Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang  sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun  jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan  seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu  perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui  negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO. Bagi saya, ia tidak  lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa  UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan  untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun  nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik  Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan  Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.
  Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana  Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah  untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat  apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan  tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah  digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri  Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik UMNO? ‘Islam  plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah  dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah  satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.
 Hari ini, isu  perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media  milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala  pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan.  Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu,  seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul  UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan  busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda  masyarakat pada hari ini.
 Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari  dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak  mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Melayu, Cina atau India tidak  pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWt melainkan  dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah  SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup  dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok  setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak  mempunyai sebarang nilai.
Lupakah kita bahawa UMNO pernah  menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun  UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke  mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO?  Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan  yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila  Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan  demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar  negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan  Ketuanan Melayu? 
 Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam.  Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan  kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri  daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang  muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi  Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak  mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang  soleh.  Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 1 Disember 2010 / 24 Zulhijjah 1431
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan