Parti Islam Se-Malaysia menganggap Tun Dr Mahathir semakin merapu,  kerana mendakwa PAS alat DAP, ketika beliau merasmikan  Mesyuarat Agung  Umno Cheras. Tun Mahathir mendakwa kewujudan PAS menyebabkan orang  Melayu berpecah. PAS hendak tanya balik kepada Tun Dr Mahathir kenapa  Umno diwujudkan pada tahun 1946, sedangkan sudah ada Parti Kebangsaan  Melayu Malaya (PKMM)  1945 yang mewakili orang Melayu. Menunjukkan Umno  juga parti yang ditubuhkan untuk memecah belah orang Melayu atas restu  penjajah, buktinya kenapa Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Darurat  1948 sehingga semua parti yang tidak sealiran diharamkan seperti PKMM  dan Hizbul Muslimin.
   PAS alat DAP adalah modal lapok Umno ketika orang Melayu menolak  Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan  MCA, Gerakan dan MIC. Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA,  MIC dan Gerakan.? Apa bukti PAS alat DAP?. PAS boleh buktikan  pengkhianatan Umno kepada  Melayu atas nama Melayu terutama di zaman beliau memerintah negara  selama 22 tahun. Tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang  Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina  Pelangi Beach Resort. 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang  Terengganu dijual  kepada Vicent Tan.
  Nampaknya Tun Dr Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat  kononnya ulama' yang berada di dalam Umno menubuh PAS,  kerana tidak  mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab. Faktanya ialah  ulama' keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulamak mengenai judi  tidak diperdulikan, maka ulamak merasakan perlu ada jamaah yang bebas  daripada Umno supaya Islam terpelihara. Dulu Tun menipu rakyat  mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah, hakikatnya Umno ditubuhkan  atas restu penjajah. PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak  boleh tipu orang dalam setiap masa, insyaAllah PAS akan membetulkan  fakta yang ditipu oleh Tun  supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam. 
PAS  merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin  Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul. Bukankah beliau  orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika  krisis politik di Kelantan. Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno  untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana  menentang undang-undang  darurat di Parlimen. Bukankah waktu itu PAS  dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji   Datuk   Asri?
  Ustaz Idris Ahmad
   Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan