Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011  mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada  waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan  keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda  Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang  berdaulat negara kita ini.
  Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan  yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari  jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini  adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan,  iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi  menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.
  Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil  bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta  semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya  mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan  kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap  bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi  pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak  terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi  olehpihak berkuasa.
  PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah  digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya  oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita  pada ketika ini. Ini juga selari dengan  titah Seri Paduka Baginda  Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan  secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana  terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan  berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak  demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai  kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya  umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah  banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun  negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap  sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh  rakyat.
  Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia
4 Julai 2011/ 2 Syaaban 1432 H
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan