DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di  sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi  kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu  ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’
Secara moralnya, bagi  saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan  Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati  nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika  kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep  hidup Islam demi Allah.
Salam secara maknawi adalah menjamin  kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun  sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan  membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling  membantu.
Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak  sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam  menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan  patut dan utama memberi  salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit  lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan.  Bukan sebaliknya.
Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin  keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama,  maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang  Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada  Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah  menerima hidup berkerukunan dengan kita.
Kenapakah sedemikian ?  Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw  melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam  milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu  memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti  Judaisme – agama Yahudi.
Ketika kita bersolat, kita membaca  surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi  al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi  Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala  adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap  solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan  agama  kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila  beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman  berdasarkan ilmu. 
Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu  penentu  kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran  dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya.  Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama. 
Apabila disebut  ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat  yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini  kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan  keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah  dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita. 
Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada  bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada  orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina  atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama  pula kata tak boleh.”
“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia  perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil  yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”
“Tambah-tambah  dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam  maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”
Dari  kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu   kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.
(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam  sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.
Dalam  hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang  dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati   beliau menyebut tentang adanya khilaf.
Berkata Syekh Syeikh  Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf)  mengenai memberi salam kepada  ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain  melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh  membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”
Menurut  Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah  berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak  membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.
Untuk  memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang  memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik  Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang,  dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87  Surah An-Nisaa’. 
Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati  nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !
Petikan artikel : Harakahdaily.
| M Jusoff Taib | 
|  | 
Petikan artikel : Harakahdaily.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan