Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan  kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila  mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama  politik bersama parti bukan Islam seperti DAP,  yang dituduh setengah  pihak sebagai  fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya :  Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang  sebangsa dengan PAS ? . Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman  dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR ?. Lalu  penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah  menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan  Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat !.
  Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.
 Syarat  pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam  menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga  bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan  semangat kebangsaan,  walau pun peranan bangsa tidak boleh dinafikan  wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang  berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk  termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama. Risalah atau  mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW  membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain.  Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan  bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam  kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir  sesebuah negara.
  Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah  satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan  menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam  menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam  sahaja boleh menunaikan amanahnya.
  Adalah menjadi  hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di  kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan  bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya  pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya  dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya  sendiri,  walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh  kuasa besar Rom dan Parsi.
  Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep  berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak  lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep  masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka  wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di  sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :
  Maksudnya :
Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah  menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan  (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-kaum, supaya  kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di  antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.
  Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan  antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya  secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja  tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian  memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat  tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan,  tempat tinggal dan sebagainya.
  Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat  dengan  sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara  berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran  dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar  (Madinah)  dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi  kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga  berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”.  Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung  tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka  perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua  peringkat, negeri dan antarabangsa.
  Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW  melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di  kalangan yang boleh bekerjasama dari  aspek kemanusiaan  dengan  kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu  dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata  yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh  manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua  kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam  yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka  termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak  bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara  amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya.
  Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan  dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut  firman Allah SWT :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh  kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh  kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana  dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang  sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi  Maha Melihat.
  Diriwayatkan dalam Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :
يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا
(رواية مسلم ).
Maksudnya  : (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu  berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka  jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).
  Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan  kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang  Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep  Islam. Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika  di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu  Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah”  (perlindungan ). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu  seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada  Thaif.  Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah  SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan  Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan  dan  memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan  amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang  mempercayainya.
  Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf  (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan  muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima  beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian  Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh  dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam  yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini  dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan,  ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah Negara umat  Islam dijajah.
  Pendekatan  PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan  Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi  Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa  mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat  yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani  secara Islam yang sebenarnya.
  Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik  Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani  dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman  yang dinafikan  bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk  Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember  2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara  siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat,  sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada  pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang  mahu ditegakkan ?
  PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi  adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa.   Seluruh  manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah  wajib  melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi,  bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting  untuk dilaksankan kepada semua.
  Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik  masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami  bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi  kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus  bernaung di bawah mereka selama-lamanya.
  Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip  dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa  dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum  secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada  keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan  lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan  untuk membina negara dengan baik.
  PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara  wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut  agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi  pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara  haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang  menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang  tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan  masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS  memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri  dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi  hak yang adil tanpa fanatik perkauman.
  UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam  secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang  mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat  Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam   kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada  sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya  kawalan secara hukum Islam  yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi  model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang  baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun  tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS  tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.
  Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya  menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim  Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.
UMNO  tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila  sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan  dan MIC bagi menyelamatkan rakannya  yang kalah di kawasan majoriti  bukan Islam.
  PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya  memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam  daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan  mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan  penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi  bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk  Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan  majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.
  PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan  bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak  menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.
Dua  pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah  diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan  Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta  mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam  tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan  agamanya.
  Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada  PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah  masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.
Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan