Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah –  itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54  tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran  sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang  ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan  ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau  penjajah kini sebagai komunis.  
Manakala golongan yang  sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan  penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup  membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka  sebagai hero.
   Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan  nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC,  MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada  dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela  tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami  sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa  para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.
    Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara  merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian  dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran,  penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk  disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam  hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah  majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan  ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja  menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam  ditertawakan.
    Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal  perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal  memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar?  Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan  digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk  dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana  negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen  penjajah.
   Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan  memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di  bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah  pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam  negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan  merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.
    Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan  Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat  Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang  menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan  kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang  khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan?
   Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup  mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu  sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk  mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan  perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan  juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan  mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.
    Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap  Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar  sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan  Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan  catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik  untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah  kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar,  panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.
    Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan  beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian  di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat  Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin  menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa  rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal  perundangan boleh diabaikan.
    Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara  menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan  menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk  dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri  warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa  jasa kepada negara.
    Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 September 2011
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan