Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian  Bidang  Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwar-warkan oleh Datuk Seri  Najib Tun Razak yang dilancarkan pada 20 Januari 2010. Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
PAS berasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai  slogan retorik, untuk membuat  pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh  Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail. Beliau  telah  dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa  telah  disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara  pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk  membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi  wang untuk membeli undi. Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd.  Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff  ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September  tahun 2004.
Pemilihan  ini menggambarkan Datuk Seri Najib seolah-olah tidak nampak di kalangan  ahli umno seramai 3.5 juta orang, melainkan beliau hanya nampak insan  yang bernama Tan Sri Isa Samad sahaja. Apa rahsianya beliau dipilih  hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu.
Perlantikan  ini menggambarkan inilah watak sebenar Datuk Najib dalam hal memerangi  rasuah. Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini  bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan  zaman Tun Abdullah, walaupun  nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah.  Malaysia  masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan  oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus  merosot daripada 4.5 kepada 4.4.
Markah  itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang  Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada  4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.
 
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan