 Soalan:
Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum  menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri  yang menyatakan tidak mengapa selagi traksaksi itu atas bantuan, bukan  judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata  sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima  gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai  judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa  terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya?  Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat  atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba? 
Mazlan, Pulau Pinang.
 Jawapan Dr MAZA: Saudara Mazlan, perkara yang  penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah  tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang  atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu  atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau  riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia  haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau  pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan  haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya  sebutkan beberapa perkara berikut;
 1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah  memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum  itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak  pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.
 Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal  dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber  kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram  seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram  itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima  atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.
 2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia  datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang  loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang  loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari  syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan  pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang  tiada kaitan dengan judi.
 Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh  arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita  menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar  jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah  ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal  kepada mereka tidak terlibat.
 3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):
 “dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang)  melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh  memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)
 4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di  mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang  menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang  diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan  penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.
 Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai  baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda.  Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah  berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat  al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.
 5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum  untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah  telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada  Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah  sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:
 “Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah  menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w,  baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda  menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di  sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan  penerima, bukan yang sebelum itu.
 6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:
 “Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”.  Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung  olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).
 Dalam riwayat al-Baihaqi,
 seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan  riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan,  bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).
 7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah  ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari  suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.  Beliau menjawab:
 “Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia  pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara  berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan  cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa  kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi,  memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal  dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan  jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang  halal, maka tidak mengapa”  (http://www.estgama.net/estgama_mag/full.php?id=82).
 8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya:
 “Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang  mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir  miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke  badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang  terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan  kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).
 9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada  pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang  teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi  s.a.w:
 “Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut  atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan  pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan  kepadanya.
 10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh  diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap  bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan  maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena  kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara  jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan  kemaksiatan seperti itu.
 11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain  dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu  dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam  mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.
 Sumber : http://drmaza.com