Parti Islam Se-Malaysia PAS berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak  yang mengatakan  janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu  merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.
Sepatutnya seorang Perdana Menteri  mesti berfikiran positif  apabila  perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila  Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat?  Salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka  ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga? Salahkah Pakatan  Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab  bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi.  Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada  guru RM500 sebulan?.
 Datuk Seri Najib  cuba  menimbulkan keraguan tentang kemapuan kewangan jika janji 100 hari  dilaksanakan. PAS mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib  kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah  kemampuan dahulu. PAS juga hendak mengingatkan kepada Datuk  Seri Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum,  tidak mampu, tetapi untuk kepentingan  kroni  mampu pula diluluskan peruntukan. Adakah Datuk Seri Najib sudah ambil  kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara  Warisan 100 tingkat?.  Wang sebanyak RM5 bilion mampu  membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu  memberi biasiswa pelajar perubatan  seramai 5 ribu orang di  United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa  10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir. Kenapa peruntukan untuk  Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3  juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan  Menara Warisan
Apakah  peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah sebanyak  RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95  juta.
   PAS berasa hairan dengan kenyataan  seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara kita akan menjadi seperti  negara Greece kalau ikut perancangan PR. Kenyataan yang sama juga  ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990. Pemimpin Umno  mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. Dakwaan  mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah,  ketidakcekapan dan salah urus. Begitu juga ketika kerajaan Pakatan  Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin  Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya  membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan  untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya.
PAS ingin menjawab keraguan Perdana Menteri Malaysia  ragu tentang  daripada  mana sumber yang akan PR perolehi. Antara sumbernya ialah kita akan  memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28  bilion. Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama  seperti kendalian Datin Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta. Subsidi  untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula  kerana membebankan negara.
PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad. Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan