Pemilihan UMNO yang baru sahaja selesai  mengesahkan apa
 yang diramalkan - bahawa tiada sebarang perubahan bagi parti tersebut, 
dengan kebanyakan penyandang lama mengekalkan kedudukan dan jawatan 
mereka, dan pasukan pilihan Presiden UMNO Najib Razak kekal berkuasa.
Semenjak beberapa bulan lepas, Najib telah menumpukan 
usaha beliau dalam mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan 
memastikan bahawa kepimpinannya tidak tercabar. Sepanjang masa ini, 
rakyat telah didedahkan dengan retorik perkauman dan konservatif 
daripada pimpinan utama UMNO.  Pada masa yang sama, Najib memilih untuk 
berdiam diri di dalam negara, sambil bercakap tentang kesederhanaan dan 
wasatiyyah di luar negara.
Kita tidak mempertikaikan keperluan seorang Presiden 
Parti dikelilingi kumpulan pilihannya dalam jawatan tertinggi parti 
untuk beliau menggerakkan perubahan dengan efektif. Kini, Najib tidak 
lagi mempunyai alasan tidak mempunyai sokongan parti.
Namun, sukar untuk kita tidak menjadi sangsi apabila 
individu-individu yang menyandang jawatan jawatan tertinggi parti 
terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang yang tercemar atau
 meragukan. Contoh terbaik adalah pemilihan semula Zahid Hamidi dan 
Shahrizat Jalil (yang dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri 
sebelum pemilihan UMNO). Pada masa yang sama, beberapa suara perubahan 
di dalam parti telah tewas. Justeru dakwaan beberapa pihak bahawa 
keputusan ini adalah kemenangan golongan progresif parti telah terbukti 
palsu. Ini adalah kemenangan kekuasaan dan kebebalan.
Sudah tiba masanya untuk Najib menggunakan mandat yang 
diberikan untuk mengubah negara ini, bukan sahaja sekadar retorik, namun
 dengan usaha yang konkrit. Ketika mana UMNO menjadi parti sayap kanan 
yang makin ekstrem, Najib perlu bangkit memimpin dan menunjukkan 
kewibawaan yang diperlukan.
Tetapi jika kita melihat kepada rekodnya sepanjang empat
 tahun sebelum ini, nyata sekali amat sukar untuk sebarang perubahan 
berlaku.
NIK NAZMI NIK AHMAD
TIMBALAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan