SYARAT KORBAN DAN BINATANG YANG DIKORBANKAN
 1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang  yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong  telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang yang  akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;
 i. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi
 ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.
 iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.
 iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.
 v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak  bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap  sah, jika selepas disembelih didapati  haiwan ternakan itu sedang  bunting.
 Sabda Rasulullah SAW;
 Maksudnya;
 Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda;
 “ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak  matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai  isi.” (Hadis riwayat Muslim)
 Seekor kambing hanya untuk korban satu orang diqiaskan dengan denda  meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau  boleh  dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah.  Sabda  Rasulullah SAW;
 Daripada Jabir , beliau berkata :
 “Kami telah menyembelih korban bersama dengan Rasulullah SAW, pada  Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk  tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)
 Maksudnya;
 Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama dengan Rasululah SAW dalam  satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban, maka kami  bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta  untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)
 2. Korban dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.
 Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat lagi, iaitu;
 1. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang muslim, oleh yang  demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah diwakilkan oleh  tuan korban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus memakan  daging sembelihannya.
 2. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam membayar harga binatang  korban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya yang terdiri  daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan termasuk  juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.
 WAKTU MELAKUKAN QURBAN
 Waktu menyembelih qurban adalah bermula daripada matahari setinggi  tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam matahari pada 13 bulan  Zulhijjah.
 Sabda Rasulullah SAW;
 “Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum solat Hari Raya Haji,  sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa  menyembelih korban sesudah solah Hari Raya dan dua khutbahnya,  sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati  sunnah atau aturan umat Islam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
 Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadis di atas adalah waktunya,  bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi syarat kepada  sembelihan korban.
 Sabda Rasulullah SAW;
 Maksudnya;
 “Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah), adalah waktu  yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (Hadis riwayat Ahmad)
 PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH KORBAN
 1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban  mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari  korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah  yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa  bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga  dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil  susunya, bulunya dan sebagainya.
 2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.
 3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat,  sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin  Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.
 4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:
 Maksudnya;
 Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
 “Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia  akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah,  bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat  Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)
 1. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang  diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat  al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut,  dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan  baginda membaca;
 Maksudnya;
 “ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah  (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban  dari kalangan umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)
 2. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)
4. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti  berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku  kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)
5. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di  atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu  dan kambing.Sabda Nabi SAW;
 Maksudnya;
 Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua  ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau  membaca bismillah dan beliau bertakbir.” (Hadis riwayat Bukhari  danMuslim)
 Ketika melakukan korban Rasululah membaca;
 Maksudnya;
 “Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
 1. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri  daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang  tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.
 2. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.
 3. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.
 4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada  Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah  korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah,  supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai  ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
 Maksudnya;
 “ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari  kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan  kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)
 PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN
1. Terdapat dua pandangan
 i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)
 Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging korban yang disunatkan,  manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan untuk memakannya.
 Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging korban nazar  dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya mencampurkan  kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan  dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh  sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi  tiga hari.
  1. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam  pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk  kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri  daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin.   Kenyataan ini berdasarkan firman Allah;
 Maksudnya;
 “ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain)  berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (Surah  Al-Haj : Ayat 28)
 FirmanNya lagi;
 Maksudnya;
 Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada  dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.”  (Surah Al-Haj: ayat 36)
 Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain,  terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau  bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil  sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’  (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).
 Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga boleh diberikan kepada  orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan  memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan  kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.
 BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH KORBAN
 1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan  melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati  sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira  sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut  sebagai ‘Makruh’.
 2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada  amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh  bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk,  batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih  sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap  bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak  boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah  kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar  lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan  lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.
 3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada  orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan  itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang  hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa  hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja  yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;
 Maksudnya;
 “Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat  mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari  ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah  memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu  mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita  gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
 (Surah al-Haj : ayat 37)
 4. Pembaziran daging korban. Di mana terdapat daging korban yang  lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di  samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan  daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang  peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita  bawa pulang.
 5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada  kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan  hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman  dengan kita.
 6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan,  semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban,  namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati  daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan  menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak  pernah menjejakkan kaki ke suarau dan ke masjid atau bermuamalah dengan  penduduk setempat.
 SILA RUJUK :
 1. Al-Quran dan terjemahannya
 2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy
 3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq
 4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan
 5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid
 6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy
 7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman
 Disediakan oleh:
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Penasihat Syariah Qurban Aqiqah JIM 1431H