Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut
 Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya 
ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci 
daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa 
besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan 
bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)
Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan
 ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda 
sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.
Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai
 tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya 
bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam 
keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang 
buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat 
......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.
Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para
 ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. 
Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab 
al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah 
mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara 
Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, 
memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan
 sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi 
hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan
 sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, 
rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem 
yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak 
berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah
 demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.
Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan 
raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. 
Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara 
undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 
Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada 
rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak
 pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan 
yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem 
pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran 
yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di 
Madinah.
Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk 
PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi
 moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang 
mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara
 komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya 
yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik
 dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak
 ada kesilapan langsung.
Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya 
sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka 
berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak 
yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan 
sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan 
dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.
Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam 
peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula
 menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya 
dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India 
membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan 
jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang 
dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem 
demokrasi pilihanraya yang adil.
Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi 
menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya 
yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar 
kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan 
tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah
 siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi
 mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda 
yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup 
minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  
menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada 
ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, 
seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung 
yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi
 bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah 
banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku 
sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam 
parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya 
umum.
Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang
 menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang 
wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.
PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan 
memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan 
Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah 
kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam 
menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah 
kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan 
perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu 
daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan 
kebencian dalam hati.
Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai 
daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar
 R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim  
secara terbuka dan aman tanpa senjata.
Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, 
tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  
peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah 
dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi 
mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka
 yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya
 perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “. 
Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara 
fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga 
menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka 
menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh 
yang lain.
Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti 
politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi 
membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, 
ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, 
tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.
PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep 
demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. 
Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para
 Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang 
memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim 
bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan 
peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang 
wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, 
laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk 
pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.
Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku 
ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama
 ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau 
berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu 
orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh 
Allah“.  Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang 
zalim adalah jihad paling afdal “.
PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam
 diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan 
kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya
 menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar 
oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.
Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan 
salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang 
berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan 
provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri.
 Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu
 pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan 
keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan 
selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan 
sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, 
bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. 
Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa 
mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang 
yang bukan Islam.
Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama 
kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah 
seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
 
 



