Parti  Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang  menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif  dan  mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas  PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain.
PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis  Tertinggi  Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati  keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih  parti-parti yang bertanding.  Adat perlawanan ada pihak  kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah  diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati  undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan  dan Terengganu. 
PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang  yang  baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS  dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di  peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang  keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah,  setelah memerintah 18 tahun sejak 1959.  Berkat  kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990  hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui  undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah  roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS  sedar  perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan  demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan  cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN,  yang tidak sabar dan tidak  tahu menjadi pembangkanag.  Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah  hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada  ketika berada di bawah.
PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.
Ketua Penerangan PAS Pusat
 

 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan