Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru rakyat Malaysia membuka  mata dan menilai sendiri sikap kepimpinan Umno yang ditunjukan melalui  kenyataan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kenyataan  yang mempertikaikan tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan Judi  Loteri dinegeri Serambi Mekah itu. Baru sahaja menang di Merlimau dan  Kerdau, Umno terus kembali menegakkan kemungkaran sebagai tanda  kesyukuran.     
Sebagai seorang pemimpin Islam dan Timbalan Perdana  Menteri beliau sewajarnya menyokong tindakan itu kerana jelas ianya  diterima oleh semua agama dinegara ini yang mengharamkan judi. 
PAS juga kesal kerana Umno terlalu suka mengaitkan aktiviti  perjudian sebagai aktiviti kesukaan mereka yang bukan Islam. Mereka yang  mempunyai moral yang tinggi memandang judi dalam perspektif yang amat  buruk, hanya mereka yang bermoral rendah sahaja menjadikan judi sebagai  hiburan mereka yang akhirnya menghabiskan duit poket mereka.
     PAS juga yakin, kenyataan itu dibuat ekoran desakan  taikun-taikun perjudian dinegara ini yang banyak membantu memberikan  sokongan kepada Umno-Barisan Nasional untuk menghadapi PAS dalam  mana-mana pilihanraya. Beberapa pemimpin Umno juga dikenal pasti pernah  atau masih mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat judi berkenaan.  Maka jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi  membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam  industri judi.
     PAS menyeru Muhyiddin serta pemimpin Umno lainnya  bertaubat kepada Allah kerana berjuang dan menghalalkan judi dinegara  ini dan meminta maaf kepada Penganut bukan Islam yang difitnahkannya  sebagai kaki judi. PAS juga memperingatkan Muhyiddin dan Kerajaan  Persekutuan supaya menghormati hak perundangan Kerajaan Kelantan dalam  menguatkuasakan undang-undang dibawah bidang kuasa mereka. Jika tidak  ada modal untuk bercakap, baik diam diri sahaja.
     PAS menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan dan  akan terus berkempen memerangi judi dinegara ini. Semoga rakyat terus  membuka mata dan menolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum akan  datang.
     Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan