum ini  diadakan di dalam dewan yang agak eksklusif. Khabarnya kena bayar  tiket. Maksudnya ia bukan dibuat sebagai agenda politik popular untuk  orang ramai berhibur dengan Bob Lokman dan Imam Muda Asyraf (secara  percuma di tempat terbuka), tetapi ia jelas bertujuan untuk suatu bicara  yang serius mengenai seni dan budaya.
 Langsung  tidak ada injeksi politik di dalamnya. Ucapan perasmian dan penutup pun  tidak ada. Mazlan Aliman hadir hanya sebagai penonton, dan mendengar  bicara ahli-ahli panel daripada awal hingga akhir, naik pentas hanya  untuk menyampaikan ceenderamata kepada panel, dan selepas itu bersambung  dengan bual-bicara sambil makan lewat malam di restoran, bersama dengan  YDP Hisham Mohd Zin.
 Mengapa saya ceritakan hal  titik-bengik ini? Saya ceritakannya untuk menunjukkan sifat kesungguhan  penganjuran majlis itu, yang tidaklah semestinya diselit atau diganggu  dengan agenda politik. Mungkin nampaknya suatu perkara kecil dan remeh,  tetapi impak dan implikasinya tidak kecil. Ia penting untuk difahami.
  Alhamdulillah, malam itu kita berbicara soal kesenian dan hiburan. Yang  manakah yang halal dan yang manakah yang haram di sisi Islam? Saya bawa  dan tunjukkan dua buku yang menjadi rujukan utama saya dalam hal  halal-haram seni. Siapa Bilang Musik Haram? Pro Kontra Masalah Musik dan  Nyanyian karya Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani (terjemahan  Indonesia) dan Seni Dalam Islam karya Dr Yusuf Qaradhawi (terbitan  Jakim).
 Syeikh Nashiruddin, seorang pakar hadis  di zaman mutakhir, yang penilaian sahih dan tidaknya terhadap hadis  diterima umum, berhujah dengan hadishadis sahih mengatakan bahawa muzik  adalah haram di sisi Islam.
 Manakala Dr Yusuf  Qaradhawi pula, juga seorang ulama mutakhir yang pendapatnya menjadi  rujukan di seluruh dunia, berhujah mengatakan bahawa muzik dan hiburan  dibenarkan Islam.
 Demikianlah juga ulama Islam  sejak zaman sahabat dulu hinggalah sekarang, tidak pernah sepakat dalam  soal halal-haram muzik dan seni dalam Islam. Sebahagian berpendapat ia  halal manakala sebahagian lagi berpendapat ia haram. Masing-masing  berhujah dengan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah. Tidak ada nas yang secara  jelas menghalal atau mengharamkannya.
 Makanya  saya mengambil sikap bahawa muzik dan lainlain bentuk seni dan hiburan  itu, samalah juga dengan pelbagai perkara lain lagi, ada yang halalnya  dan ada yang haramnya. Kita perlu merujuknya kepada pelbagai hukum lain  yang bersangkutan, misalnya hukum mengenai niat dan tujuan, hukum  mengenai aurat dan pergaulan, sama ada ia mengarah kepada kebaikan atau  ia boleh menyebabkan kepada kemungkaran, dan sebagainya.
  Jadinya saya lebih suka berbicara mengenai apa yang kita boleh buat dan  apa yang kita perlu buat sebenarnya. Tidak ada gunanya berbicara soal  halal dan haramnya kalau kita tidak buat apa-apa. Maka saya pun  menceritakan apa yang telah saya buat, dalam konteks seni dan budaya,  sejak di sekolah menengah hinggalah sekarang.
  Saya bicara mengenai peranan seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat,  mengenai peranan seniman dalam gerakan Reformasi sejak 1998 hingga  sekarang, dan bagaimana tertubuhnya kumpulan Seniman Paksi Rakyat  (PAKSI) pada Jun 2008, dan aktiviti yang dijalankannya hingga sekarang.
  Diceritakan juga bagaimana teater dipersembahkan di dalam masjid.  Teater yang bagaimana yang boleh dimainkan di dalam masjid itu? Ada  pihak masjid yang tidak membenarkan biola dimainkan di dalam masjid, dan  ada pihak masjid yang membenarkannya.
 Betapa  besar dan pentingnya peranan penulis dalam memperjuangkan kebenaran dan  membawa perubahan kepada masyarakat. Hal ini yang sering saya tekankan  dalam aktivitiaktiviti Paksi dan tulisan saya akhir-akhir ini. Betapa  kita perlu melahirkan lebih ramai penulis seperti SN A Samad Said dan  Azizi Hj Abdullah, misalnya.
 Maka saya  mencadangkan kepada PAS Kulai supaya berusaha melahirkan kumpulan  penulis dan seni-budaya mereka sendiri, bagi menjalankan aktiviti seni  dan budaya yang tidak melanggar syari‘at dan hukumhukum Islam, sebagai  alternatif kepada aktiviti hiburan yang sering dilakukan dan dianjurkan  pihak Umno-BN dan penyokongpenyokongnya, yang biasanya tidak  mempedulikan syariat dan hukum Islam.
Oleh Dinsman