Sejak  PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya  PAS jangan bersama PR,  barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya  ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak  menyokong PAS juga. Ini  hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang  diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang  dibawa melalui  Biro Tatanegara. Berbagai  alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah  dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi  tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno. Sengaja saya  meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak  rugi kalau menjauhkan diri daripada Umno. Selama ini pemimpin umno,   menganggap  Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila  PAS bersama PR ialah Umno.
Umno rugi kerana  tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri  yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah  Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin Umno teringin untuk  mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak  projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada  lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan  terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR  sudah tentu pemimpin Umno  menjadi korporat, Melayu merempat.
  Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di  seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat  berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan  Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan  mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan  kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Melayu  untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi  ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid  dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu.  Selama ini  orang Melayu dijauhkan dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak  diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak  akan lupa  bagaimana Dato' Dr Harun  Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti  kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak   menyampaikan risalah agama. Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal  menjauhkan rakyat   dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba  mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap  tidak  beralih kepada ulamak yang  Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama  dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia  lebih selari dengan perjuangan PAS.
Melayu untung kerana dapat  menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini  kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah  terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat  wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu  dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin Umno tidak  pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling  menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan  Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap. Umno merasa  rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini  wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan  rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat  akan menjadi  simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak  bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.
Melayu  untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj  Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat  oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana  rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran  Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah  bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti  orang Islam. Keceluparan mulut Dr Chua Saw Lek adalah bukti gagalnya  Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris   perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang  tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini  dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan  kepada orang bukan Islam. Inilah  manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila  berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah  merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang  bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka  mengekalkan kuasa mereka.
  Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan  kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno.  Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan  ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker  dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya  projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan  ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan  MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.   
  Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri  dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar  orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di  dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan  lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya  daripada negeri yang diperintah oleh Umno. Begitu juga kemampuan Datuk  Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang  menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan  BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi  kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang  diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di  dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin  rakyatnya  akan dilelong.
  Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup  rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini  majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990,  negeri ini nombor dua termiskin, sekarang  berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk  memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada  tindakan Umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu.  Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya.  Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya  rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan  Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera  sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan  bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus. 
  Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan