Muktakir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi  mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat. Isu ucapan Mohamad Sabu, isu  bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu  yang sedang sengaja diwujudkan menjelang PRU akan datang.
     Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalihkan perhatian kepada  isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara  seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan  wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran.
     Demikian juga isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan  kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas  PRU ke 13, isu akta yang akan menggantikan ISA… semua ini adalah isu  besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk PRU ke 13 kerana ianya  mempunyai impak kepada rakyat secara langsung.
     Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, rakyat sedang dan akan  bakal saksikan bagaimana media perdana akan mengiatkan usaha untuk  mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama tenggelam dengan  isu-isu yang sengaja diwujudkan.
     Teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja  diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif  sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad yang lalu,  terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.
     Selain mengalihkan perhatian, sebenarnya tujuan asal BN sengaja  mewujudkan isu ialah supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab  sesuatu isu besar yang dibangkitkan.
 Teknik ini sentiasa  digunakan tidak lain tidak bukan kerana BN mempunyai kuasa mutlak  terhadap media perdana. Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada  zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara  drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik  ini.
    Walaupun ada-kalanya kita terpaksa jawab isu-isu yang sengaja  dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat  harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN  terpaksa menjawabnya.
     Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja  diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk  mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus  dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN.
     Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan  dengan provokasi sebegini. Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan  adalah untuk mengganggu emosi supaya PR terus berbalah dengan  mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan  masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan  berbangkit.
    Seluruh jentera Pakatan Rakyat diharap tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat.
 Sementara itu, Pakatan Rakyat juga  hendaklah memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada  persiapan akhir untuk pertarung PRU-13 dengan mengemaskinikan segala  maklumat penting.
     Bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti  dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada  tahap optimum. Tindakan segera bagi mengesan kelemahan jentera dan  pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera.
    Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana segera bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan.
 Gerak  kerja rayuan undi, semakan daftar, peralatan pilihanraya dan cara  penerangan isu-isu semasa mesti dilengkapkan sebelum parlimen  dibubarkan.
     Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah  parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen  bubar.
 Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja  diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan  kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.
    Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan