Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS,  serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani  permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.
Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar  berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang  bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang  memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan  mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)
  Sabda Rasulullah S.A.W.
(Sesiapa yang Allah  menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh  (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim
Kedua–dua  nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang  berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya  mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang  dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai  satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara  beramalnya.
  Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa  hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada   kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka  hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham,  bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan  kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
  Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam.  Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat  sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan  Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan  akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
  Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi  seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham,  khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau  bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al  Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran  Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu.  Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam  perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi  segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau  dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
  Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan  berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani,  Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang  berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke  Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan  kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun  tidak menganut Islam.
  Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan  kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya  melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab  dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah.  Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya  berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan  Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap  seluruh manusia  juga.
  Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan  risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya  yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat  dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan  hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku  sekiranya memerlukan penjelasan.
  Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala  para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak  kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan  pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit  nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di  Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang  Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan  umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram  dan lain-lain.
  Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian  Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan  Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara  mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi  kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang  datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.
  Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah  S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas  dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159  yang bermaksud :
  (Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka  apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada  Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah  kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan  kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah  selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan  kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya  dalam politik.
  Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang  mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam  dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu  yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan  siyasah syari’yyah.
  Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam  Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang  berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara  Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan  Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith,  Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab  melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran  semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli  Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
  PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang  perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian,  bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan  bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat  adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya  secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam  menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak  yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra,  Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
  Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal  mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana  tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah  S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan  muhasabah ?.
  Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas  bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang  adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa  semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa  mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti  Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut  perjuangan Islam.
  PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin  oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa  ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang  berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya  tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa  serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap  membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
  (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia ,  laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada  kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada  kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
  PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi  melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada  seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan  dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan  Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan  faham.
  Khadam Perjuangan Islam
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan