WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
KOTA BHARU – Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak 
dan Gas ke Kelantan (NGO R) menyifatkan kenyataan Presiden Perkasa, 
Datuk Ibrahim Ali bahawa Sinar Harian sebagai akhbar memecah-belahkan 
kaum sebagai tuduhan tidak berasas.
Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau mendapati tidak ada akhbar
 yang menggunakan pendekatan sebagaimana dilakukan akhbar berkenaan 
dalam memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan 
kelompok.
“Pada saya ia satu tuduhan berunsur sampah, tak ada nilai dan tidak 
berasas, kerana saya dapati tidak ada lagi akhbar yang memberi ruang 
kepada semua pihak kecuali Sinar Harian,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ibrahim dalam 
akhbar perdana semalam bahawa beliau ‘jelik’ dengan laporan Sinar Harian
 dan sebuah portal web kerana didakwa hanya menyiarkan sebahagian 
kenyataannya sehingga dilihat seolah-olah menghina kaum lain.
Ibrahim dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu semasa menggulung 
perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa Ketiga, dua hari lalu.
Nazri turut menempelak Ibrahim yang menyifatkan akhbar ini sebagai 
akhbar pemecah belah masyarakat sebaliknya berkata, Ahli Parlimen Pasir 
Mas itu sepatutnya lebih jelas siapa sebenarnya pernah dilabel 
sedemikian.
“Saya harap Ibrahim Ali secara terbuka akan menarik balik kenyataan yang dibuat,” katanya yang juga Pengerusi Cakna Palestin.
Beliau yang memuji pendekatan Sinar Harian berharap akhbar ini akan 
terus berpegang pada prinsipnya dengan memberi keadilan dan ruang kepada
 semua pihak dan membiarkan pembaca menilai sendiri setiap situasi yang 
berlaku.
“Terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi ruang kepada NGO R 
dan Cakna Palestin, dan pernah bergabung dengan Cakna Palestin 
menjayakan misi kemanusiaan. Pada kami, ia akhbar komuniti terbaik dan 
tidak menampakkan ada unsur memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Nazri turut menyeru Kerajaan Persekutuan memberi ruang kepada media 
arus perdana lain mencontohi Sinar Harian agar rakyat berpeluang 
mendapat maklumat secara terus.
Sumber: Sinar Harian . 18 Disember 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan