Parti  Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan  Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah  akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor  yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut. 
  Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan  perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan  matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan  supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap  menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh  rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat  sebagai kerajaan yang sah di Selangor. Di atas asas yang sama maka  sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat  persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.
     Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam  membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan  negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap  melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan  dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut  oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.
     Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah  menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka  sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS  mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan  mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat  nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor  dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana  keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak  bertamadun dan di luar batas demokrasi. Rampasan ini jugalah yang mereka  telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai  pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di  seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar  kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.
     PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa  langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak  mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai  pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal  selamanya termasuk UMNO-BN.
     Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011
  
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan