Kemelut yang berlaku di dalam Federal Land Development Authority (FELDA)  sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Makin banyak pendedahan tentang  penyelewengan yang berlaku khususnya yang menjadi mangsa adalah warga  peneroka. Isu penyelewengan gred sawit, bantuan penanaman semula dan  pelbagai lagi isu yang tidak diselesaikan hingga membawa kepada  perbicaraan di mahkamah. Mahasiswa cukup dekat dan prihatin dengan isu  yang membelenggu warga FELDA, kerana mereka merupakan warga dan rakyat  yang mencari hak dan keperluan hidup di tanah air mereka sendiri.
Kita  melihat bahawa akan berlaku kesan manopoli dan wujudnya ruang untuk  kapitalisme berleluasa. Apabila syarikat utama ini disenaraikan dalam  bursa saham, ia bakal memperjudikan lebih 800,000 hektar tanah peneroka  di seluruh Negara yang diuruskan oleh FELDA Global Venture Bhd. Tanah  yang disebutkan ini sepatutnya menjadi hak milik rakyat yang bekerja  untuk membangunkannya dan bukan untuk digadai kepada golongan kapitalis.
Gabungan  Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) merasakan ada agenda yang tidak baik  di atas cadangan penyenaraian syarikat berkenaan dalam Bursa Saham yang  dijangka dibuat pada  pertengahan tahun hadapan. Kita risau dan bimbangkan nasib peneroka dan  generasi baru FELDA, di mana mereka ingin lari dan tinggal jika tanah  mereka digadaikan di pasaran terbuka berkenaan. Apa yang cukup  menyedihkan kita juga ialah, maklumat sebegini sengaja tidak disampaikan  kepada seluruh warga peneroka menyebabkan ada yang masih tidak sedar  akan hal ini.
Agenda yang tidak baik itu juga makin jelas bila  keluarnya arahan bercuti keluar negara ke atas Pengarah Koperasi  Permodalan Felda (KPF), Dzulkifli Abd Wahab yang telah berkhidmat selama  35 tahun oleh Perdana Menteri. KPF yang sebelum ini sangat cemerlang  dengan integriti dan kemampuan memacu industri pertanian dan dapat  menambahkan pendapatan Negara dibawah kepimpinan Dzulkifli dipercayai  juga timbul usaha untuk menggantikan tempat beliau oleh individu yang  bukan ahli.
KPF secara langsung melanggar undang-undang tubuh KPF  itu sendiri. Ini sangat meragukan kita kerana ia seolah-olah  dirancang bertepatan pula dengan pencapaian KPF yang cukup membanggakan  juga dalam keadaan FELDA bakal digadaikan dengan pelbagai rancangan dan  program yang akan dilaksanakan.
*Kenyataan media oleh Akram Ikrami bin Taib Azamudden (gambar kanan) selaku Presiden GAMIS.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan